Pengasuhan Positif

Pentingkah Mamogram?

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia kelima (2014) yang dijalankan oleh LPKN mendapati hanya 27.3% wanita berkahwin yang berumur di antara 40-59 tahun, pernah menjalani ujian mamogram. Daripada bilangan itu, lebih daripada 2/3 melakukan saringan dalam tempoh tiga tahun yang lalu. Jelas bahawa bilangan wanita yang menjalani ujian mamogram adalah sangat rendah dan kekerapan menjalani saringan tersebut juga sangat rendah. Justeru, terdapat keperluan segera untuk menggalakkan lebih ramai wanita untuk tampil melakukan saringan mamogram secara berkala.

Apakah mamogram?

Mamogram ialah sinar-x ke atas payudara. Ia digunakan untuk pengesanan awal barah payudara sebelum ketulan dapat dirasai.

Perlukah saya melakukan mamogram?

Wanita yang berumur melebihi 40 tahun digalakkan untuk mendapatkan ujian mamogram. Pada peringkat umur ini, risiko mendapat barah payudara mula meningkat.

Mengapa tidak lakukannya lebih awal daripada 40 tahun?

Mamogram bagi wanita lebih muda tidak digalakkan kerana tisu payudara mereka masih padat. Jika terdapat ketulan, mamogram mungkin tidak dapat membezakan di antara tisu payudara dan tisu barah.

Dalam keadaan di mana anda berisiko tetapi tisu payudara masih padat, penggunaan mamogram bersama-sama ultrasound payudara akan disarankan bagi mengesan sel barah payudara dengan lebih baik.

Di manakah saya boleh mendapatkan ujian mamogram?

Hospital kerajaan memberi perkhidmatan mamogram secara percuma jika anda dirujuk oleh doktor yang mengesyaki bahawa anda mungkin berisiko mendapat barah payudara. Sekiranya anda ingin melakukan ujian mamogram tanpa rujukan, anda boleh melakukannya di hospital swasta.

Saya masih muda, adakah saya berisiko?

Jika anda mempunyai sejarah barah payudara dalam keluarga, berlebihan berat badan atau obes, tidak bersenam secara tetap dan mengamalkan diet tidak sihat, anda mungkin lebih berisiko mendapat barah payudara. Tetapi, hakikat bahawa anda seorang wanita sudah pun menjadikan anda berisiko. Justeru, semua wanita perlu disaring bagi mengesan barah payudara.

Tip-Tip Gaya Hidup Untuk Mencegah Barah Payudara

Bersenam secara tetap.

Senaman berintensiti sederhana selama enam puluh minit kebanyakan hari dalam seminggu adalah disarankan untuk mengekalkan berat badan sihat. Aktiviti fizikal menguatkan sistem imun dan membantu mengurangkan paras estrogen (paras estrogen yang tinggi di dalam darah meningkatkan risiko menghidapi barah payudara).

Pemakanan yang seimbang

Diet yang mengandungi lemak yang tinggi meningkatkan risiko barah payudara kerana lemak memudahkan penghasilan estrogen. Tingkatkan pengambilan serat anda daripada sumber seperti sayur, bijirin penuh dan buah. Serat membantu mengurangkan kolesterol dan menyingkirkan lemak.

Lakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP)

sekali sebulan bermula dari umur 18 tahun dan seterusnya. PSP merupakan strategi saringan yang berguna dan penting, terutamanya apabila digabungkan bersama pemeriksaan fizikal secara tetap oleh seorang doktor dan mamografi.

Apa yang berlaku semasa ujian mamogram?

  • Anda berdiri dan payudara anda akan dimampatkan di antara dua piring untuk meleper dan mengurangkan ketebalan payudara.
  • Ini memberi gambaran yang lebih baik dan mengurangkan kadar radiasi yan digunakan.
  • Bagi kebanyakan wanita, bahagian prosedur ini terasa kurang selesa sedikit tetapi ia hanya untuk beberapa saat.
  • Kedua-dua belah payudara disaring tetapi dilakukan satu per satu.
  • Dari mula hingga akhir, seluruh prosedur mengambil kurang daripada 30 minit.

why-do-a-mammogram-1

Adakah kaum lelaki/suami mempunyai peranan dalam pencegahan barah payudara?

Ya. Malah peranan mereka amat penting kerana sudah menjadi tanggung jawab kaum lelaki untuk melindungi ibu, isteri, adik beradik perempuan dan semua wanita daripada sebarang bahaya. Kaum lelaki harus memperkasakan diri mereka dengan pengetahuan mengenai pencegahan barah payudara agar mereka boleh menggalakkan ahli keluarga untuk mendapatkan saringan barah payudara. Sokongan dan galakan seorang suami, bapa, anak lelaki atau adik beradik lelaki boleh membantu meyakinkan sesetengah wanita untuk pergi mendapatkan saringan.

Tanggungjawab dan perhatian yang sama seorang suami berikan kepada isterinya ketika hamil dan ketika melahirkan anak harus dicerminkan dalam semua aspek kesihatan isteri termasuk kesihatan payudaranya.

Strategi kaum lelaki untuk menggalakan wanita dalam hidupnya untuk pergi mendapatkan saringan/mamogram:

  • Promosikan kepentingan saringan awal, mendapatkan pemeriksaan klinikal payudara dan melakukan pemeriksaan sendiri payudara di rumah secara berkala.
  • Hadiahkan baucer mamogram pada hari jadi atau ulang tahun.
  • Bawa mereka bersama ke acara-acara yang memberi perkhidmatan mamogram atau saringan payudara secara percuma (contohnya acara LPPKN atau KKM).
  • Aturkan supaya seorang rakan atau ahli keluarga terdekat untuk melakukan ujian bersama.

Tiada penawar bagi kanser, jadi apa gunanya melakukan ujian mamogram?

Jika barah dikesan awal, peluang anda untuk hidup selepas pembedahan, terapi radiasi atau rawatan lain adalah tinggi. Jika pun anda lewat mengesannya, anda masih mempunyai harapan; barah payudara boleh dirawat dan dikawal bagi tempoh yang lama.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan, rawatan tahap lewat mempunyai kesan emosi dan kewangan yang lebih berat kepadapesakit dan juga keluarganya. Kos ujian mamogram ialah di antara RM150-350, berbanding dengan kos rawatan tahap lewat, yang boleh melonjak sehingga beribu-ribu ringgit yang merangkumi kos perubatan, pemulihan, pengangkutan serta ubat-ubatan.

Selain itu, anda mungkin tidak berupaya untuk bekerja, bermakna pendapatan keluarga akan berkurangan. Bukan sahaja pasangan anda perlu menjaga anda (dan anak-anak), dia juga perlu menyara keluarga. Stres yang melampau boleh menjurus kepada kemurungan, perpisahan dan mengurangkan kualti hidup secara keseluruhan.

Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen