Pengasuhan Positif

Membina Tembok Api Terhadap Buli Siber

Kemunculan komputer mudah milik dan akses mudah kepada internet telah menjadikan kita lebih bergantung kepada mereka. Hari ini, seseorang itu tidak memerlukan komputer untuk mengakses internet kerana peranti-peranti lain (contohnya, tablet, telefon pintar, dan juga pencetak!) berupaya melakukannya. Komputer diperkenalkan kepada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun dan menjelang umur remaja, mereka sudah menjadi seorang yang agak “pakar teknologi”.

Internet Ialah Tempat Belajar

Internet sudah menjadi sebahagian penting daripada kehidupan remaja-remaja kerana ia adalah pintu masuk kepada banyak maklumat. Mereka boleh mebuat kerja sekolah, subjek penyelidikan dan merujuk kepada bahan-bahan berkualiti untuk tugasan dari keselesaan rumah.

Internet juga merupakan satu cara yang baik untuk remaja bersosial. Media sosial digunakan secara meluas oleh para remaja (dan juga orang dewasa) sebagai satu cara untuk berhubung dengan kawan dan keluarga, di mana-mana, pada bila-bila masa. Anak-anak anda tidak mengenali dunia tanpa internet atau media sosial dan mereka tidak dapat bayangkan dunia tanpa internet.

Keburukan Internet

Dengan kemajuan teknologi, datang juga ancaman baharu dan peningkatan bilangan ancaman seperti buli siber. Buli siber berlaku apabila seseorang mengguna internet untuk menghantar teks atau imej bertujuan untuk menyakiti atau memalukan orang lain.

Menurut Microsoft Global Youth Online Behaviour Survey (2012), Malaysia adalah ditempat ke-17 paling tinggi buli siber dalam kalangan 25 negara yang ditinjau. Kajian tersebut melaporkan bahawa 33% daripada kanak-kanak berumur 8 hingga 17 tahun telah mengalami beberapa bentuk buli siber. Dua tahun selepas kajian tersebut, kajian lanjutan mendedahkan bahawa kejadian buli siber dalam kalangan kanak-kanak umur bersekolah di Malaysia sedang meningkat di mana sasaran paling utama ialah kanak-kanak berumur 13-15 tahun.

Pembuli siber mungkin rakan sedarjah, kenalan dalam talian dan juga pengguna tiada nama, tetapi kebanyakan pembuli siber mengenali mangsa mereka. Berikut adalah beberapa contoh perkara yang boleh dilakukan oleh pembuli siber:

  • Menghantar email, pesanan segera, atau pesanan teks yang kesat atau mengugut.
  • Memulau seseorang daripada senarai kawan-kawan instant messenger atau kumpulan Whatsapp atau menghalang email mereka tanpa sebarang alasan.
  • Menipu seseorang agar mendedahkan maklumat peribadi atau maklumat memalukan dan mengedarkannya kepada orang lain.
  • Menggodam email atau akaun dalam talian seseorang untuk menghantar pesanan kesat atau tidak yang benar sambil menyamar seperti orang tersebut.
  • Mencipta laman web untuk mengejek-ejek orang lain.
  • Mengguna laman-laman web untuk menilai rakan-rakan sebaya sebagai paling cantik, paling buruk, dll.
  • Menghasut kebencian terhadap orang lain menggunakan maklumat yang tidak benar atau direka dan menghantarnya dalam talian.

Melindungi Anak Anda daripada Buli dalam Talian

Ibu bapa dan penjaga perlu sedar bahawa kemungkinan besar anak-anak telah terlibat dalam buli siber dalam beberapa cara, sama ada sebagai mangsa, pelaku, atau orang yang berada di tempat kejadian. Walaupun anda mungkin terasa hendak terus menghalang mereka daripada menggunakan internet, tetapi ia bukan cara yang realistik untuk mencegah buli siber. Sebaliknya:

  • awasi penggunaan internet mereka, tetapkan had dan didik mereka mengenai tingkah laku dan etika dalam talian yang baik. Jika seorang kanak-kanak melanggar peraturan, hadkan akses internet untuk satu tempoh yang dipersetujui.
  • guna setting privasi, kawalan ibu bapa dan ciri-ciri keselamatan bina dalam yang disediakan.
  • galakkan anak anda untuk tampil ke hadapan jika mereka dibuli, mengenali seseorang yang sedang dibuli atau jika mereka mempunyai maklumat mengenai seseorang yang sedang dibuli.
  • pantau dengan rapi aktiviti internet anak anda dan pastikan anda memainkan peranan penting dalam kehidupan anak anda dan libatkan diri dalam aktiviti mereka.
  • ajar mereka tentang cara melayan orang lain dengan hormat dan bermaruah sama ada di dalam atau di luar talian.
  • lengkapkan diri anda dengan pengetahuan tentang keselamatan siber, buli siber, dll, dan pastikan anak remaja anda juga memahami mengenainya.
  • tunjukkan teladan tingkah laku dalam talian yang wajar.
  • sekiranya anak anda mengakui dibuli, nilai situasinya, kumpulkan maklumat, tenangkan anak anda dan buat laporan polis. Jika pembuli ialah seseorang yang mereka kenali di sekolah, buat juga aduan kepada pihak berkuasa sekolah.

Beritahu anak remaja anda agar:

  • Jangan memberi maklumat peribadi dalam talian untuk sebarang tujuan.
  • Berbincang tentang buli siber dan beritahu mereka bahawa jika mereka perlu, anda sentiasa ada untuk mendengar dan membantu.
  • Jangan memberitahu kata laluan mereka kepada sesiapapun dan sentiasa log keluar dari akaun atau komputer selepas menggunanya.
  • Jika seseorang menghantar pesanan kesat atau mengugut, jangan beri tindak balas. Simpan atau cetak dan tunjuk kepada anda atau orang dewasa lain yang boleh dipercayai.
  • Jangan membuka email/spam seseorang tanpa nama atau email/pesanan daripada seseorang yang sedang membuli anda.
  • Jangan menghantar gambar diri dalam keadaan yang mencurigakan di dalam talian.
  • Fikir dahulu sebelum menghantar apa-apa ke dalam talian dan sentiasa berbudi bahasa dalam talian walaupun jika orang lain tidak.

Buli siber ialah satu jenayah dan masalah serius dalam kalangan para remaja dan tidak harus diambil ringan. Pembuli-pembuli boleh dihukum dibawah Akta Jenayah Komputer, Kod Penal atau Akta Juvenil, bergantung kepada sifat atau keterukan kes.

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh menjadikan dunia ini sebuah tempat yang betul-betul selamat untuk anak-anak anda, tetapi kita harus cuba sedaya upaya untuk sentiasa ada bagi memberi kaunseling, ketenangan, dan keselamatan. Pendidikan dan kesedaran adalah penting untuk memastikan bahawa anak anda tidak menjadi mangsa ancaman buli siber.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen