Pengasuhan Positif

Kemahiran Sosial untuk Remaja

Kemahiran sosial adalah satu set kemahiran yang penting, namun sering diabaikan. Ia merupakan kemahiran yang diperlukan oleh setiap kanak-kanak untuk membesar menjadi sihat dan produktif. Sebagai ibu bapa, anda merupakan guru kemahiran sosial mereka yang pertama. Walaupun banyak aspek kemahiran sosial seorang kanak-kanak datangnya daripada keupayaan semulajadi mereka, keadaan dan persekitaran juga memainkan peranan besar dalam membina kemahiran sosialnya.

Kesedaran tentang kepentingan kemahiran sosial semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kemahiran sosial yang lebih baik sudah pasti memberi anak anda kelebihan dalam hidup. Kelebihan tersebut termasuklah hubungan yang lebih baik dan positif, prestasi kokurikulum yang meningkat, keyakinan diri yang lebih tinggi, imej diri yang lebih baik, dan mereka amnya lebih tabah untuk menghadapi cabaran hidup.

Membina kemahiran sosial

Kemahiran sosial boleh digambarkan sebagai kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain. Berikut adalah beberapa kemahiran sosial asas yang semakin dilupakan di zaman digital:

  • Hubungan mata: Ini merupakan kemahiran sosial yang sangat berkesan dalam mana-mana latar sosial. Dengan begitu banyak gangguan dalam bentuk telefon pintar, tablet, dll, anda lebih cenderung untuk hilang tumpuan ketika bercakap dengan seseorang. Ketepikan sebarang peranti digital ketika berbual, dan gunakannya kembali setelah perbualan anda selesai. Namun begitu, adalah penting untuk mengekalkan hubungan mata secara sederhana. Hubungan mata yang berlebihan memberi gambaran sama ada terlalu serius atau menakutkan, manakala tiada hubungan mata pula menunjukkan kurang minat. Ketahuilah bahawa hubungan mata yang sempurna tidak wujud, maka bertindaklah mengikut keadaan. Contohnya, jika anak anda membuat pembentangan di dalam kelas, hubungan mata boleh berlaku secara rawak dan tidak tertumpu pada seorang individu sahaja.

*Nota penting: Bertindak mengikut budi bicara anda kerana hubungan mata bergantung kepada budaya seseorang. Sebagai contoh, bagi sesetengah budaya, seseorang yang lebih muda dianggap biadap/tidak sopan jika merenung ke dalam mata seseorang yang lebih tua (ia mungkin dianggap kurang ajar atau mencabar kuasa orang lebih tua).

  • Nada suara: Walaupun isi sesuatu ucapan adalah penting, cara ia diucapkan memainkan peranan yang lebih besar. Sebagai contoh, perkataan “Ya”. Dengan nada suara yang betul, ia boleh menjadi satu jawapan yang pasti seperti “YA!”, ketidakpastian “Ya-aa…” atau satu persoalan “Ya?”. Oleh itu, tumpukan kepada cara anda bercakap kerana ia menjadi asas kepada komunikasi lisan.
  • Bahasa badan: Isyarat visual memberi kita banyak input apabila berkomunikasi dengan seseorang. Riak wajah dan bahasa tubuh menjadi asas bagi kebanyakan komunikasi bukan lisan, dan salah faham boleh berlaku jika kita tidak memberi perhatian tentangnya. Contohnya, membaca buku atau menonton TV sambil bercakap dengan seseorang memberi gambaran bahawa anda tidak berminat dengan apa yang sedang mereka katakan. Begitu juga, apabila anda berpeluk tubuh dan duduk bersilang kaki, ia juga memberi gambaran bahawa anda tidak berminat untuk bercakap, walaupun sebenarnya anda bertindak sedemikian kerana berasa sejuk dan cuba untuk memanaskan badan!

 

Kemahiran penting yang lain

Sebagai tambahan kepada perkara di atas, anda harus menjadi teladan bagi anak anda dengan mengamalkan kemahiran-kemahiran berikut bersama mereka, contohnya:

  • Mendengar secara aktif: Daripada hanya bergantung pada deria pendengaran anda, kemahiran ini menunjukkan bahawa anda memberi tumpuan terhadap perbualan tersebut. Melalui pendengaran secara aktif, anda memberi perhatian kepada orang yang sedang bercakap dan memberi dia peluang untuk bercakap. Ia melibatkan aspek-aspek berikut:– beri dia sepenuh perhatian (kekalkan hubungan mata) dan perhatikan juga bahasa badannya.
    – biarkan dia bercakap tanpa anda mencelah (tanya soalan setelah dia selesai bercakap atau apabila perbualan terhenti sebentar)
    – galakkan dia meneruskan perbualan menggunakan isyarat lisan (contohnya, “Oh begitu”) atau isyarat bukan lisan (contohnya mengangguk-anggukkan kepala anda).
    – setelah dia selesai bercakap, berikan tindak balas yang sewajarnya.
  • Berbicara dengan tegas, bukan agresif: Nyatakan pendapat anda dengan tegas tetapi hormati juga pandangan atau buah fikiran orang lain. Menyerang atau tidak mempedulikan pandangan orang lain yang tidak memihak kepada pandangan anda adalah satu tindakan yang agresif. Sikap tegas merupakan kesan daripada harga diri dan keyakinan diri yang tinggi, maka adalah penting bagi anak anda untuk menguasai kemahiran ini. Jangan lupa untuk menekankan kepentingan menghormati orang lain dan bersopan santun pada setiap masa. Tiada sebab untuk memalukan orang lain hanya untuk menegakkan pendapat anda.

Bersedia untuk menghadapi dunia sebenar

Ini hanyalah sebahagian cara yang boleh membantu anak anda meningkatkan kemahiran sosialnya. Cara lain termasuk menggalakkan dia terlibat dengan kerja-kerja sukarela dalam komuniti (cara terbaik untuk membina empati dan interaksi sosial) dan juga sukan berpasukan (untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikalnya) seperti bola sepak, futsal, atau hoki.

Semua aktiviti tersebut membantu membina kemahiran sosialnya, terutama aktiviti yang berkaitan dengan kerja berkumpulan dan menyelesaikan masalah. Sudah pasti akan ada konflik yang memerlukan anak anda untuk menyelesaikannya. Dengan cara ini, ia akan memberi pendedahan yang baik baginya untuk menghadapi realiti alam dewasa.

Akhir sekali, jangan lupa bahawa anda adalah teladan bagi anak anda, maka pastikan anda berkomunikasi dengannya sebagaimana anda mahu dia contohi. Ingat bahawa ini juga termasuk cara anda berkomunikasi dengan orang lain!

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen