Mempunyai sedikit perasan resah adalah normal malah keresahan juga boleh menjadi sumber motivasi. Ia membantu kita menjadi lebih berwaspada, fokus, dan bersedi untuk melakukan yang terbaik. Namun begitu, keresahan boleh menjadi keterlaluan sehingga mampu mengganggu kehidupan seorang kanak-kanak (contohnya, pencapaian di sekolah dan hubungan dengan rakan sebaya). Jika tidak dirawat atau tidak diberi perhatian, ia boleh menjadi kecelaruan keresahan, iait kecelaruan kesihatan mental yang paling lazim didiagnos semasa zaman kanak-kanak dan remaja.
Para saintis belum lagi memahami sepenuhnya punca kecelaruan keresahan. Perkembangan kecelaruan keresahan kanak-kanak ditentukan melalui gabungan beberapa aspek seperti faktor neurobiologi, persekitaran, sosial, dan genetik.
Suasana yang berbeza atau keadaan yang mencabar biasanya akan menyebabkan perasaan resah dan bimbang. Kanak-kanak juga akan berasa begitu, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan peperiksaan penting atau bertukar sekolah, contohnya.
Terdapat beberapa jenis kecelaruan keresahan:
Kecelaruan Keresahan Menyeluruh atau Generalized Anxiety Disorder (GAD)
Individu-individu yang mengalami GAD mempunyai perasaan takut yang keterlaluan dan tidak realistik (contohnya, terlalu takut membuat salah, gagal dalam peperiksaan, mendapat penyakit, keselamatan). Mereka sering bimbang dan terlalu fokus kepada kemungkinan berlaku sesuatu yang buruk.
Akibatnya, anak yang mengalami GAD kurang mengambil risiko; mereka tidak gemar mencuba perkara baharu dan cepat berputus asa jika tidak mahir dalam sesuatu perkara. Ibu bapa perlu sentiasa menyokong mereka apabila mereka mengambil langkah-langkah kecil untuk maju ke hadapan.
Kecelaruan/Serangan Panik
Serangan panik tidak dapat diduga dan menyebabkan rasa hendak mati, simptom-simptom seakan-akan mengalami serangan jantung, menjadi gila, hilang kawalan, dan terputus hubungan dengan realiti. Ramai kanak-kanak yang mengalami kecelaruan panik mengelakkan diri daripada lokasi di mana siri serangan panik berlaku dahulu dan tempat-tempat lain di mana bantuan tidak boleh didapati atau sukar untuk melepaskan diri – iaitu tempat tertutup atau sesak.
Kecelaruan keresahan perpisahan
Keresahan perpisahan ialah keadaan di mana kanak-kanak berasa takut untuk berpisah dengan ibu bapa atau penjaga. Ia lazim dan normal dalam kalangan bayi dan kanak-kanak petatih dan biasanya hilang pada awal zaman kanak-kanak. Ianya menjadi masalah sekiranya keterlaluan, tidak kena dengan perkembangan umur kanak-kanak tersebut serta mengganggu kehidupan kanak-kanak dan juga ibu bapanya.
Kanak-kanak yang mengalami keresahan perpisahan sering tidak boleh menerima perpisahan dan takut untuk tidur di tempat asing tanpa kehadiran anda, dan mereka mungkin mengadu sakit apabila tidak bersama anda.
Mutisme Berpilih atau Selective Mutis (SM)
Dalam SM, ibu bapa sering mengadu bahawa anak mereka mudah berbicara di rumah, dan/atau dalam kalangan ahli keluarga atau rakan terpilih, tetapi enggan bercakap di sekolah atau persekitaran sosial lain. Kanak-kanak yang mengalami SM juga mungkin menghadapi gabungan beberapa jenis kecelaruan keresahan contohnya, kecelaruan keresahan sosial.
Kecelaruan Keresahan Sosial atau Social Anxiety Disorder (SAD)
Kanak-kanak yang mengalami SAD sering kali menggambarkan perasaan takut untuk bercakap atau melakukan perkara salah, ditertawakan, atau dimalukan. Ini membuat mereka mengelakkan situasi sosial dan berada di hadapan orang ramai. Kebimbangan mereka berfokus lebih kepada apa orang lain fikirkan tentang mereka.
Kecelaruan Obsesif Kompulsif atau Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)
Kanak-kanak yang mengalami OCD terlalu memikirkan sama ada sesuatu itu boleh membahayakan, salah, atau kotor – atau memikirkan bahawa perkara buruk boleh berlaku. Mereka mempunyai perasaan kuat untuk melakukan sesuatu berulang kali untuk menghilangkan perasaan takut atau bahaya.
Tip-tip mengendalikan kanak-kanak yang mengalami kecelaruan keresahan:
- Beri perhatian kepada perasaan anak anda dan terimanya dengan hati yang terbuka.
- Berbincang dengan anak anda tentang kebimbangannya dan mencari jalan mengatasinya.
- Fokus lebih kepada kekuatan dan bukan limitasinya.
- Bersedia awal untuk menjimatkan masa dan mengelakkan kekecewaan kerana terlambat.
- Ajar mereka kemahiran yang mudah untuk relaks, contohnya, teknik pernafasan dalam.
- Benarkan mereka berdepan dengan kebimbangan mereka. Mulakan perlahan-lahan dan tingkatkan tahap konfrontasi.
- Jangan berputus asa membantu anak anda mengatasi cabaran mereka.
- Puji dan beri ganjaran bagi kejayaan-kejayaan kecil dalam usaha anak anda menguasai keresahannya.
- Bersabar dan cari kekuatan dengan mewujudkan kumpulan sokongan dalam kalangan ahli keluarga dan kawan-kawan.
- Lakukan aktiviti relaks atau senaman untuk menjaga kesihatan diri anda.
Setiap kanak-kanak mungkin mengalami simptom keresahan yang berlainan dan keterukan setiap simptom mungkin berbeza. Adakalanya, ubat-ubatan akan diberi, namun sering kali terapi dan kaunseling dibentuk khusus untuk mengatasi simptom-simptom.
Seorang pakar psikoterapi, psikiatri atau psikologi klinikal dapat memberi nasihat tentang pilihan terbaik untuk membantu keadaan anak anda. Terapi seperti Terapi Tingkah Laku Kognitif, boleh membantu mengenal pasti punca keresahan anak anda; mengajar mereka cara untuk relaks; melihat keadaan dengan sudut pandangan lain; dan membantu mereka mengembangkan kemahiran mengendali dan menyelesaikan masalah dengan lebih baik.
Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia.
Komen