Sarapan adalah waktu makan pertama, ia juga merupakan hidangan pertama yang anda akan beri kepada tubuh anda selepas lapan jam (atau lebih) berpuasa sejak hidangan terakhir sebelum tidur. Ia merupakan hidangan harian yang paling penting kerana ia membantu tubuh bersedia untuk menjalankan aktiviti sepanjang hari.
Faedah sarapan
Bersarapan akan membantu meningkatkan daya tumpuan kanak-kanak sekolah dan menjadikan mereka lebih bertenaga.
Dalam kajian mengenai pengambilan sarapan dalam kalangan pelajar, penyelidik mendapati bahawa memakan sarapan boleh mengurangkan kadar ketidakhadiran ke kelas.
Dari segi kesihatan, kanak-kanak yang makan sarapan secara tetap cenderung mempunyai kesihatan keseluruhan yang lebih baik, terutama jika mereka diberi sarapan yang berkhasiat. Ia merupakan kesempatan yang baik untuk membekalkan anak anda dengan nutrien secukupnya. Ia juga memastikan mereka mendapat lebih banyak vitamin dan mineral berbanding apa yang mereka dapat hanya daripada makan tengah hari dan makan malam. Contohnya, sarapan yang ringkas seperti bijirin sarapan dan susu memberi anak anda:
- Serat, yang menggalakkan pembuangan najis dan juga mengurangkan risiko obesiti kerana ia membuat anda rasa kenyang justeru mengurangkan pengambilan makanan.
- Susu, kaya dengan banyak nutrien penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.
Tidak Bijak untuk Melangkau
Selalunya waktu pagi merupakan waktu yang sibuk antara anda tergesa-gesa hendak bersiap untuk pergi kerja dan pada masa yang sama, memastikan anak anda juga bersiap. Ini selalunya tidak memberi anda banyak masa untuk anda menyediakan sarapan. Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah untuk sekurang-kurangnya berusaha bersungguh-sungguh untuk menyediakan sarapan untuk keluarga.
Sarapan merupakan sesuatu yang tidak boleh diambil ringan. Akan tetapi, kajian mendapati 1 dalam 4 murid sekolah melangkau sarapan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Harus diperhatikan bahawa, mereka yang melangkau sarapan adalah 1.34 kali lebih berkemungkinan menjadi lebih berat badan atau obes. Begitu juga bagi orang dewasa, tidak semua yang mengambil sarapan bilamana tinjauan mendapati 1 dalam 10 orang dewasa melangkau sarapan.
Jika anda tergolong di dalam kategori mereka yang suka melangkau sarapan, jangan khuatir! Teruskan membaca untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang apa yang anda boleh lakukan untuk mengatasi masalah ini.
Tiada alasan untuk tidak bersarapan
Tersenarai di bawah ialah beberapa alasan untuk melangkau sarapan dan tip-tip tentang cara anda boleh mengatasinya:
- Saya cuma ada beberapa minit sahaja untuk bersiap! – atau – Saya tidak ada masa untuk memasak pada waktu pagi.
Hanya beberapa minit sahaja diperlukan untuk makan semangkuk bijirin sarapan bersama susu dan potongan buah. Anda boleh menyediakan bahan-bahan pada malam sebelumnya – letak mangkuk dan sudu di atas meja, potong buah dan simpan di dalam peti sejuk. Pada waktu pagi, tuangkan sahaja bijirin dan gaulkan dengan buah dan susu dan ia sudah siap untuk dimakan! Sebagai alternatif, anda boleh menyediakan sarapan pada malam sebelum dan panaskan sahaja keesokan pagi. - Tidak boleh berhenti untuk bersarapan – atau – saya ada mesyuarat penting! – atau – saya perlu pergi kerja awal!
Makan sesuatu yang anda boleh makan sambil berjalan seperti satu sajian makanan/minuman contohnya, biskut berserat tinggi dan satu pek minuman bermalt/susu. Sebagai alternatif, anda boleh ambil buah seperti epal, pisang, atau pir. Anda juga boleh menyediakan sandwic mudah pada malam sebelumnya (contohnya roti bijirin penuh dengan inti tuna). - Terlalu awal untuk sarapan – atau – Saya belum lapar lagi
Anda tidak perlu makan sarapan dalam tempoh satu jam selepas bangun tidur, hanya pastikan anda makan sesuatu untuk memberi tubuh anda tenaga. Sebagai permulaan, makan sekeping roti bijirin penuh dan segelas minuman malt/susu dan kemudian snek berkhasiat pada waktu pertengahan pagi jika anda lapar. Sebagai alternatif, anda boleh minum sarapan pagi! Cuba smoothie berkhasiat dengan mengisar yogurt, pisang dan susu serta sedikit ais. - Saya sedang berdiet jadi saya melangkau sarapan
Memakan sarapan sebenarnya membantu mengurangkan atau mengawal berat badan kerana ia membantu menghalang keinginan sesuatu makanan dan daripada makan berlebihan pada waktu siang hari. Anda boleh memilih sarapan kurang lemak yang terdiri daripada telur rebus dan roti bijirin penuh serta sedikit buah (contohnya, sepotong betik atau sebiji epal).
Ingat, anda perlu memberi keutamaan kepada sarapan di rumah! Walaupun seluruh keluarga tidak dapat duduk bersama untuk bersarapan, anda masih perlu menyediakan sesuatu untuk anak anda. Jika tidak cukup masa untuk dia makan di rumah, anda sentiasa boleh menyediakan makanan yang boleh dimakan sambil berjalan. Pilihan sihat termasuk minuman malt sedia diminum/yogurt, bijirin, biskut sarapan dan buah segar.
Kesan buruk melangkau sarapan
Memakan sarapan banyak faedahnya, namun, apa pula kesan buruk jangka panjang melangkau waktu makan? Terdapat beberapa masalah yang akan dihadapi oleh mereka yang melangkau sarapan, khususnya:
- memberi kesan negatif terhadap pencapaian akademik anak anda, contohnya kurang tumpuan di sekolah, kadar ketidakhadiran yang tinggi.
- lebih cenderung kepada pengambilan snek berkalori tinggi, boleh menjurus kepada peningkatan berat badan yang berlebihan.
Teruskan membaca
Sarapan Membuat Hari Anda Bertenaga: Memupuk Tabiat Bersarapan
Komen