Pengasuhan Positif

Kenali Probiotik Anda

Terdapat banyak mikroorganisma yang hidup dan menghuni tubuh anda dan mereka berpotensi memberikan banyak faedah untuk kesihatan. Walaupun bakteria boleh dan sering kali menyebabkan penyakit, probiotik adalah bakteria ‘baik’ yang membantu memelihara kesihatan usus. Ia terdapat dalam jumlah yang banyak di dalam usus dan membentuk apa yang disebut sebagai keluarga mikrobiom usus.

Beberapa kajian turut membuktikan pelbagai faedah lain yang dikaitkan dengan probiotik. Contohnya, ia berpotensi membantu mengatasi alergi (contohnya, penyakit kulit seperti ekzema atau alergi makanan berpunca daripada intoleransi laktosa), mencegah jangkitan saluran kencing, boleh mencegah selesema serta influenza (kerana probiotik akan meningkatkan imuniti keseluruhan anda) dan juga membantu menjaga kesihatan oral.

Mengimbangi Pengambilan Probiotik dan Prebiotik

Memelihara keseimbangan antara bakteria baik dan bakteria berbahaya mikrobiota usus anda adalah penting dan cara mencapainya adalah dengan memastikan bahawa nisbah bakteria berfaedah kepada bakteria berbahaya adalah seimbang. Mengelakkan ketidakseimbangan yang juga dipanggil ‘disbiosis’ adalah penting untuk mencegah pelbagai penyakit. Terdapat dua perkara asas yang anda perlu atasi untuk mencapainya.

Pertama, pastikan anda memakan probiotik secukupnya secara tetap dan akhir sekali, pastikan anda memakan prebiotik secukupnya setiap hari. Gabungan prebiotik dan probiotik boleh menghasilkan satu hubungan simbiotik yang berpotensi mensinergikan kesan positif pada tubuh kita.

Makanan yang kaya dengan probiotik lazimnya datang daripada makanan yang difermentasi seperti produk susu yang difermentasi (contohnya, keju, yogurt, minuman susu berkultur), produk soya difermentasi (contohnya, tempe, tauhu, miso, natto) dan sayur yang difermentasi (contohnya, kimchi, jeruk kobis, acar, hum choy).

Prebiotik adalah ‘makanan’ bagi bakteria di dalam sistem penghadaman dan pencernaan anda. Bayangkan mereka sebagai ‘makanan’ untuk bakteria ‘baik’ – seperti anda, mereka perlu diberi makanan agar proses pertumbuhan dapat berlaku dengan baik. Prebiotik boleh didapati di dalam makanan yang tinggi kandungan serat seperti bawang, bawang putih, pisang, bawang merah, lik, asparagus, dan bijirin penuh. Walaupun bukan semua makanan tinggi serat adalah prebiotik, jangan abaikannya kerana serat membantu memukalkan najis dan menggalakkan pembuangannya sekaligus mengelakkan sembelit.

Pelbagai bentuk probiotik

Salah satu bentuk probiotik paling lazim berasal daripada keluarga ‘Laktobasilus’ yang mudah didapati daripada yogurt dan makanan lain yang difermentasi. Bukti telah menunjukkan bahawa ia dapat membantu mencegah serta memulihkan cirit-birit dan juga membantu orang yang tidak boleh menghadam laktosa .

Satu lagi keluarga probiotik lazim dijumpai ialah ‘Bifidobakteria’. Ia biasa terdapat di dalam beberapa produk tenusu. Kajian menunjukkan bahawa ia berpotensi melegakan simptom-simptom sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome – IBS) dan beberapa penyakit yang melibatkan ketidakberkesanan proses penghadaman dan pencernaan di dalam badan anda.

Asas kepada kesihatan yang baik

Mengambil prebiotik dan probiotik secukupnya adalah satu faktor sahaja dalam memelihara mikrobiom usus yang seimbang dan sihat. Bagi memastikan kesihatan penghadaman yang baik, anda juga harus mengekalkan gaya hidup sihat dan mengamalkan pemakanan sihat yang seimbang dan ia merupakan asas bagi kesihatan penghadaman dan pencernaan yang baik.

Kuncinya di sini adalah bukan untuk mengelakkan terus makanan atau minuman kegemaran daripada diet anda, tetapi memakannya secara sederhana! Contohnya, semua orang gemar nasi lemak, tetapi ia tidak baik untuk tubuh (kesihatan) anda sekiranya anda memakannya pada setiap waktu makan dengan kuantiti yang banyak.

Begitu juga makanan yang baik untuk anda – ambil contoh serat, pengambilan serat secara berlebihan boleh menyebabkan perut kembung. Oleh itu, pastikan anda terus mengikuti saranan pakar dan tidak mengambil terlalu banyak serat. Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang adalah factor yang penting untuk kesihatan badan anda.

Jangan abaikan tidur dan senaman anda, tidur yang mencukupi adalah sangat penting terutama bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Apabila memperkatakan tentang senaman, Panduan Diet Malaysia menyarankan sekurang-kurangnya satu jam aktiviti berintensiti sederhana terkumpul setiap hari. Aktiviti fizikal tersebut boleh merangkumi aktiviti seperti bermain di luar (contohnya, permainan fizikal yang melibatkan berlari atau bersenam), atau anda boleh menggalakkan anak anda untuk pergi berbasikal atau berenang. Alternatif lain termasuk bermain sukan seperti futsal, bola sepak, badminton atau jazzercise!

Apa yang anda tunggu lagi? Pastikan anda dan mikrobiota usus anda berada dalam keadaan baik hari ini!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen