Pengasuhan Positif

Mencegah Kehamilan Di Kalangan Remaja

Secara purata, terdapat 18,000 remaja di Malaysia yang hamil setiap tahun di mana 25% atau sekitar 4,500 kes melibatkan kehamilan luar nikah. Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-lima yang dijalankan oleh LPPKN mendedahkan bahawa 4.8% daripada remaja pernah mengadakan hubungan seks sekurang-kurangnya sekali. Kajian tersebut juga mendapati bahawa remaja Malaysia mempunyai kefahaman yang kurang memuaskan mengenai kesihatan seksual/reproduktif dan mempunyai pengetahuan terhad mengenai hubungan seks.

Disebabkan perasaan takut, keseorangan dan kurang pengetahuan, remaja yang hamil di luar nikah sering memilih jalan keluar mudah seperti membuang bayi atau mendedahkan diri kepada bahaya dengan menggugurkan bayi dengan cara yang tidak selamat. Penyisihan sosial oleh keluarga dan masyarakat juga menafikan remaja perempuan dari sokongan dan bantuan yang sangat mereka perlukan.

kes-pembuangan-bayi-di-malaysia

Hakikat yang terpaksa dihadapi apabila mendapat bayi sebelum tamat persekolahan adalah amat sukar. Beban kewangan dan psikologi membesarkan seorang anak sangat berat bagi seorang ibu yang masih ber gelar remaja berbanding wanita yang lebih matang dan stabil dari segi kewangan serta fizikal dan mental.

Namun begitu, tidak kira sama ada seorang bayi dikandung di luar nikah atau tidak, secara amnya, kehamilan remaja melibatkan risiko yang lebih tinggi bagi ibu dan anak:

Ibu: Anemia, malaria, HIV dan penyakit kelamin, perdarahan selepas kelahiran, fistula obstetrik dan gangguan mental, seperti kemurungan..

Anak: Bayi lahir mati, kelahiran pra matang, kurang berat lahir dan kematian dalam minggu pertama kelahiran adalah lebih tinggi dalam kalangan bayi yang dilahirkan oleh ibu remaja.

Untuk mendidik anak-anak, kita perlu melengkapkan mereka dan diri kita, dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul.

1. Berbicara tentang kesihatan reproduktif

Ibu bapa harus memberi kefahaman asas tentang kesihatan reproduktif dan didik anak-anak mereka mengenai nilai dan tanggung jawab berkaitan keseksualan, tanggungjawab berkaitan seksualiti, risiko amalan seksual yang boleh menjurus kepada kehamilan. Beritahu mereka mengenai bahaya penyakit kelamin (HIV/AIDS), hubungan seks tanpa perlindungan, pembuangan bayi, rogol, pengguguran, dll.

2. Latihan menahan diri (abstinen)

Ajar mereka bagaimana untuk berkata ‘TIDAK” dan menahan diri serta mengenali tingkah laku berisiko dan situasi yang boleh menjurus kepada seks sebelum nikah. Sebagai contoh, bagaimana untuk berhadapan dengan yakin dan tegas kepada tekanan apabila sesorang berkata “Saya sayang anda”, “jika anda saying saya anda akan….” atau “kita ditakdirkan bersama, sehidup semati”. Kesedaran serta pengetahuan umum dan kemahiran mungkin boleh menghalang anak anda daripada membuat keputusan yang terburu-buru yang mereka akan kesali.

3. Sentiasa pantau

Sentiasa awasi anak anda dan bentuk mereka dengan nilai-nilai murni serta contohi nilai moral yang anda ingin mereka dukung. Peraturan dan batasan juga adalah penting; semua keluarga ada peraturan mereka sendiri. Pastikan anak anda memahami peraturan anda mengenai kesihatan reproduktif dan hubungan dengan jantina yang berlainan.

4. Pastikan saluran komunikasi sentiasa terbuka

Pastikan anda mudah didampingi dan yakinkan anak anda bahawa sekiranya mereka mempunyai persoalan atau keraguan tentang hal-hal reproduktif dan seksualiti, atau apa-apa perkara pun, anda sedia mendengar luahan mereka.

Tip: membincangkan hal-hal reproduktif dan keseksualan adalah sukar, oleh itu mulakan awal dan perlahan-lahan ia akan menjadi lebih mudah apabila mereka meningkat dewasa. Oleh itu, lakukannya dengan lebih kerap dengan cara yang mudah dan senang difahami.

Tip: berlatih dengan melakukan melakonkan beberapa senario yang mungkin mereka alami dalam kehidupan.

5. Luangkan masa berkualiti bersama keluarga

Ramai ibu bapa hari ini tidak meluangkan masa secukupnya dengan anak remaja mereka, maka tidak hairanlah remaja rasa terputus hubungan dengan mereka. Aktiviti-aktiviti berikut mungkin kelihatan remeh tetapi berkesan dalam mengukuhkan hubungan ibu bapa dan anak, mewujudkan kepercayaan, mengalakkan interaksi dan memberi peluang kepada ibu bapa untuk mengajar nilai-nilai moral yang baik.

Perkara yang boleh dilakukan bersama sebagai satu keluarga:

  • Makan bersama pada waktu makan malam serta waktuwaktu makan utama lain
  • Menonton wayang, keluar berjalan atau melancong
  • Menghadiri majlis kekeluargaan
  • Menghadiri majlis keagamaan bersama-sama bila berpeluang.

Semua langkah ini tidak akan berjaya sekiranya anda tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi. Justeru, tingkatkan pengetahuan anda supaya dapat membantu anak-anak anda menghadapi cabaran ini. Dengan bimbingan yang sempurna, sokongan dan kemahiran, anak anda akan membuat pilihan yang realistik, positif dan sihat sepanjang hayat mereka.

CAKNA DIRI

Modul Cakna Diri digunakan sebagai kurikulum sosial dan kesihatan reproduktif di sekolah-sekolah kerajaan bagi pelajar selepas UPSR dan PT3. Ia juga diajar di pusat remaja LPPKN kafe@TEEN, dan terdapat juga modul untuk ibu bapa.

Pusat ini memberi khidmat kaunseling dan nasihat mengenai kesihatan reproduktif, serta pendidikan kesihatan dan sosial, kepada remaja dan belia untuk membolehkan mereka membuat keputusan yang bertanggungjawab tentang perkara berkaitan dengan seks dan seksualiti.

Selain itu, para remaja berpeluang untuk berseronok dengan pelbagai program pendidikan dan membina kemahiran melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Mereka juga berpeluang untuk berkenalan dengan kawan-kawan baru. Daftarkan anak anda secara percuma di pusat kafe@TEEN yang terdekat dan bentuk remaja anda menjadi seorang yang sihat, berdaya tahan serta bertanggungjawab dan boleh menangani cabaran hidup dengan baik.

Laman web: http://www.lppkn.gov.my/

Hubungi: 03-26937555

Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen