Pengasuhan Positif

Lindungi Anak-Anak, Ketahuilah Tentang Flu

Setiap tahun, influenza menyebabkan berjuta-juta jangkitan dan 250,000-500,000 kematian yang mana dianggarkan 28,000-111,500 melibatkan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dari negara-negara membangun. Ibu bapa harus lebih peka tentang flu agar dapat melindungi anak-anak dengan lebih berkesan.

Flu atau ‘influenza’, merupakan penyakit saluran pernafasan yang mudah berjangkit dan berpunca daripada virus influenza A atau B. Di Malaysia, kes-kes influenza terjadi sepanjang tahun dan musim hujan merupakan waktu kemuncaknya. Pada tahun 2015, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 12,133 kes influenza yang dikesan daripada 88 pusat sentinel di seluruh negara. Pada tahun yang sama, 9 kematian dilaporkan. Angka-angka tersebut mungkin lebih tinggi kerana banyak kes tidak dilaporkan dan ada yang tidak didiagnos sebagai influenza.

Tanda-Tanda Flu

Simptom-simptom influenza termasuk demam, batuk, sakit kerongkong, hidung berhingus atau tersumbat, sakit otot, sakit kepala dan keletihan. Kanak-kanak mungkin menghidap satu atau gabungan beberapa simptom tersebut.

Komplikasi Dalam Kanak-Kanak

Kebiasaannya, bagi kanak-kanak yang sihat, mereka akan kembali pulih selepas beberapa hari sehingga kurang daripada dua minggu. Walau bagaimanapun, kanak-kanak berisko tinggi mengalami komplikasi serius termasuk:

  • Jangkitan dada – termasuk pneumonia atau bronkitis
  • Simptom masalah perubatan yang semakin teruk termasuk asma, diabetes dan masalah peparu
  • Tonsillitis (radang tekak)
  • Otitis media (radang telinga)
  • Sinusitis
  • Sawan
  • Meningitis
  • Ensefalitis (radang otak).

Kanak-Kanak Berisiko Tinggi Terhadap Jangkitan

  • Kanak-kanak berusia di bawah dua tahun yang sistem imunnya belum matang.
  • Kanak-kanak yang menghidapi masalah perubatan tertentu (contohnya, asma, penyakit jantung, masalah buah pinggang, penyakit peparu kronik).

Merawat Anak Anda

Jika anak anda menghidapi flu, mereka harus:

  1. Mendapat rehat secukupnya di rumah. Jangan benarkan anak anda pergi ke sekolah/pusat asuhan, elakkan daripada menjangkiti kanak-kanak lain.
  2. Hidrasi secukupnya dengan meminum air kosong atau cecair lain.
  3. Tutup mulut dan hidung menggunakan tisu atau kain bersih apabila mereka batuk atau bersin dan membuangnya ke dalam tong sampah selepas guna. Jika kedua-duanya tiada, mereka harus diajar untuk menutup mulut menggunakan tangan dan kemudian mencucinya dengan bersih.

Influenza dalam kanak-kanak juga boleh dirawat menggunakan ubat antivirus yang menghalang virus flu daripada menular di dalam tubuh. Ia hanya berkesan terhadap influenza yang disebarkan oleh virus dan hanya boleh didapati dengan preskripsi doktor.

Dapatkan Imunisasi

Cara terbaik untuk melindungi anak anda daripada flu ialah dengan memberi dia imunisasi setiap tahun. Kanak-kanak yang berusia lebih daripada 6 bulan disarankan agar diberi vaksin flu bermusim menggunakan salah satu daripada dua jenis vaksin berikut:

Trivalent: perlindungan terhadap 3 virus flu

  • virus influenza A (H1N1)
  • virus influenza A (H3N2)
  • satu jenis virus influenza B (B/Victoria lineage)

Quadrivalent: perlindungan terhadap 4 virus flu

  • virus influenza A (H1N1)
  • virus influenza A (H3N2)
  • virus influenza B (B/Victoria)
  • virus influenza B (B/Yamagata)

Kanak-kanak berusia kurang daripada 6 bulan tidak boleh diberi imunisasi. Maka yang demikian, orang di sekeliling mereka (contohnya, ibu bapa, adik beradik, datuk nenek dan pengasuh) yang harus diberi imunisasi. Anda boleh mendapatkannnya di mana-mana hospital atau klinik awam atau swasta di seluruh negara setelah mendapat nasihat doktor anda.

Imuniti Berkelompok Melindungi Kita Semua

Sebaik-baiknya, kita perlu dapatkan bilangan orang yang telah diimunisasi yang cukup dalam kalangan populasi untuk secara tidak langsung melindungi mereka yang tidak diimunisasi, tidak boleh diiimunisasi atau tidak mendapat imunisasi. Jenis perlindungan yang luas seperti ini dikenali sebagai ‘imuniti kelompok’. Imunisasi bukan sahaja melindungi individu tetapi juga seluruh komuniti.

Wanita hamil atau yang menyusukan bayi juga digalakkan untuk mendapatkan imunisasi kerana mereka berisiko tinggi mendapat komplikasi teruk jika terkena flu. Vaksin influenza adalah selamat untuk diberi pada mana-mana gestasi sepanjang kehamilan dan juga memberi perlindungan kepada bayi semasa enam bulan pertama kehidupannya melalui pemindahan antibodi melalui uri.

Influenza bukanlah penyakit yang boleh dipandang ringan. Awasi anak anda dengan teliti jika terdapat simptom-simptom penyakit saluran pernafasan – terutama demam – kerana flu boleh menjadi lebih teruk dalam kalangan kanak-kanak yang berisiko tinggi. Ibu bapa harus lebih peka tentang kesan influenza terhadap anak-anak agar kita boleh mengurangkan beban influenza dalam kalangan kanak-kanak dan masyarakat amnya.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen