Pengasuhan Positif

Membongkar Kepalsuan Salah Tanggapan Mengenai Vaksinasi

Tahun lepas, rakyat Malaysia terkejut apabila mendengar tentang kemunculan semula kes difteria di Malaysia. 23 kes dan 5 kematian dilaporkan tahun lepas, dan tahun ini, bilangannya masih pada tahap membimbangkan. Pada masa sama, terdapat peningkatan bilangan ibu bapa yang menolak vaksinasi untuk anak mereka.

Dua fenomena ini boleh dianggap berpunca daripada peningkatan gerakan anti-vaksin di media sosial Malaysia. Gerakan ini dimarakkan oleh khabar angin dan salah tanggapan mengenai vaksinasi yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kami telah menangani beberapa maklumat palsu mengenai vaksinasi dalam terbitan Pengasuhan Positif yang lalu yang boleh didapati dari laman web kami. Dalam artikel ini, kami membongkar tanggapan lain mengenai vaksinasi seperti yang ditekankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menjelaskan perkara sebenarnya.

Vaksin boleh mengakibatkan kesan sampingan berbahaya yang kita mungkin tidak sedari

Umumnya, vaksin adalah selamat kepada sebahagian besar orang ramai. Walaupun adakalanya terdapat kesan sampingan vaksinasi, kesannya biasanya ringan dan sedikit serta sementara seperti kebengkakan, sakit lengan atau demam ringan. Kesemua kesan tersebut boleh dikendalikan dengan mengambil parasetamol jika berlaku. Kesan sampingan yang lebih serius akibat alergi boleh berlaku tetapi amat jarang. Ini boleh dicegah dengan mendapatkan nasihat betul daripada doktor anda sebelum divaksinasi untuk menentukan jika vaksin tersebut sesuai untuk anak anda. Sebelum diberi vaksin, satu set soalan akan ditanya kepada si penerima untuk mengelak sebarang risiko. Tambahan pula, terdapat banyak organisasi, tempatan dan antarabangsa, yang memantau keselamatan vaksin dan kejadian kesan sampingan teruk selepas vaksinasi, seperti Inisiatif Keselamatan Vaksin Global atau Global Vaccine Safety Initiative (GVSI) oleh WHO dan sistem pemantauan vaksin kita sendiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain itu, pelbagai tuduhan mengaitkan vaksin kepada pelbagai penyakit telah dibuktikan tidak benar atau memerlukan kajian yang lebih teliti. Satu tuduhan popular mengaitkan vaksin MMR kepada autisme sebenarnya telah disangkal kerana tiada hubungan sebab-akibat antara kedua-duanya dapat dijumpai setelah kajian meluas dijalankan. Terbitan penyelidikan tunggal yang menjadi asas hujah gerakan anti-vaksin telah lama ditarik balik.

Vaksinasi tidak diperlukan memandangkan penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin telah dihapuskan di negara saya

Di Malaysia, banyak penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin seperti polio dan cacar telah dihapuskan. Namun begitu, ia tidak bermakna penyakit tersebut tidak wujud lagi. Oleh sebab cacar telah dihapuskan di seluruh dunia, vaksinasi cacar tidak lagi diperlukan sekarang. Penyakit polio pula masih lagi ada di dua negara (Afghanistan dan Pakistan). Oleh itu, virus penyebab polio boleh diimport atau dibawa masuk ke dalam Malaysia. Pelancong atau pekerja asing dari negara tersebut boleh membawa masuk penyakit ke dalam negara kita dengan tidak sengaja. Selain itu, terdapat peratusan kecil penduduk yang tidak boleh diberi vaksin (contohnya disebabkan alergi,) dan mereka yang tidak boleh bertindakbalas kepada vaksin. Bagi mereka, peluang untuk dilindungi adalah hanya melalui imuniti kelompok, dan kesan imuniti kelompok hanya berkesan dengan adanya kadar vaksinasi yang tinggi di sekitar mereka.

Penyakit hilang disebabkan kebersihan diri dan sanitasi yang lebih baik, bukan kerana vaksinasi

Kebanyakan kita hari ini tidak pernah melihat kes polio atau cacar sebenar, yang pernah menjadi wabak di seluruh dunia beberapa dekad dahulu. Sesetengah orang membuat akuan kebersihan diri dan sanitasi yang lebih baik telah melenyapkan penyakit sedemikian. Akuan ini tidak salah, tetapi terdapat juga banyak faktor lain yang menyumbang kepada pengurangan kejadian penyakit, dan satu faktor utama ialah vaksinasi yang meluas. Ini dapat dilihat apabila terdapat penurunan ketara dalam kejadian penyakit yang berlaku serentak dengan pengenalan program vaksinasi. Sebagai contoh, sejurus selepas vaksin campak diperkenalkan pada tahun 1963, penurunan kekal dalam bilangan kes campak dapat dilihat. Tambahan pula, peningkatan kejadian dengan serta-merta juga dilihat apabila kadar vaksinasi menurun. Kesan ini berlaku di negara Britain, apabila penurunan kadar vaksinasi dalam tahun 70-an berpunca daripada kempen menggertak terhadap vaksin pertusis membawa kepada peningkatan mendadak kejadian penyakit tersebut di sana. Kita juga mungkin menyaksikan kesan sama di Malaysia sekiranya gerakan anti-vaksin di Malaysia terus menjadi satu trend.

Vaksinasi berbilang untuk penyakit berlainan yang diberi sekaligus kepada kanak-kanak boleh membebankan sistem imun mereka

Secara umumnya, kita terdedah kepada berbilang antigen asing dalam aktiviti harian, dan ini juga sama pada anak kita. Maka, antigen tambahan daripada berbilang vaksinasi tidak akan membebankan sistem imun mereka. Data saintifik yang ada telah membuktikan bahawa vaksinasi gabungan tidak menyebabkan kesan buruk kepada sistem imun kanak-kanak normal. Pelbagai kajian dan penyelidikan juga menunjukkan vaksin gabungan adalah berkesan dan selamat seperti vaksin tunggal. Malah, vaksin gabungan mungkin lebih baik, dengan memberi kesemua kebaikan vaksinasi dalam bilangan suntikan yang sedikit. Vaksin lazimnya diberi pada usia awal untuk perlindungan yang lebih baik kepada bayi, dan kebanyakan vaksin biasanya mempunyai tempoh jadual yang sama. Maka, dalam situasi ini vaksin gabungan adalah praktikal. Vaksin gabungan juga memerlukan bilangan suntikan yang sedikit dan kurang sesi bersama doktor. Maka, kita boleh menjimatkan masa dan wang, serta memastikan vaksinasi yang lengkap untuk anak kita.

Lebih ramai orang yang diberi vaksinasi mendapat jangkitan daripada orang yang tidak divaksinasi

Dalam sesetengah kes, bilangannya mungkin menggambarkan akuan ini, tetapi ia tidak membuktikan bahawa vaksin tidak berkesan. Ini kerana hakikatnya kebanyakan orang mendapat vaksinasi berbanding mereka yang tidak diberi vaksinasi. Juga, keberkesanan vaksin bukan 100% (keberkesanannya 85-95%) kerana sesetengah individu tidak bertindakbalas kepada vaksin. Namun begitu, akhirnya, kita masih lihat lebih tinggi peratusan orang yang tidak divaksinasi dijangkiti berbanding mereka yang diberi vaksin. Ini juga menunjukkan bahawa kesan imuniti kelompok telah dilemahkan disebabkan peningkatan orang yang tidak diberi vaksinasi dalam kalangan penduduk. Dalam kes-kes difteria di negara kita pula, kesemua mangsa didapati tidak diberi vaksin primer untuk kanak-kanak.

Kemunculan teknologi kini telah memudahkan lagi kita mencari maklumat tentang kesihatan Bagaimanapun, kita harus tahu untuk membezakan antara fakta sebenar dan maklumat salah. Merujuk kepada para pakar mengenai isu seperti vaksinasi adalah penting agar anda tidak membahayakan anak anda dan diri anda.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen