Pengasuhan Positif

Hubungan Antara Kerintangan Antibiotik & Bakteria Usus

Mikroflora (atau mikrobiota) usus manusia adalah penting kepada kesihatan kita dan memainkan peranan dalam pemakanan, perkembangan, metabolisme, dan kawalan tindak balas imun. Antibiotik boleh mengganggu fungsi mikroflora usus tersebut lantas boleh membawa kepada penyakit akut atau kronik dalam sesetengah individu.

Apa Itu Antibiotik?

Antibiotik ialah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan atau penyakit yang disebabkan oleh bakteria (contohnya, jangkitan saluran air kencing, jangkitan kulit dan jangkitan pada luka). Sejak diperkenalkan, antibiotik telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa di serata dunia. Tetapi, akibat terlebih guna atau disalahguna, banyak antibiotik hari ini tidak lagi berkesan keatas bakteria yang pernah dimusnahkannya suatu ketika dahulu.

 

Usus: Pusat Kerintangan Antibiotik

Lebih daripada 100 trilion mikroorganisma mendiami usus kita yang terdiri daripada lebih 1000 spesis berbeza. Mereka berinteraksi dan menjalankan pelbagai fungsi yang membantu mempengaruhi kesejahteraan manusia. Bakteria usus pada dasarnya, membantu dalam metabolisme nutrien dan ubat, mencegah jangkitan dan menyokong fungsi penghalang usus.

Justeru, tidak hairanlah jika gangguan terhadap mikroflora usus dikaitkan dengan masalah gastrousus seperti penyakit radang usus dan obesiti. Beberapa kajian juga telah mengaitkan ketidakseimbangan di dalam mikroflora usus dengan masalah kesihatan mental dan komplikasi neurologi lain.

Antibiotik- terutamanya antibiotik spektrum luas- sangat berkesan dalam membunuh bakteria dan bertindak cepat terhadap jangkitan. Malah, kesan sampingannya juga amat sedikit jikapun ada. Walau bagaimanapun, ia membunuh bakteria secara rambang dan menyasar kedua-dua bakteria berbahaya dan bermanfaat dalam usus. Ini membolehkan bakteria rintang antibiotik untuk membiak dan mendiami ekosistem usus.

Satu lagi perkara yang membimbangkan ialah kemungkinan pemilihan jenis bakteria yang rintang antibiotik; bukan sahaja dalam bakteria yang disasarkan oleh antibiotik tetapi juga dalam bakteria normal di dalam usus. Oleh yang demikian, mikroflora usus kita mungkin berpotensi menjadi takungan gen-gen yang kebal dan menyumbang kepada evolusi kerintangan antibiotik.

Terlebih Guna/Salahguna Antibiotik

Bakteria yang telah menjadi rintang terhadap antibiotik mengancam kemampuan kita untuk merawat penyakit berjangkit yang ketika ini, kita anggap sebagai ringan atau biasa. Akibatnya, penyakit-penyakit ringan ini boleh merebak menjadi lebih kronik dan berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggambarkan kerintangan antibiotik (ABR) sebagai “satu ancaman serius terhadap kesihatan awam”. Walaupun kesedaran ABR telah meningkat, penggunaan antibiotik yang tidak betukl tetap berlaku kerana:

  • Doktor mungkin memberi perskripsi antibiotik sebelum menerima keputusan ujian bagi mengenalpasti punca sebenar jangkitan (contohnya, bakteria, kulat, atau virus).
  • Orang yang mahu kelegaan segera daripada simptom, tanpa menghiraukan punca penyakit, mungkin mendesak doktor untuk memberi antibiotik.
  • Orang yang mungkin mengambil antibiotik yang dibeli dari luar negara atau melalui internet untuk penyakit yang didiagnosis sendiri.
  • Orang yang mengguna semula antibiotik dari preskripsi yang lalu.
  • Orang yang tidak menghabiskan sepenuhnya antibiotik yang diarahkan dalam tempoh rawatan.
  • Pendedahan kepada haiwan ternakan atau hasil pertanian yang dirawat dengan antibiotik.

Bagaimana Bakteria Menjadi Rintang?

Bakteria yang terdedah kepada antibiotik akan mula berubah bentuk atau memutasi dirinya dalam cara-cara tertentu yang menjadikannya rintang kepada antibiotik. Antara perubahan yang dilalui bakteria adalah:

  • menghasilkan enzim yang mampu menghapuskan antibiotik
  • menukar ‘rupa bentuk’ supaya tidak dikenali oleh antibiotik
  • mengubah ketelapan badan mereka agar antibiotik terhalang daripada memasuki badan mereka

Bagaimana Penggunaan Antibiotik Dalam Ternakan/Pertanian Menjejaskan Anda & Anak-Anak?

Memberi antibiotik kepada haiwan membantu membunuh banyak bakteria dan mengekalkan kesihatan haiwan tersebut, tetapi bakteria yang rintang masih boleh hidup dan membiak. Apabila haiwan ternakan diproses sebagai makanan manusia, bakteria-bakteria tersebut boleh mencemari daging atau produk haiwan yang lain. Bakteria yang kebal juga boleh memasuki persekitaran melalui najis dan mencemari punca air yang berdekatan.

Manusia mendapat jangkitan semasa:

  • Mengendali atau memakan makanan mentah/kurang masak daripada haiwan atau hasil ternakan yang dicemari bakteria rintang.
  • Menyentuh najis haiwan secara langsung atau tidak langsung (contohnya, melalui pengambilan sayur yang dibaja dengan najis haiwan yang tidak dirawat).
  • Mengendali haiwan/ternakan/hasil pertanian.

Mencegah Kerintangan

Sebagai ibu bapa, kita boleh memainkan peranan bagi mencegah ABR dengan:

  • mengamalkan kebersihan tangan yang baik.
  • tidak meminta antibiotik sekiranya tidak difikirkan perlu oleh doktor.
  • bertanya jika ujian diperlukan bagi memastikan antibiotik yang betul diberikan.
  • menghabiskan preskripsi dalam tempoh rawatan, walaupun anda sudah mula rasa sihat.
  • tidak berkongsi atau mengguna baki antibiotik.
  • membuang sebarang baki antibiotik setelah tamat tempoh rawatan preskripsi.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen