Pengasuhan Positif

Adakah Diet Saya Mempengaruhi Susu Badan Saya?

Pelbagai pantang larang tentang makanan seseorang ibu yang menyusu telah memaksa ramai daripada mereka untuk berhenti menyusukan bayi. Berikut adalah beberapa soalan yang lazim ditanya oleh ibu-ibu yang menyusukan bayi tentang diet mereka & bagaimana ia memberi kesan kepada susu badan mereka.

Benarkah nutrien-nutrien daripada diet saya dipindahkan kepada anak saya apabila saya menyusukannya?

Benar; malah, susu ibu diperbuat daripada gabungan protein, lemak, vitamin, dan karbohidrat yang paling sempurna daripada tubuh anda. Namun begitu, kualiti susu ibu amnya kekal sama tidak kira apa yang anda makan atau tidak. Apa yang mustahak adalah untuk mengambil diet yang seimbang dan berkhasiat sepanjang penyusuan dan tentunya diamalkan sepanjang hayat.

Bagaimana dengan kopi atau alkohol?

Dalam keadaan tertentu, pemakanan ibu mungkin menjejaskan bayi. Kopi dan alkohol dalam jumlah yang banyak contohnya, telah dibuktikan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan bayi. Walau bagaimanapun, pengambilan kafein yang sederhana serta alkohol secara terhad dibolehkan dengan syarat. Jumlah yang diambil harus mengambil kira umur bayi – lebih kecil bayi anda, semakin kurang anda harus ambil.

Berapa banyak yang dibenarkan?
Kafein: 2–3 cawan sehari
Alkohol: 0.5 g alkohol setiap kg jumlah berat badan ibu

Nota Penting – Mengelak dari meminum alkohol sama sekali semasa menyusukan bayi adalah pilihan paling selamat bagi bayi anda.

Di samping itu juga, kafein boleh terkumpul di dalam badan anak anda. Selain kopi, ia boleh dijumpai di dalam coklat, teh dan minuman berkarbonat dan harus diambil kira dalam sukatan pengambilan harian. Kesan terhadap bayi juga boleh dikurangkan lagi sekiranya anda minum kopi atau alkohol sejurus selepas menyusukan bayi atau sejurus sebelum bayi akan tidur lama iaitu tempoh dua jam atau lebih.

Bagaimana dengan makanan bergas/angin atau berempah? Haruskah ia dielakkan?

Prinsipnya mudah, anda tidak perlu mengelakkan sebarang makanan daripada diet biasa anda kecuali jika diarah oleh seorang doktor atau pakar perubatan. Lazimnya apabila bayi menangis kerana kolik atau gas, ia disebabkan oleh posisi menyusu dan/atau teknik pelekapan yang salah. Tambahan pula, tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa makanan bergas/angin atau berempah memberi kesan kepada susu ibu.

Berapakah jumlah kalori yang saya perlu tambah ke dalam diet saya semasa menyusukan bayi?

Ibu yang menyusukan bayi mempunyai pertambahan keperluan tenaga harian sebanyak 450-500 kcal/hari di mana ia boleh dipenuhi dengan meningkatkan pengambilan kalori sewajarnya. Jumlah sebenar kalori tambahan yang diambil harus mengikut perkadaran langsung jumlah susu yang anda hasilkan. Anda juga harus terus mengamalkan pengambilan diet yang seimbang, berkhasiat dan pelbagai.

Adakah terdapat sebarang makanan yang harus dielakkan oleh ibu yang menyusukan bayi?

Tumpukan kepada membuat pilihan sihat yang seimbang, dalam sukatan yang sederhana dan penuh dengan kepelbagaian. Ibu sihat yang menyusukan bayi tidak perlu mengelakkan sebarang makanan khusus kecuali mereka mengesyaki makanan tersebut menyebabkan bayi meragam, rengsa atau menunjukkan simptom tindak balas alergi lain. Jika ini berlaku, anda boleh elakkan makanan/minuman tersebut buat sementara waktu untuk melihat sama ada terdapat perbezaan pada tingkah laku bayi anda. Jika ya, dapatkan nasihat doktor serta merta; dan jika tidak, anda tidak perlu elakkan makanan tersebut.

Untuk membantu doktor menyiasat punca tindakbalas alergi – jika ada – anda harus menyimpan diari makanan yang menyenaraikan semua makanan yang anda makan dan minum, dengan nota-nota tentang bagaimana bayi anda bertindak balas terhadap makanan/minuman tersebut.

Adakah mengelakkan makanan yang berwarna kuning boleh mencegah jaundis dalam kalangan bayi?

Tidak, tiada hubungkait di antara kedua-duanya. Jaundis terjadi kerana darah bayi mengandungi bilirubin yang berlebihan. Bilirubin adalah bahan kimia yang terhasil ketika penguraian sel-sel darah merah lama di dalam hati. Ianya tidak terdapat di dalam susu ibu. Bayi mempunyai bilirubin berlebihan kerana secara semula jadinya mereka mempunyai berlebihan sel darah merah dan hati mereka yang masih berkembang tidak boleh memproses bilirubin secara berkesan.

Lebih daripada 60% bayi mengalami jaundis tetapi lazimnya ia akan pulih tidak lama selepas kelahiran kerana penyusuan susu ibu akan meningkatkan pembuangan najis, dan seterusnya, membantu membuang bilirubin dari tubuh.

Makanlah pisang atau jagung seberapa banyak yang anda mahu, tetapi jangan berlebihan – bukan kerana ia akan menyebabkan jaundis, tetapi terlalu banyak makan apa jenis makanan sekali pun adalah tidak baik untuk kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan.

Adakah pengambilan susu akan meningkatkan bekalan susu saya?

Tidak. Bekalan susu dipengaruhi oleh banyak perkara, tetapi yang paling penting ia bergantung kepada kekerapan penyusuan dan sama ada payudara anda dikosongkan dengan baik. Hormon prolaktin akan terhasil setiap kali anda menyusu dan/atau mengosongkan payudara anda untuk merangsang penghasilan susu yang lebih banyak.

Untuk meningkatkan bekalan susu ibu, anda boleh:

  • Menyusukan bayi dengan lebih kerap.
  • Menyusukan bayi setiap kali dia lapar.
  • Menyusukan bayi bagi tempoh yang lebih lama atau sehingga bayi anda puas.
  • Menyusu menggunakan sebelah payudara sehingga kosong, sebelum bertukar ke payudara sebelah lagi.

Adakah ibu-ibu vegan boleh membekalkan semua nutrien yang diperlukan oleh bayi mereka?

Secara keseluruhannya, ibu-ibu vegan yang menyusukan bayi boleh membekalkan bayi mereka dengan kesemua nutrien yang diperlukan. Walau bagaimanapun, diet vegetarian yang tidak mengandungi protein haiwan mungkin memerlukan DHA dan vitamin B12 tambahan atau makanan yang diperkaya dengan DHA dan B12 (contohnya bijirin sarapan terpilih, susu soya dan produk soya). Kedua-dua DHA dan B12 merupakan komponen pemakanan penting yang diperlukan untuk perkembangan bayi, di mana kekurangannya boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dan juga kematian. Dapatkan nasihat doktor, pakar pemakanan atau dietitian anda untuk mengetahui apa yang terbaik untuk anda dan bayi.

Wujudkah “makanan sempurna” bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi?

Tiada. Malah, secara amnya tiada makanan yang boleh dikatakan sebagai ‘makanan paling sempurna’. Tubuh kita memerlukan banyak nutrien yang berbeza daripada pelbagai sumber, untuk berfungsi secara optimum dan kekal sihat.

Tidak tahu bagaimana untuk mula? Jangan bimbang, gunakan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan anda. Muat turun versi terkini piramid makanan dan dapatkan lebih banyak maklumat tentang pemakanan sihat untuk diri anda dan seluruh keluarga anda di laman web Persatuan Pemakanan Malaysia: http://www.nutriweb.org.my/

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen