Pengasuhan Positif

Tentang Asuhan & Akibat

Sebagai ibu bapa, terdapat pelbagai strategi pengasuhan yang boleh diamalkan untuk mendidik anak anda berkelakuan baik, dan semua ibu bapa mempunyai peraturan mereka sendiri. Salah satu kaedah asuhan yang lazim dan berkesan yang sering digunakan ialah ‘akibat’. Apa sahaja tindakbalas daripada anda, tidak kira sekecil atau semudah mana, selepas satu-satu tingkah laku anak anda boleh dianggap sebagai akibat. Menanggung akibat boleh membantu anak anda untuk belajar daripada kesilapan, membuat keputusan yang lebih baik, dan memperbaiki tingkah laku mereka.

Akibat ialah tindakbalas rasional kepada kelakuan anak anda dan dilakukan untuk menyampaikan yang kelakuan mereka adalah pilihan dan tanggungjawab mereka sendiri. Terdapat akibat positif dan negatif. Akibat positif, contohnya perhatian, memberi petunjuk kepada anak anda yang anda sukakan tingkah laku berkenaan dan boleh memupuk tingkah laku tersebut dalam diri mereka. Sebaliknya, akibat negatif, seperti tidak peduli, menunjukkan yang anda tidak menyukai tingkah laku itu dan boleh mengelakkan mereka daripada mengulanginya. Anda boleh memuji anak anda apabila mereka mengikut arahan untuk mengemas mainan selepas waktu bermain, dan anda boleh menyimpan mainan mereka sekiranya mereka tidak menurut. Hukuman pula adalah berlainan daripada akibat negatif. Hukuman selalunya dijatuhkan ke atas anak anda mengikut emosi anda, dan menyampaikan kepada mereka bahawa tindakan dan keputusan mereka adalah dikawal oleh anda.

Jenis-jenis akibat

Akibat semulajadi: Ini adalah kesan daripada sesuatu tindakan atau keputusan yang pasti akan terjadi dengan sendirinya kerana hukum alam, dengan atau tanpa campur tangan anda. Ia boleh jadi berkesan sekiranya ia tidak mencederakan anak anda atau pihak lain. Sebagai contoh, Sara kehilangan anak patungnya kerana dia cuai semasa keluar berjalan-jalan, atau dia rasa lapar selepas enggan makan. Tetapi, jika dia bermain dengan pisau, ibu bapanya perlu bertindak untuk mengelakkan kecederaan.

Akibat logik: Kebanyakan masa, adalah tidak sesuai untuk membiarkan akibat semulajadi berlaku kerana ia tidak berkesan. Dalam situasi begini, ibu bapa perlulah melibatkan diri dan mengenakan akibat logik yang berkait dengan tingkah laku anak-anak. Contohnya, apabila mereka berebut saluran TV, anda boleh menutup TV atau memendekkan masa tontonan mereka. Atau, jika mereka membuat kotor/sepah, merekalah yang perlu membersihkan atau mengemasnya.

Akibat dikenakan: Kadang-kala, anda mungkin tidak dapat mengenalpasti akibat logik kepada kelakuan anak anda. Ia mungkin tidak lagi berkesan atau kesalahan yang berulang-ulang telah dilakukan. Anda boleh mengenakan akibat lain yang tidak berkaitan seperti menggantung beberapa, atau semua, keistimewaan yang diberi. Ini biasanya paling baik apabila anak anda telah diberitahu terlebih dahulu bagi memberikan mereka peluang untuk berhenti dan berfikir tentang tingkah laku mereka. Namun, penting bagi ibu bapa dan anak untuk membezakan antara kewajiban ibu bapa dan keistimewaan yang diberi untuk akibat yang berkesan.

Petua untuk akibat yang berkesan

Tenang dan rasional: Berhenti sejenak dan tenangkan diri agar anda boleh berfikir dengan jelas dan tertumpu kepada kelakuan anak anda, dan bukannya emosi anda. Renungkan apa yang anda mahu mereka pelajari sebelum mengenakan akibat. Biarlah rasional dan elakkan daripada membebel atau memujuk anak ketika mengenakan akibat.

3R (Related, Respectful, Reasonable): Akibat yang berkesan perlu berkait (related) secara logik dengan kelakuan dan tidak diberi sesuka hati. Ia juga perlu bersifat hormat (respectful) dengan anak-anak dan tidak memalukan mereka. Akibat juga perlulah berpatutan (reasonable) dengan umur dan kemampuan mereka, dan sepadan dengan kelakuan berkenaan.

Jelas dan ringkas: Berikan arahan yang jelas dan ringkas kepada anak anda apabila mengenakan akibat. Ini membantu mereka memahami niat anda dan mengelakkan anda daripada terlibat dalam rundingan atau perbalahan remeh yang boleh memesongkan pengajaran.

Tugasan dan masa yang khusus: Akibat bertugasan khusus bermakna anak anda patut melakukan satu tugasan khusus secara aktif, dan bukannya menunggu dengan pasif sehingga akibat itu berakhir. Akibat juga perlu ada masa yang khusus supaya tempoh yang diberi cukup panjang untuk membuat mereka berusaha, tetapi tidak terlalu panjang sehingga anak dan ibu bapa hilang tumpuan. Akibat juga perlu diberi serta-merta agar anak anda boleh menghubungkaitkan kelakuan mereka dengan akibat tersebut.

Konsisten dan teguh: Anda haruslah konsisten dengan akibat yang telah ditetapkan untuk kelakuan sekarang dan masa hadapan. Teguh dengan keputusan anda dan jangan menyerah kepada sebarang tentangan atau kelakuan yang masih tidak berubah.

Sentiasa bersedia: Senaraikan akibat untuk tingkah laku yang mungkin berlaku pada masa hadapan agar anda boleh bersedia apabila tingkah laku tersebut terjadi. Anda juga boleh menyediakan senarai untuk masa-masa tertentu seperti ketika menaiki kapal terbang atau pergi berkelah di pantai.

Dengan mengalami akibat, anak-anak belajar untuk berfikir tentang apa yang telah mereka lakukan dan bagaimana mereka boleh membuat perubahan. Dalam jangkamasa panjang, ia mengajar mereka bahawa tindakan mereka ada akibatnya, dan membina asas yang sesungguhnya perlu dan penting untuk mereka berjaya di ‘dunia sebenar’ apabila mereka dewasa nanti.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen