Pengasuhan Positif

Bagaimana Diet Menjejaskan Kesihatan Usus Kita

Usus yang sihat adalah kritikal kepada kesihatan secara keseluruhan manakala usus yang tidak sihat menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti sindrom usus rengsa dan penyakit Crohn’s. Kemerosotan kesihatan usus juga dikaitkan dengan peningkatkan risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit (contohnya obesiti, diabetes dan kanser).

Komponen Sistem Penghadaman

Sistem penghadaman terdiri daripada saluran gastrousus, hati, pankreas dan pundi hempedu. Organ geronggang yang merangkumi saluran gastrousus termasuk mulut, esofagus, perut, usus kecil, usus besar, rektum dan dubur.

Bakteria di dalam saluran gastrousus (juga dikenali sebagai flora usus atau mikrobiom) turut dianggap sebagai komponen penting sistem penghadaman kerana membantu dalam penghadaman dan fungsi usus yang lain. Dari mengunyah sehinga membuang air besar, kesemua komponen sistem penghadaman bekerjasama untuk menyempurnakan tugas menghadam makanan (pepejal dan cecair) yang kita makan setiap hari.

Turutkan Rasa Binasa, Turutkan Hati Mati

Sistem penghadaman adalah organ pertama yang berhubung dengan makanan yang kita makan. Sistem penghadaman mengubah makanan yang kita makan kepada bentuk yang paling ringkas. Komponen sistem penghadaman adalah kuat dan berdaya tahan, walau bagaimanapun tabiat gaya hidup yang tidak sihat boleh memberi kesan.

Lemak & Minyak, Merosakkan

Lebih banyak anda mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak, semakin banyak hempedu dan enzim lipase diperlukan oleh tubuh anda untuk menghadam lemak. Jika anda makan terlalu banyak lemak, anda akan membebankan keupayaan hati dan pankreas untuk menghasilkan hempedu dan enzim lipase secukupnya bagi membantu penghadaman lemak tersebut, akibatnya ketakcernaan akan berlaku. Hati dan pankreas yang bekerja lebih, lama-kelamaan akan menyebabkan ia tidak berfungsi dan situasi ini boleh membawa kepada penyakit hati berlemak, kerintangan insulin dan diabetes.

Garam Secukup Rasa

Garam atau natrium klorida penting untuk memelihara keseimbangan cecair di dalam sel, pengecutan otot dan penghantaran impuls saraf. Tubuh anda juga memerlukan garam untuk memelihara paras pH yang betul di dalam perut dan juga menghasilkan asid hidroklorida. Garam juga memainkan peranan dalam membantu proses menyerapan nutrien. Walau bagaimanapun, pengambilan terlalu banyak garam, akan meningkatkan risiko ulser gaster (gastric ulcer), kanser perut dan tekanan darah tinggi. Manakala, terlalu sedikit pula dan anda tidak akan dapat menghasilkan asid secukupnya untuk melerai dan menyerap makanan lalu menyebabkan ketidakhadaman.

Garam

Mati Semut kerana Gula

Pankreas, sebahagian daripada sistem penghadaman, mengeluarkan insulin untuk memelihara keseimbangan gula dalam darah. Bagaimanapun, terlalu banyak gula akan menyebabkan pengeluaran insulin terlalu banyak atau tidak mencukupi. Ini akan membawa kepada hipoglisemia (paras gula rendah dalam darah) atau hiperglisemia (paras gula tinggi dalam darah). Hati juga menggunakan gula fruktosa yang juga dipanggil gula buahan bagi menghasilkan lemak. Terlalu banyak gula biasa dan sirap jagung yang mengandungi fruktosa tinggi akan menyebabkan peningkatan lemak dan menjurus kepada penyakit hati. Bakteria usus berbahaya juga menggunakan gula sebagai makanan untuk membiakkan dan seterusnya menyebabkan masalah perut.

Gula

Mengucar-kacirkan Mikrobiom Usus Anda

Bakteria di dalam usus anda membantu menghalang kemasukan patogen, menghadam nutrien tertentu dan ubat-ubatan, malah membantu dalam penghasilan nutrien penting, memelihara integriti usus serta dikaitkan dengan kelancaran fungsi sistem imun. Sebarang gangguan pada keseimbangan mikrobiom yang normal akan meningkatkan risiko usus dengan jangkitan dan ancaman luar yang berbahaya. Ketidakseimbangan mikrobiom usus berpunca daripada tabiat pengambilan diet yang tidak sihat, pencemaran persekitaran dan penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan sebagainya.

Mikrobiom

Selain daripada makanan yang anda makan, tabiat makan juga boleh menjejaskan kesihatan anda. Sebagai ibu bapa, amalkan tabiat makan berikut dan didik anak-anak anda tentang usus dan makanan dari awal:

  1. Kunyah makanan dengan sempurna sebelum menelan dan jangan makan terlalu cepat. Makan dengan cepat boleh menyebabkan ketakcernaan.
  2. Jangan melangkau waktu makan; ia akan meningkatkan kecenderungan anda untuk makan berlebihan pada waktu makan seterusnya. Makan pada waktu makan yang tetap setiap hari membantu penghadaman.
  3. Jangan makan berlebihan atau memakan sebagai terapi tekanan emosi.
  4. Kurangkan snek atau pilih snek yang lebih berkhasiat (contohnya, buah, kekacang).
  5. Elakkan daripada makan pada waktu lewat malam, terlalu hampir dengan waktu tidur anda. Apabila anda baring di atas katil sejurus selepas makan, anda akan mengalami pedih ulu hati dan refluks asid, ini pula akan menganggu tempoh tidur anda.
  6. Makan lebih banyak makanan kaya serat dan makanan yang mengandungi prebiotik di mana menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan meningkatkan pergerakan usus. Anda juga boleh mengambil probiotik daripada sumber-sumber seperti tempe, kimchi, yogurt dan minuman susu berkultur, yang akan menambahkan bakteria baik ke dalam usus anda.

Mencari Keseimbangan

Makan terlalu banyak jenis makanan juga tidaklah ideal kerana tiada satu jenis makanan yang mempunyai kesemua nutrien untuk memelihara usus dan kesihatan tubuh badan anda. Justeru itu, anda harus makan hidangan seimbang dalam saiz sajian yang sederhana dan terdiri daripada pelbagai makanan daripada setiap kumpulan makanan yang dicadangkan di dalam Piramid Makanan Malaysia. Anda dan keluarga anda boleh mencapai kesihatan usus yang lebih baik dengan transformasi apa yang anda makan dan mengamalkan gaya hidup sihat secara bersama-sama.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen