Pengasuhan Positif

Mengajar Anak Anda Menahan Diri daripada Mengadakan Hubungan Seks

Menurut statistik yang dikumpul Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam tahun 2011, hampir 5.8% remaja di Semenanjung Malaysia yang berusia di antara 13-14 tahun pernah melakukan hubungan seks luar nikah. Dalam kalangan remaja ini, 7.9% adalah lelaki dan 4.3% adalah wanita.

Kajian tersebut juga mendedahkan bahawa mereka yang dalam kumpulan usia 18-24 tahun adalah yang paling aktif secara seksual. Ini tidak mengejutkan memandangkan remaja menjadi semakin berdikari pada peringkat umur ini dan ramai yang keluar dari rumah untuk hidup sendiri.

Sebagai ibu bapa, kita tidak dapat lari dari berasa bimbang tentang anak-anak. Manakan tidak? Media sering melaporkan tentang kes pembuangan bayi, kemurungan dalam kalangan ibu remaja, peningkatan penyakit kelamin dalam kalangan orang muda, dan pelbagai masalah lain yang berkait dengan seks luar nikah dalam kalangan remaja.

Kebarangkalian anak anda terlibat dalam hubungan seks lebih tinggi jika dia:

  • Seorang remaja lelaki
  • Berumur di antara 19-24 tahun
  • Tidak bersekolah (atau masih menganggur)
  • Tidak tinggal bersama keluarga
  • Hidup di dalam struktur keluarga yang tidak stabil
  • Menunjukkan tingkah laku negatif terhadap kesihatan seksual dan reproduktif
  • Kurang kawalan diri
  • Mengambil bahan-bahan terlarang/berbahaya (rokok, alkohol atau dadah)
  • Mempunyai kawan yang mengambil bahan-bahan terlarang/berbahaya atau yang mempunyai tingkah laku seksual berisiko tinggi
  • Mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi
  • Tidak rapat/kurang minat untuk ke sekolah
  • Mudah mendapat akses kepada media elektronik

Mujurlah, terdapat faktor-faktor perlindungan yang boleh membantu anak anda daripada membuat keputusan yang salah:

  • Mempunyai pengetahuan baik mengenai kesihatan seksual dan reproduktif
  • Mengekalkan hubungan dan berkomunikasi secara baik dengan ahli keluarga
  • Amalan pengurusan keluarga yang baik (contohnya, disiplin, mengamalkan pengukuhan positif, pemantauan, dan penyeliaan) di rumah
  • Mempunyai persepsi positif tentang isu-isu dalam kawasan kejiranan
  • Mudah mendapat akses kepada media cetak

Pengetahuan tentang kesihatan seksual dan reproduktif yang merupakan elemen perlindungan utama harus ditekankan oleh ibu bapa dalam memupuk nilai-nilai yang diinginkan. Anda juga disarankan menetapkan batasan atau peraturan bagi anak remaja anda.

Beberapa tip tentang cara berbicara dengan anak remaja anda mengenai seks dan perkara yang perlu dibincangkan:

  • Mula berbicara tentang seks awal, mulakannya langkah demi langkah dan pengisian haruslah bersesuaian dengan perkembangan umur anak anda. Contohnya, anda boleh mula dengan memperkenalkan nama-nama organ reproduktif mereka dan perbezaannya jantina lain seawal usia 3-5 tahun. Apabila mereka besar, penerangan anda tentang sesuatu boleh lebih terperinci.
  • Gunakan istilah yang tepat apabila membicarakan tentang seks. Jangan guna bahasa pasar atau bermadah kerana ia akan menghantar isyarat yang salah bahawa bercakap tentang seks adalah perkara yang memalukan. Ia harus dijadikan perkara normal dan wajib digalakkan bagi memperkasakan anak-anak dengan pengetahuan yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik.
  • Berbicara tentang rancangan masa depan remaja anda dan perkara yang perlu mereka lakukan dan elakkan untuk mencapai cita-cita tersebut. Mereka perlu memahami bahawa kehidupan mereka akan tergendala jika mereka membuat keputusan yang salah.
  • Lakonkan beberapa situasi yang mungkin mereka akan hadapi dan ajar anak anda cara untuk bertegas serta bersungguh-sungguh apabila mengatakan ‘TIDAK!’ Sesetengah kanak-kanak takut akan tindak balas buruk daripada teman lelaki/teman wanita atau bimbang bahawa hubungan mereka mungkin akan berakhir jika mereka tidak memberi apa yang diminta. Ibu bapa harus memahami keadaan sebenar yang mungkin berlaku dan lebih bertimbang rasa terhadap apa yang dirasai atau dibimbangkan oleh anak mereka.

Apakah manfaatnya bagi anda & anak anda?

Remaja yang biasa berbicara tentang seks dengan ibu bapa mereka cenderung untuk mendapatkan nasihat mereka, jika dan apabila mereka ragu tentang isu-isu seksual.

Hubungan ibu bapa – anak yang lebih kukuh akan terjalin kerana komunikasi berkesan, sokongan, kasih sayang dan kepercayaan menjadi asas hubungan tersebut.

Anak anda akan lebih bersedia untuk membuat keputusan yang terbaik apabila didepani isu/masalah/keputusan yang besar yang boleh mengubah hidup mereka.

Anak anda diperkasakan dengan pengetahuan tentang cara mengenali ajakan bersifat seksual dan mengetahui cara untuk mengelak, atau tahu apa yang perlu dilakukan jika mereka didera secara seksual.

Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen