Pengasuhan Positif

Memupuk Kecerdasan Emosi Anak Anda

Anda mungkin pernah mendengar tentang IQ atau darjah kecerdasan, tetapi kanak-kanak yang telah mengembangkan EQ (darjah emosi), atau kecerdasan emosi mereka, didapati lebih sihat dari segi fizikal, mendapat pencapaian di sekolah yang lebih baik dan bergaul lebih baik dengan kawan-kawan. EQ ialah keupayaan untuk mengenali, memahami, dan mengawal emosi diri dan emosi orang lain.

IQ lawan EQ

Adalah satu tanggapan salah yang lazim bahawa sama ada IQ atau EQ adalah lebih penting dalam meramal kejayaan hidup. IQ dan EQ hanya berbeza dari segi apa yang diukur. IQ mengukur kecerdasan kognitif anda – kemahiran menyelesaikan masalah, pengecaman corak, pemikiran logik, kebolehan matematik – dan kemahiran anda memproses maklumat. Sebaliknya, EQ mengukur kecerdasan emosi dan kemahiran anda memproses maklumat emosi untuk membimbing keputusan dan tindakan anda. Sebagai satu analogi, IQ meramal laluan kerjaya atau bidang anda, manakala EQ menentukan bagaimana anda berjaya di kedudukan tersebut dan bagaimana anda berkerjasama baik dengan rakan sekerja anda.

Pakar psikologi, Daniel Goleman, mendapati bahawa EQ terdiri daripada lima komponen:

  • Kesedaran diri: keupayaan mengenali emosi diri, kekuatan, kelemahan, penilaian, dan matlamat.
  • Pengaturan diri: keupayaan mengawal emosi diri dalam bertindak balas terhadap sesuatu keadaan.
  • Motivasi dalaman: semangat untuk mencapai atau berjaya dalam matlamat hidup kita sendiri.
  • Empati: keupayaan memahami dan bertimbang rasa terhadap emosi orang lain.
  • Kemahiran sosial: keupayaan membina dan mengendalikan hubungan.

Beliau menganggarkan bahawa IQ membentuk, paling banyak hanya 20% faktor yang menentukan kejayaan hidup. Selebihnya dibentuk oleh faktor lain, seperti EQ, kekayaan, tahap pendidikan keluarga dan nasib.

Seorang lagi pakar psikologi, John Gottman, memerhatikan cara ibu bapa memberi tindak balas kepada emosi anak mereka dalam usaha untuk memahami bagaimana EQ terbentuk dan mendapati bahawa umumnya, ibu bapa memberi tindak balas kepada emosi anak mereka mengikut salah satu daripada empat cara berikut.

  1. Ibu bapa yang tidak mengambil endah melihat emosi anak-anak sebagai tidak penting dan cuba untuk menyingkirnya dengan cepat, sering kali dengan mengalih perhatian.
  2. Ibu bapa yang tidak bersetuju melihat emosi sebagai sesuatu yang perlu dipatahkan, lazimnya melalui hukuman.
  3. Ibu bapa laissez-faire (tiada peraturan tertentu) menerima semua emosi daripada anak-anak, tetapi gagal untuk membantu anak mengatasi masalah atau meletakkan batas pada tingkah laku tidak wajar.
  4. Ibu bapa yang membimbing emosi menghargai kedua-dua emosi negatif dan positif, tidak mudah hilang sabar dengan cara anak mereka meluahkan emosi,dan menggunakan pengalaman emosi sebagai satu peluang untuk mengeratkan hubungan dan memberi bimbingan melalui pelabelan emosi dengan wajar dan menyelesaikan masalah semasa.

Memupuk EQ kanak-kanak

Berdasarkan pemerhatiannya terhadap interaksi ibu bapa dengan anak mereka, Gottman menyarankan lima langkah berikut untuk memupuk dan memperbaiki EQ kanak-kanak:

Langkah 1: Menyedari emosi anak anda
Ibu bapa yang melatih emosi sedar akan perasaan sendiri dan juga peka terhadap emosi anak mereka. Penting untuk sedar bahawa emosi tidak ada yang betul atau salah, dan semuanya diperakui. Mereka tidak tunggu sehingga tingkah laku anak bertambah buruk atau sehingga anak menukar emosi mereka menjadi aksi agar perasaan mereka diakui.

Langkah 2: Melihat emosi sebagai satu peluang untuk berhubung dan mendidik
Emosi kanak-kanak bukan sesuatu yang menyusahkan atau satu cabaran. Ia adalah peluang untuk berhubung dengan anak anda dan membimbing dia mengatasi perasaan yang mencabar. Sedari bahawa anak kecil mungkin membuat karenah kerana kecewa apabila luahan emosi mereka disekat, yang mana boleh membuat mereka meningkatkan lagi tahap emosi mereka.

Langkah 3: Dengar dan mengesahkan perasaannya
Beri perhatian sepenuhnya kepada anak anda apabila anda mendengar mereka meluahkan emosi mereka. Ulang semula apa yang anda dengar, untuk memberitahu anak anda bahawa anda memahami apa yang mereka lihat dan alami. Dengan menyediakan ruang untuk anak anda didengari boleh mengurangkan tahap emosi ketika ia diluahkan. Ini membantu emosi jadi lebih tenang dan memperbaiki komunikasi antara ibu bapa dan anak.

Langkah 4: Label emosi mereka
Setelah anda mendengar sepenuhnya, bantu anak anda membina kesedaran dan perkataan untuk meluahkan emosi mereka. Kini, anak anda mungkin mempunyai emosi yang bercampur-baur, contohnya mempunyai hubungan sayang-benci terhadap adik beradiknya. Anda boleh membantu mereka memahami apa yang terjadi dengan meminta mereka menerangkan apa yang mereka rasa dan membantu mereka melabel emosi dengan sepatutnya.

Langkah 5: Bantu anak anda menyelesaikan masalah dengan batasan
Semua emosi boleh diterima – tetapi bukan semua tingkah laku. Bantu anak anda mengatasi emosi mereka dengan membina kemahiran menyelesaikan masalah. Bataskan luahan perasaan kepada tingkah laku yang wajar. Ini bermakna membantu anak anda menentukan matlamat dan menjana penyelesaian untuk mencapai matlamat tersebut. Dengan membantu anak anda begini akan mengajar mereka untuk mengenalpasti emosi mereka sendiri dan untuk mereka berfikir sendiri bagaimana cara mengawal kelakuan mereka dengan lebih positif di masa hadapan.

Walaupun pada mulanya untuk menyempurnakan langkah-langkah tersebut akan mengambil masa, Gottman mendapati bahawa ibu bapa yang membimbing hanya mengikuti kesemua lima langkah dalam 20-25% masa, maka yang demikian mencadangkan bahawa tidak perlu rasa bersalah kerana tiada ibu bapa yang boleh melengkapkan proses ini setiap masa.

Mengapa EQ penting?

Kajian demi kajian yang membuktikan kepentingan EQ menunjukkan bahawa kecerdasan emosi meramalkan kejayaan masa depan dalam hubungan, kesihatan dan kualiti hidup. Telah terbukti bahawa kanak-kanak yang mempunyai EQ tinggi mencapai markah yang tinggi, kekal lebih lama di sekolah dan pada keseluruhannya membuat pilihan yang lebih sihat. Guru-guru juga melaporkan bahawa pelajar yang mempunyai EQ tinggi lebih bekerjasama dan menjadi pemimpin yang lebih baik di dalam bilik darjah. Selain itu, mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi adalah peramal baik bagi kejayaan kerjaya berbanding IQ tinggi, yang bermaksud ia dinilai oleh majikan yang mencari calon yang boleh menyempurnakan tugasan dan bergaul dengan orang lain di tempat kerja yang kolaboratif dan progresif.

Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi perhatian sama berat dalam memupuk kedua-dua IQ dan EQ dalam anak-anak kita, kerana kedua-duanya adalah keupayaan yang saling melengkapi dan bekerja bersama-sama untuk pembangunan dan kejayaan anak-anak kita sebagai manusia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen