Pengasuhan Positif

Memahami Tanda Regang Kehamilan

Tanda regang adalah kejadian lazim yang menimpa kebanyakan wanita hamil. Ia boleh timbul di badan kaki dan punggung. Walaupun ia tidak melambangkan tanda risiko kesihatan, ia boleh menjadi tidak selesa kerana gatal. Mungkin aspek paling penting, ialah dari segi kecantikan!

Mengapa ia terbentuk?

Tanda regang yang terjadi semasa kehamilan (atau stria gravidarum) berpunca daripada regangan fizikal pada kulit. Walaupun kulit kita anjal dan boleh mengembang/mengecut, semasa tempoh peningkatan berat badan mendadak, tetapi kulit tidak sempat untuk membuat penyesuaian. Jika tubuh mengembang terlalu cepat daripada kulit, ia akan mengoyakkan kulit dan meninggalkan parut, atau tanda regang.

Tahukah anda?

Tanda regang bukan sahaja terjadi pada wanita hamil; seseiapa yang mengalami penambahan berat badan secara mendadak boleh mengalami tanda regang, contohnya semasa baligh, masalah perubatan seperti Sindrom Marfan atau Sindrom Cushing, atau penggunaan krim/losyen kortikosteroid yang berpanjangan. Sebagai contoh, atlet lelaki yang naik berat badan secara tiba-tiba kesan daripada latihan angkat berat juga boleh mengalami tanda regang.

Tanda regang biasanya kelihatan sekitar trimester ketiga kehamilan. Ia bermula dengan garisan-garisan merah jambu atau tanda-tanda di kulit anda dan mungkin rasa gatal. Tanda regang akan ‘membesar’ menjadi lebih panjang dan luas secara perlahan-lahan dan warnanya boleh menjadi semakin merah atau unggu. Apabila semakin ‘matang’, warnanya mula pudar menjadi putih pucat atau berwarna perak.

Amnya, tanda regang muncul di abdomen atau bahagian tubuh di mana terdapat banyak tersimpan lemak seperti payu dara, paha, pinggul, bahagian bawah belakang dan punggung. Walaupun tanda regang tidak boleh dicegah, terdapat beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk mengurangkan kesannya. Salah satu cara paling berkesan ialah dengan menyapu produk jagaan kulit yang membantu memaksimumkan keanjalan kulit, lantas memastikan ia kekal lembut dan cukup hidrasi.

Mencegah tanda regang

Perkara paling penting yang boleh anda lakukan adalah memberi tumpuan seberapa yang boleh kepada usaha-usaha untuk mencegah tanda regang. Anda harus tumpu kepada pencegahan kerana parut yang berpunca daripada tanda regang tidak boleh sembuh – ia boleh dikurangkan, tetapi mungkin tidak boleh hilang sepenuhnya.

Beberapa faktor yang mempengaruhi keterukan tanda regang termasuk umur ibu hamil, peningkatan berat semasa hamil, berat badan bayi, sejarah keluarga mengalami tanda regang dan juga umur gestasi semasa kelahiran. Walaupun kebanyakan faktor ini adalah di luar kawalan anda, terdapat dua faktor utama yang boleh anda kawal, khususnya:

  • Elakkan penambahan berat badan yang berlebihan: pastikan anda mendapat nasihat doktor untuk mengetahui jumlah penambahan berat badan yang sihat dan harus dicapai ketika hamil. Pepatah lama ‘makan untuk dua orang’ tidak membawa kebaikan kepada anda kerana ia menjurus kepada penambahan berat badan yang berlebihan. Ia seterusnya meningkatkan risiko anda kepada tanda regang dari segi kuantiti dan keterukan tanda regang.
  • Jaga diri anda: Dengan menjaga keseluruhan kesihatan, anda juga menjaga kesihatan kulit anda. Sesetengah buah dan sayur kaya dengan antioksidan yang membantu memelihara kesihatan kulit. Jangan lupa juga untuk sentiasa menjaga hidrasi anda dengan meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari.

Tanda regang biasanya menjadi kurang ketara apabila anda mula mengurangkan berat badan yang meningkat ketika anda hamil kerana kulit anda mengecut dan kembali normal secara perlahan-lahan. Pemakanan dan senaman adalah penting, oleh itu pastikan anda mendapatkan nasihat doktor tentang makanan yang anda harus ambil dan jenis senaman yang sesuai.

Bahagian-bahagian lazim di mana tanda regang kelihatan ketika hamil

Tanda regang: bukan penghujung dunia

Ingat, tanda regang tidak membahayakan kesihatan fizikal anda. Namun begitu, ia bergantung kepada keterukannya. Bagi sesetengah orang, ia mungkin sesuatu yang membimbangkan kerana boleh menjadi punca tekanan emosi dan psikologi. Walaupun terdapat banyak kaedah yang dikatakan berkesan, namun tidak banyak bukti yang menunjukkan keberkesanannya seperti yang diiklankan.

Perkara yang paling membantu ialah mempunyai pasangan yang menyokong dan sentiasa berada disamping anda, yang bersedia untuk mendengar jika anda perlu menghamput dan menjerit, yang akan memujuk anda dan menaikkan semangat anda bila anda memerlukannya, dan yang paling penting, memberi kasih sayang dan perhatian yang anda perlukan.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen