Pengasuhan Positif

Kualiti Udara Dalam Rumah

Setiap tahun, kita terpaksa berdepan dengan jerebu dan kesannya terhadap kesihatan. Malangnya, ramai orang gagal untuk sedar bahawa pencemaran udara bukan hanya terhad pada luar rumah tetapi juga di dalam rumah. Kualiti Udara Dalaman atau Indoor Air Quality (IAQ) berkait rapat dengan kualiti udara di dalam bangunan seperti rumah anda yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan keselesaan anda. Sepertimana jerebu boleh mempengaruhi kesihatan, tahap IAQ yang tidak baik juga boleh memberi risiko kesihatan kepada anda dan keluarga.

Kesan jangka pendek terhadap kesihatan termasuk pening kepala, penat, loya, serta radang mata, hidung dan tekak. Kesan jangka panjang pula akan menjadi ketara apabila seseorang terdedah dalam jangka masa yang lama dan secara kerap. Risiko kesihatan termasuk masalah pernafasan, sakit jantung, atau kanser. Oleh sebab itu, adalah penting untuk memastikan tiada bahan pencemar yang akan menghasilkan Indoor Air Quality (IAQ) tidak baik di dalam rumah memandangkan kanak-kanak merupakan kumpulan yang mudah dijangkiti.

Adakah anda tahu?

Satu kajian di US mendapati kebanyakan orang menghabiskan 68.7% masa mereka di dalam rumah, manakala hanya 7.6% dari masa mereka dihabiskan di luar rumah. Walau bagaimanapun, kajian lain yang dijalankan di Kanada menunjukkan bahawa nilai ini turut dipengaruhi oleh umur, di mana bayi menghabiskan purata 89.2% masa mereka di dalam rumah, 74% bagi kanak-kanak berumur 1-4 tahun dan 71.3%-69.5% bagi kanak-kanak berumur 5-19 tahun.

Benda yang perlu dielak

Cara paling efektif untuk memastikan IAQ yang baik adalah dengan menyingkirkan sumber pencemaran udara di dalam rumah. Antara sumber tersebut termasuklah asap rokok dan bahan pencemar udara biologikal seperti kulat, bulu/kulit haiwan, lipas dan tungau. Bahan pencemar kimia atau sebatian organik mudah meruap (volatile organic compound, VOC) adalah hasil daripada bahan kimia organik (seperti formaldehid) bertukar menjadi wap atau gas pada suhu bilik. Produk tersenarai di bawah mungkin mengandungi VOC:

  • Perabot kayu dan perabot berasaskan kayu (diperbuat daripada kayu lapis, papan partikel atau MDF)
  • Lapisan lantai, dinding, panel siling, and lantai berlamina
  • Fabrik tahan renyuk, langsir dan tilam
  • Gam atau pelekat, pengedap
  • Cat (yang mengandungi VOC tinggi)
  • Racun
  • Detergen

Memeriksa IAQ

Anda boleh memeriksa sendiri tanda-tanda masalah IAQ yang mungkin terdapat di rumah anda:

  • Bau yang tidak menyenangkan
  • Udara yang melemaskan
  • Pendingin udara yang kotor (buka pendingin udara dan periksa keadaan penapis)
  • Bilik atau tempat yang mempunyai kelembapan berlebihan, pemeluwapan, kebocoran atau tumpahan air
  • Pertumbuhan kulat yang tidak sepatutnya ada (seperti di bawah atau belakang sinki bilik air)

Tanda-tanda IAQ yang tidak baik pada bayi/ kanak-kanak

Awasi tanda-tanda berikut:

  • Radang mata (mata anak anda mungkin berair atau dia mungkin menggosoknya tanpa sebab), hidung atau tekak (dia mungkin bersin dan batuk tanpa sebab tertentu)
  • Masalah pernafasan (dia mungkin tercungap-cungap untuk bernafas atau berdehit)
  • Hidung berair (iritasi hidung boleh mengakibatkan hingus berlebihan dihasilkan)

Jika anda melihat tanda-tanda berikut, segera pindahkan anak anda ke kawasan rumah yang lain, dan awasi mereka bagi memastikan tanda berikut tidak berlanjutan. Sebaliknya, jika tiada jerebu, anda boleh juga membawa mereka keluar untuk mendapatkan udara segar. Jika anak kecil anda sudah mula bercakap, jangan mengendahkannya apabila dia merungut tentang bau busuk kerana ia mungkin berkait dengan kualiti udara dalaman yang tidak baik.

Meningkatkan kualiti udara dalaman

Jadi proaktif dan ambil langkah yang sepatutnya untuk meningkatkan IAQ di rumah anda. Berikut adalah cara mudah yang boleh anda praktikkan:

  • Hadkan sumber pencemaran: Berhati-hati ketika menggunakan produk yang menghasilkan bahan pencemar seperti VOC. Contohnya, pastikan pengudaraan yang cukup ketika mengecat dinding dan sehingga cat tersebut kering sepenuhnya dan baunya hilang. Sebagai alternatif, pilih cat yang kurang VOC atau cat yang bebas ammonia dan formaldehid.
  • Jangan merokok di dalam rumah: terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa asap rokok merupakan campuran toksik yang terdiri daripada pelbagai bahan kimia dan bahan pencemar yang tidak baik untuk kesihatan. Selain asap terpakai, terdapat juga bahaya pada ‘asap rokok tertier’ iaitu sisa asap rokok yang melekat pada sebarang permukaan, seperti dinding, lantai, pakaian atau kulit.
  • Pastikan udara masuk ke dalam rumah: Membiarkan udara segar masuk membantu menyingkirkan bahan pencemar udara yang ada atau yang terkumpul di dalam rumah. Anda hanya perlu membuka tingkap atau kipas, dan membiarkan pintu/tingkap terbuka untuk membantu pengudaraan. Walau bagaimanapun, jangan melakukannya ketika jerebu!
  • Bersih dan tukar penapis secara kerap: Pendingin udara dan pembersih udara dilengkapi dengan penapis yang memerangkap debu serta bahan pencemar udara yang lain. Jadi, ianya penting untuk memastikan penapis ini bersih dan sentiasa ditukar. Kekerapan untuk menukar penapis adalah berbeza antara setiap produk. Tuliskan tarikh pemasangan dan tarikh penukaran pada label dan tampalkannya pada alat tersebut.

  • Kawal kelembapan: Kelembapan yang tinggi adalah tidak diingini kerana ia menggalakkan pertumbuhan kulat. Mop sebarang tumpahan dengan segera untuk mengelakkan air meresap masuk ke dalam rekahan jubin atau lantai. Penggunaan penghawa dingin di dalam bilik juga membantu mengehadkan kelembapan.
  • Pastikan lantai & dinding bersih: Ini akan membantu menghilangkan lebihan kotoran dan debu yang mengandungi bahan pencemar permukaan seperti virus dan bakteria. Disebabkan debu amat ringan, ia mudah dibawa oleh angin dan mudah disedut. Kekerapan membersihkan rumah bergantung kepada seberapa kotor rumah anda. Contohnya, jika anda mempunyai keluarga yang kecil dan tiada haiwan peliharaan, anda boleh membersihkan rumah sekali seminggu.
  • Awas perangkap “kotoran”: karpet, permaidani, kusyen, sarung sofa dan cadar boleh memerangkap kotoran atau debu. Kekerapan membersihkannya bergantung kepada seberapa kerap ianya digunakan. Sebagai contoh, basuh cadar setiap minggu dan basuh penutup sofa setiap bulan.

Sentiasa awasi tanda masalah IAQ, terutamanya dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kerana mereka tidak dapat memberitahu anda seandainya mereka mengalami sebarang kesukaran bernafas. Tambahan lagi, saiz mereka yang kecil menyebabkan mereka mudah terdedah kepada bahan pencemar udara walaupun kuantitinya sedikit. Jumlah pendedahan yang boleh menyebabkan tindakbalas yang sama bagi anda mungkin lebih tinggi, kecuali jika anda sensitif kepada bahan pencemar udara tertentu. Jangan mengambil mudah udara bersih, kerana ia merupakan faktor penting bagi kesihatan anda dan anak anda.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen