Pengasuhan Positif

Vaksin Pneumokokal: Apa Yang Anda Perlu Tahu

Jangkitan pneumokokal dikaitkan dengan pelbagai penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae atau singkatannya, pneumokokus. Bakteria ini boleh merebak melalui titisan kecil di ruang udara, sentuhan secara langsung atau tidak langsung serta melalui sentuhan permukaan yang dicemari cecair seperti hingus.

Pneumokokus bukan sahaja punca kepada penyakit seperti sinus atau jangkitan tengah telinga, ia juga penyebab kepada penyakit pneumokokal invasif* atau invasive pneumococcal diseases (IPD) yang boleh mengancam nyawa seperti pneumonia, sepsis, dan meningitis. Kesan IPD lazimnya adalah lebih teruk dalam kalangan kanak-kanak kecil dan warga tua.

*Penyakit ‘invasif’ bermaksud bahawa kuman menyerang bahagian tubuh yang lazimnya bebas daripada kuman (contohnya, aliran darah, tisu di sekeliling otak dan saraf tunjang).

Betapa lazimkah penyakit pneumokokal?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan di antara 3.4 – 6.8% daripada 8.8 juta kematian kanak-kanak bawah umur 5 tahun di seluruh dunia pada tahun 2008 berpunca daripada jangkitan pneumokokal.

Di Malaysia, prevalen pneumonia dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah di antara 28% dan 39%. Ia merupakan punca kematian keenam di Malaysia, dengan 5% kematian pada tahun 2010 disebabkan oleh penyakit tersebut.

Bagaimanakah jangkitan pneumokokal dirawat?

Lazimnya, jangkitan dirawat menggunakan antibiotik. Namun begitu, semakin banyak bakteria sudah mula rintang terhadap antibiotik. Jangkitan pneumokokal yang rintang kepada antibiotik tersebut memerlukan rawatan menggunakan antibiotik yang mahal – justeru, pencegahan jangkitan penumokokal adalah penting. Berlebihan Menggunakan antibiotik secara berlebihan dan tidak betul menyebabkan meningkatnya kerintangan terhadap antibiotik.

Bagaimana mencegah IPD?

Cara terbaik untuk mencegah jangkitan ialah melalui imunisasi. Walau bagaimanapun, amalan gaya hidup harian seperti menjaga kebersihan, mengelak tabiat tidak sihat (contohnya, merokok), mendapat rehat secukupnya, pengambilan diet yang sihat dan aktif secara fizikal juga adalah penting.

Apakah jenis vaksin pneumokokal yang boleh didapati?

Vaksin pneumokokal pertama dilesenkan pada tahun 1977 dan merupakan vaksin jenis polisakarida (PPSV). Ia mengandungi antigen* daripada 14 jenis bakteria pneumokokal yang berbeza. Pada tahun 1983, vaksin polisakarida baru, 23 valen pula telah dilesenkan lantas menggantikan versi vaksin sebelumnya dengan kadar keberkesanan yang lebih baik.

*Antigen ialah penyerang di dalam tubuh anda yang menyebabkan sistem imun anda menghasilkan antibodi untuk melawan mereka.

Seterusnya, Vaksin Pneumokokal Konjugat (Pneumococcal Conjugate Vaccine – PCV) pertama telah mendapat lesen pada tahun 2000 untuk digunakan dan mengandungi tujuh serotip S. pneumoniae (4, 6B, 9V, 14, 18C, 19F, dan 23F) dan diberi nama PCV7. Pada tahun 2008, PCV10 telah diperkenalkan dan mengandungi kesemua serotip yang terdapat di dalam PCV7 (4,6B,9V,14,18C,19F,23F) termasuk serotip: (1,5,7F). Ini diikuti oleh perlesenan PCV 13 pada tahun 2010 yang menambah 3 lagi serotip baharu (3, 6A, and 19A) di atas 10 yang sedia ada. Kesemua 13 serotip ini meliputi majoriti serotip pneumokokal yang berpotensi menyebabkan penyakit pneumokokal invasif (IPD).

Hari ini, tiga jenis vaksin pneumokokal diguna secara rutin:

  • PCV10
  • PCV13
  • PPSV23

Adakah vaksin ini berkesan?

Dalam kalangan kebanyakan penduduk kanak-kanak sihat PCV adalah 77% hingga 94% berkesan. Kajian menunjukkan bahawa mengambil sekurang-kurangnya 1 dos PCV 1 mampu melindungi:

  • sekurang-kurangnya 8 daripada 10 bayi daripada IPD
  • 75 daripada 100 orang dewasa berumur 65 tahun atau lebih daripada IPD
  • 45 daripada 100 orang dewasa atau lebih terhadap pneumonia

Sementara itu, kajian terhadap PPSV23 menunjukkan bahawa ia melindungi di antara 50 hingga 85 daripada 100 orang dewasa terhadap IPD. Namun begitu, PPSV23 tidak mencegah pembawa virus daripada menjangkiti orang lain dan tidak boleh diberi kepada kanak-kanak di bawah umur 2 tahun.

PCV13 berkesan terhadap kedua-dua IPD dan jangkitan pneumokokal bukan invasif dan mempunyai keberkesanan lebih baik terhadap jangkitan pneumokokal bukan invasif apabila dibandingkan dengan PPSV23. Namun begitu, PPSV23 mengandungi 12 serotip yang terdapat di dalam PCV12, dan 11 serotip tambahan. Secara teorinya, PPSV23 memberi perlindungan yang lebih luas.

Adakah vaksin selamat?

Vaksin pneumokokal telah dibuktikan selamat dan tindak balas serius disebabkan vaksin sangat jarang berlaku. Tetapi, seperti kebanyakan ubat-ubatan lain, terdapat beberapa tindak balas sampingan yang ringan (dilaporkan oleh 10-20% kanak-kanak yang menerima vaksin) seperti kebengkakan dan merah di tempat suntikan sejurus selepas suntikan. Tindak balas di kawasan suntikan adalah lebih teruk (contohnya, kesakitan yang mengganggu pergerakan tangan atau kaki) selepas dos kedua tetapi kebanyakannya pulih dalam tempoh beberapa hari tanpa rawatan.

Berapakah bilangan serotip pneumokokal yang wujud?

Lebih daripada 90, dan jangkitan satu serotip pneumokokus tidak menjamin keimunan kepada serotip lain. Walau bagaimanapun, kurang daripada 20% serotip sahaja adalah penyebab utama penyakit.

Siapa yang harus mengambil vaksin?

Kanak-kanak di bawah umur 2 tahun harus menerima regim standard tiga dos PCV pada umur 2, 4 dan 6 bulan dan dos tambahan pada umur 12-15 bulan. Warga tua yang berumur 65 tahun ke atas (yang tidak berisiko tinggi) dan individu yang berisiko tinggi berumur >2 tahun harus menerima satu dos PCV13, diikuti oleh satu dos PPSV23 setahun kemudian.

Bagaimana sekiranya anak saya tertinggal satu dos?

Pastikan mereka diberi dos seterusnya seberapa cepat yang mungkin.

Apakah yang dianggap keadaan risiko tinggi untuk mendapat penyakit pneumokokal?

  1. Mempunyai sejarah IPD.
  2. Mempunyai imuniti badan yang lemah:
    • Fungsi limpa tidak normal (Asplenia), HIV /AIDS, kurang daya tahanan utama
    • Kurang daya tahanan akibat barah dan pemindahan organ.
    • Kurang daya tahan akibat ubat-ubatan/steroid sistemik yang menyekat atau mengurangkan kekuatan sistem imun tubuh.
  3. Penyakit kronik
    • Penyakit kronik jantung, pulmonari, hati atau buah pinggang
    • Diabetes melitus atau kebocoran cecair spina serebrum
  4. Talasemia
  5. Mempunyai implan koklear

Ke mana harus saya pergi untuk mendapatkan imunisasi?

Malangnya, PCV 13 tidak termasuk di dalam senarai vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan. Walau bagaimanaun, ia merupakan vaksin pilihan yang sangat disarankan dan boleh di dapati daripada klinik-klinik swasta di seluruh negara. Dapatkan nasihat doktor anda mengenai imunisasi pneumokokal hari ini.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen