Pengasuhan Positif

Membantu Anak Anda Mendapatkan Usus Sihat

Sistem gastrousus anak anda memainkan peranan penting dalam kesihatan dan kesejahteraannya. Sistem ini adalah di mana makanan dihadam dan zat diserap, maka penting untuk memastikan ia berfungsi secara optimum. Selain daripada fungsi utama ini, sistem gastrousus juga berperanan sebagai barisan pertahanan pertama tubuh daripada penyakit dan jangkitan kerana ia bertindak sebagai penghalang mikroorganisma berbahaya.

Tambahan pula, usus menempatkan sekumpulan mikroorganisma pelbagai jenis yang dikenali sebagai mikrobiota usus. Ia mengandungi pelbagai bakteria yang boleh memanfaat atau membahayakan kesihatan anda. Keseimbangan antara bakteria ‘baik’ dan ‘jahat’ perlu dikekalkan untuk kesihatan usus yang bagus. Ketakseimbangan mikrobiota usus boleh menyebabkan cirit-birit atau sembelit bagi kanak-kanak. Mempunyai keseimbangan yang sihat akan memastikan kesihatan usus anak anda berada pada tahap yang terbaik, lalu menjadikannya anak yang sihat.

Mikrobiota usus berperanan penting

Pelbagai bukti saintifik menunjukkan pengekalkan keseimbangan mikrobiota usus yang sihat boleh membantu dengan kesemuanya; daripada keimunan, penyerapan zat yang lebih baik, mood yang lebih baik, malah menambah baik fungsi otak serta tahap tenaga.

Selain itu, mikrobiota usus juga bertanggungjawab menghasilkan beberapa vitamin (seperti Vitamin B12 dan Vitamin K), hormon (seperti serotonin), dan metabolit yang penting untuk kesihatan yang baik. Menariknya, kandungan mikrobiota usus berbeza antara individu berlainan. Ia dipengaruhi pelbagai faktor, termasuklah tabiat pemakanan.

Lima Langkah Mudah

Terdapat lima langkah mudah namun penting untuk memastikan kesihatan usus yang baik untuk anak anda, iaitu:

Makan dengan betul, dengan cara memastikan dia memperolehi diet seimbang dalam kuantiti sederhana yang mengandungi pelbagai jenis makanan setiap hari. Juga penting untuk memberikannya bijirin penuh, buah dan sayuran yang secukupnya untuk membekalkan diet sihat yang kaya dengan serat, yang merupakan karbohidrat yang tidak dihadam. Beberapa jenis serat boleh berfungsi sebagai prebiotik yang menjadi makanan bakteria ‘baik’ dalam usus. Ini termasuklah pisang, bawang besar, bawang putih, bawang merah, kucai, dan asparagus. Hadkan juga pengambilan makanan bergoreng dan minuman bergula bagi anak anda.

Aktiviti fizikal atau senaman yang kerap juga satu faktor yang penting. Galakkan anak anda melakukan sekurang-kurangnya sejam aktiviti fizikal setiap hari, seperti badminton, berenang, berlari keliling padang, dll. Senaman dan aktiviti fizikal membantu sistem penghadamannya berjalan lancar dengan menggalakkan pergerakan usus yang teratur, meningkatkan seleranya, dan membantu mengekalkan berat badan yang sihat.

Berikan anak anda minum air secukupnya setiap hari, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Lebih banyak diperlukan jika hari panas atau pada hari dia bersukan atau bersenam dengan kuat. Ini pilihan yang lebih baik berbanding minuman bergula yang tinggi kalori yang tidak diperlukan. Dengan memastikan dia minum air secukupnya, anda juga memastikan yang sistem gastroususnya ‘dilincirkan’ dan makanan boleh melalui ususnya dengan mudah.

Kebersihan yang baik penting untuk meminimumkan atau mengelak bakteria ‘jahat’ daripada masuk ke dalam ususnya. Ajarkan anak anda kepentingan kebersihan diri yang baik, khususnya seperti membasuh tangan selepas menggunakan tandas atau sebelum makan. Anda mungkin pernah dengar seseorang gunakan frasa ‘kebersihan sebahagian daripada iman’, yang mana menggambarkan betapa pentingnya kebersihan.

Anak yang sedang membesar perlukan tidur yang cukup untuk memaksimumkan potensi tumbesarannya. Sebagai panduan kasar, satu petunjuk bahawa anak anda perlukan lebih tidur adalah jika dia bermasalah untuk bangun ketika pagi atau sentiasa merungut atau cerewet ketika jaga. Pada tahun 2016, Akademi Pediatrik Amerika mengeluarkan panduan tidur yang menggalakkan:

  • Bayi (4-12 bulan) perlukan 12-16 jam waktu tidur sehari (termasuk tidur petang)
  • Petatih (1-2 bulan) perlukan 11-14 jam waktu tidur sehari (termasuk tidur petang)
  • Anak Kecil (3-5 tahun) perlukan 10-13 jam waktu tidur sehari (termasuk tidur petang)
  • Anak sekolah rendah (6-12 tahun) perlukan 9-12 jam waktu tidur sehari
  • Remaja (13-18 tahun) perlukan 8-10 jam waktu tidur sehari

Pembantu kecil

Mikrobiota usus mengandungi pelbagai jenis mikroorganisma; probiotik ialah bakteria hidup yang memberikan manfaat kesihatan. Dengan memastikan anak anda mempunyai bilangan bakteria baik yang cukup dalam tubuhnya, ini akan menjaga keseimbangan mikrobiota usus yang sihat, lalu mengelakkan atau mengurangkan masalah. Makanan yang kaya probiotik biasanya datang daripada produk susu fermentasi (seperti yogurt, minuman susu berkultur, kefir dan keju), produk soya fermentasi (seperti tempeh), dan sayuran jeruk (seperti kimchi dan jeruk).

Jadilah contoh teladannya

Akhir kata, ingatlah bahawa semua anak memandang tinggi pada ibu bapa mereka, jadi pastikan yang anda mengamalkan apa yang anda katakan untuk menjadi teladan terbaik baginya. Di samping membantunya mendapatkan usus yang sihat, ini juga membantu merapatkan hubungan anda dan anak anda. Dengan bermula seawal mungkin, anda boleh mengajarkannya tabiat yang sihat dan bagaimana menjaga kesihatan usus sendiri.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen