Pengasuhan Positif

Apabila Pasangan Anda Menghidapi Penyakit Mental

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, prevalen masalah kesihatan mental di Malaysia dalam kalangan orang dewasa menunjukkan trend meningkat dari 10.7% dalam tahun 1996 ke 29.2% pada 2015. Lebih daripada separuh yang terkesan adalah individu yang telah berumah tangga.

Sukar bagi kita untuk menerima hakikat apabila seseorang yang disayangi mengalami penyakit mental seperti skizofrenia, kecelaruan bipolar, atau kecelaruan perasaan kemurungan berat. Dalam masyarakat kita, stigma menghidapi penyakit mental boleh dianggap sebagai memalukan, bukan sahaja kepada orang yang menghidap penyakit tersebut tetapi juga kepada keluarganya.

Mengatasi simptom-simptom penyakit mental yang dihidapi orang yang disayangi adalah lebih mencabar kerana seluruh keluarga terlibat dari segi emosi, sosial, fizikal dan kewangan. Situasi ini boleh menjurus kepada masalah perhubungan malah perpisahan.

Pasangan kebiasaanya akan menjadi orang pertama yang menerima kesan simptom-simptom tersebut. Ini boleh membawa kepada tekanan fizikal dan emosi yang amat berat dan kadang-kala tidak tertahan oleh pasangan.

Jenis-jenis Penyakit Mental dan Isu-isu Lazim yang dihadapi dalam Rumah Tangga

Kemurungan

Seseorang yang mengalami kemurungan mempunyai mood yang sentiasa rendah dan tidak berminat dengan aktiviti-aktiviti kehidupan yang menyeronokkan. Kemurungan dikaitkan dengan tidur tidak lena, kurang selera makan, keletihan, kurang tumpuan dan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Kemurungan yang tidak dirawat boleh menjadi serius dan adakalanya membawa maut kerana ia menyebabkan seseorang itu berisiko tinggi membunuh diri. Yang baiknya ialah kemurungan boleh dirawati. Sebaik sahaja didiagnosis, kebanyakan orang yang mendapatkan bantuan melaporkan berasa lebih baik.

Kecelaruan bipolar

Merujuk kepada dua kutub yang ekstrim; satu kutub merupakan mood “gembira”, ciri-cirinya termasuk perasaan terlebih optimis dan yakin diri, suka berbelanja mewah, cenderung kepada tingkah laku berbahaya serta seks rambang. Ketika fasa ini mereka dilihat sebagai suka berseronok, menarik, optimistik dan penuh bertenaga. Sebaliknya, kutub satu lagi mewakili mood yang murung, suka menyepi diri dan ada perasaan ingin membunuh diri. Tingkah laku yang tidak menentu inilah yang mencabar kesabaran pasangan.

Seperti kemurungan, mereka yang menghidap kecelaruan bipolar cenderung menyalahgunakan alkohol dan narkotik. Pasangan sering dijadikan tempat untuk menyalurkan kemarahan, perangai buruk dan kesalahan kewangan mereka. Pasangan perlu ingat bahawa seseorang yang menghidapi kecelaruan bipolar tidak boleh mengawal kebanyakan tingkah laku mereka secara langsung. Mereka dipengaruhi oleh ketidakseimbangan kimia di dalam otak mereka.

Mendekati Pasangan Anda

Guna nada suara yang tenang dan penuh kasih sayang apabila mendekati pasangan anda untuk membincangkan tentang mendapatkan rawatan. Jangan marah atau beremosi kerana pasangan anda berpotensi mejadi marah luar kawalan.

Dalam kes-kes yang telah didiagnos sebelum ini tetapi hampir berulang, adalah penting untuk membincangkan keperluan untuk mematuhi rawatan dan mendapatkan persetujuan. Contohnya, sesetengah orang yang menghidap kecelaruan bipolar menyedari bahawa mereka mungkin akan ghairah membeli-belah apabila mereka tidak sihat. Justeru, mereka perlu bersetuju agar pasangan mereka mengambil tanggungjawab atas hal-hal kewangan mereka.

Sebaliknya, jika pasangan anda berulan-gulang kali enggan mendapatkan rawatan, anda perlu melindungi diri anda daripada penganiayaan atau gangguan emosi. Ia terjadi terutama dalam kes kecelaruan bipolar di mana penganiyaan terjadi dalam bentuk verbal, fizikal dan kewangan.

Memperkasakan Diri Anda

Tingkatkan Pengetahuan

Belajar lebih mendalam mengenai penyakit pasangan anda. Ini membolehkan anda memahami tingkah laku pasangan anda. Dapatkan juga nasihat daripada doktor mengenai peranan anda ketika pasangan anda menghidapi penyakit mental. Ini membolehkan anda menjadi kuasa positif sepanjang rawatannya.

Dapatkan Sokongan

Mereka yang telah melalui pengalaman yang sama boleh memberi sokongan yang terbaik. Ia mungkin seorang saudara, rakan, atau seseorang yang anda temui semasa menghadiri kumpulan sokongan.

Jaga Diri Anda

Adalah penting untuk menjaga diri. Makan diet yang seimbang dan berkhasiat, banyakkan bersenam dan rehatlah secukupnya. Ambil sedikit masa untuk bersendirian apabila anda perlu bertenang dan berehat. Meluangkan masa melakukan perkara-perkara yang anda gemari akan membantu mengurangkan tahap stres anda dan melindungi anda daripada kehabisan tenaga atau kemurungan.

Ringankan Beban Harian Anda

Pasangan anda mungkin tidak mampu untuk bekerja buat sementara waktu dan anda mungkin perlu menanggung keluarga dari segi kewangan. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu digalas seperti berulang-alik menghantar pasagan anda yang sakit ke tempat rawatan dan tugas lain berkait dengan penjagaan pasangan anda. Ini ditambah pula dengan hal-hal seperti menguruskan anak-anak, rumah dan tanggungjawab di tempat kerja.

Jangan teragak-agak untuk meminta bantuan saudara-mara atau rakan-rakan. Ramai akan tampil untuk membantu jika anda membenarkannya, jadi jangan khuatir untuk meminta pertolongan ketika perlu.

Harapan dan Pencapaian

Stigma penyakit mental boleh membuat pasangan suami isteri teragak-agak untuk mendapatkan bantuan daripada orang lain. Namun, ini tidak meyumbang ke arah kebaikan kerana merahsiakan penyakit tersebut hanya menyebabkan pasangan suami isteri memikul beban tambahan. Membiasakan diri dengan keadaan penyakit pasangan anda akan mengambil sedikit masa. Cabarannya cukup banyak, mujurlah dengan rawatan moden, mereka yang menghidap penyakit mental masih boleh menjalani kehidupan yang bermakna – begitu juga bagi pasangan mereka.

MENCARI BANTUAN DAN SOKONGAN

Organisasi-organisasi berikut komited untuk membantu keluarga dan penjaga orang yang menghidap penyakit mental. Dapatkan sokongan daripada mana-mana organisasi yang anda fikirkan sesuai.

Dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen