Pengasuhan Positif

Cara Selamat untuk Memperkenalkan Makanan Alergenik

Adakah keluarga anda mempunyai sejarah alergi makanan? Bimbang untuk memberi anak anda mentega kacang buat pertama kali? Adakah anda takut untuk memberi dia ikan, telur atau susu? Bertenang, berikut adalah cara anda boleh memperkenalkan makanan yang berpotensi alergenik dengan selamat kepada anak anda.

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mempunyai sejarah keluarga penyakit alergi, kanak-kanak “berisiko tinggi” (seorang ahli keluarga terdekat mempunyai sejarah sebarang alergi) menunjukkan hanya peningkatan sederhana dalam risiko menghidap alergi makanan. Bagaimanapun, risikonya meningkat dengan ketara jika terdapat dua orang atau lebih ahli keluarga yang menghidap alergi.

Anda mungkin masih bimbangkan anak lebih-lebih lagi bila dia sudah boleh memulakan makanan pejal. Apabila bayi anda membesar, keperluan pemakanannya bertambah dan susu ibu sahaja tidak mencukupi. Malah, melengahkan pengenalan makanan pejal boleh meningkatkan risiko bayi anda mendapat alergi.

Faedah Memperkenalkan Awal Makanan Alergenik Terbukti Secara Saintifik

Uji kaji The Learning Early about Peanut Allergy (LEAP) merupakan uji kaji rawak pertama yang menunjukkan faedah memperkenalkan alergen makanan diperingkat awal usia. Uji kaji tersebut mendedahkan bahawa pengenalan awal kacang tanah kepada bayi 4 hingga 11 buan dikaitkan dengan penurunan risiko mendapat alergi kacang tanah.

Uji kaji lanjutan terhadap peserta yang sama, dipanggil LEAP-On, merumuskan bahawa pengambilan kacang tanah selama 4 tahun adalah mencukupi untuk mencetuskan toleransi terhadap kacang tanah walaupun seseorang itu berhenti mengambil kacang tanah buat beberapa ketika.

Penulis-penulis kajian tersebut juga menyarankan melanjutkan tempoh pendedahan/pengambilan kacang tanah (melebihi 4 tahun) untuk mengekalkan toleransi jangka panjang. Strategi sama digunakan dengan jayanya bagi mereka yang alergi kepada bahan-bahan seperti debunga rumput dan bisa serangga penyengat.

MASA PALING SELAMAT UNTUK MEMPERKENALKAN MAKANAN ALERGENIK

Sekiranya anak anda tidak terkesan dengan sebarang jenis alergi atau penyakit atopik, anda boleh mula pada masa yang sama anda memperkenalkan makanan pejal lain iaitu sekitar umur 4-6 bulan dan dengan syarat leher bayi anda kuat dan tegap. Anda juga harus mendedahkan bayi anda kepada pelbagai jenis makanan berkhasiat yang berlainan tekstur, bau dan rasa.

Jika anak anda menghidapi ekzema dan/atau alergi makanan lain yang teruk, anda masih boleh memperkenalkannya kepada makanan seperti kacang tanah (dipuri) pada sekitar umur 6 bulan tetapi hanya setelah mereka berjaya makan makanan pejal yang lain dahulu. Ini bagi memastikan anak anda sudah bersedia.

2. MULA BERI SEDIKIT & MULA DI RUMAH

Perkenalkan makanan yang sangat alergenik kepada bayi anda buat pertama kalinya di rumah di mana lebih mudah untuk menilai tindak balasnya. Beri sedikit dahulu, jika bayi anda tidak menunjukkan tindak balas alergi, tambahkan jumlahnya secara beransur-ansur. Anda boleh perkenalkan satu makanan baharu setiap 3 hingga 5 hari.

3. MAKANAN SATU RAMUAN DAHULU

Tidak ada makanan tertentu yang “paling” sesuai diberi dahulu ataupun kemudian. Tetapi bagi bayi yang mempunyai sejarah alergi di dalam keluarga dan belum pernah mendapat tindak balas alergi kepada makanan, mulakan dengan makanan satu ramuan atau single ingredient foods (SIF) sebelum beralih memperkenalkan makanan yang sangat alergenik. Contoh-contoh SIF termasuk beras, bijirin oat, sayur (keledek, kentang atau karot), sayur berdaun hijau dan buah-buahan (epal, pir dan pisang).

Bahaya Tercekik!

Pastikan makanan dikisar halus sehingga menjadi puri sebelum menghidangkannya kepada bayi anda. Tekstur dan bentuk makanan yang anda beri harus sesuai dengan umur perkembangannya.

Resipi Puri Kacang Tanah

  1. Tambah air panas atau susu suam ke 2 sudu teh mentega kacang dan gaul rata.
  2. Letak sedikit puri di hujung sudu dan suapkan pada bayi.

MENILAI ALERGI ANAK ANDA DENGAN SEMPURNA

Penilaian teliti sejarah dan ujian alergi dinasihatkan sebelum memperkenalkan makanan yang sangat alergenik, terutamanya jika anak anda mempunyai:

  • ekzema sederhana hingga teruk
  • mendapat tindak balas alergi serta-merta kepada sesuatu makanan atau susu ibu

Alergi tidak boleh didiagnos sendiri di rumah dan perlu dilakukan oleh seorang pakar (iaitu pakar alergi kanak-kanak). Dengan menggunakan sejarah perubatan pesakit, hasil ujian alergi boleh mengesahkan sama ada simptom-simptom adalah simptom alergi atau tidak. Ia juga boleh mengenalpasti bahan khusus yang mencetuskan tindak balas alergi tersebut. Jika didapati diagnosnya adalah positif, rawatan paling sesuai dan berkesan boleh ditentukan kemudian.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen