Pengasuhan Positif

Mengharungi Autisme

Autisme, juga dikenali sebagai kecelaruan spektrum autisme (autism spectrum disorder) atau ASD , bercirikan masalah komunikasi dan interaksi sosial yang berterusan, dengan tingkah laku yang berulang dan minat atau aktiviti yang terbatas.

Ia dipanggil ‘spektrum’ kerana mereka yang menghidapinya mempunyai masalah/cabaran yang bermula dari tahap ringan hingga teruk, dengan tahap keupayaan dan/atau ketidakupayaan berbeza. Oleh sebab itu, setiap penghidap adalah unik dan memerlukan sokongan yang berbeza.

a-journey-through-autism-2

Cabaran Tingkah Laku Penghidap ASD

Apakah tingkah laku yang membezakan seorang penghidap ASD dengan rakan sebayanya? Terdapat perbezaan mengikut keterukan autisme seseorang dan umurnya, namun terdapat beberapa isu utama yang lazim di kalangan penghidap ASD.

Cabaran Tingkah Laku ASD yang Lazim

Masalah sosial & komunikasi
Perkembangannya tidak mengikut umur biasa, ada kelakuan mereka yang mungkin dianggap tidak sesuai dari segi sosial atau tampak ganjil.

Obsesi, tingkah laku berulang dan minat yang terbatas
Ingin melakukan perkara yang sama berulang-ulang dan tidak selesa dengan perubahan.

Mood yang tidak stabil
Gementar dan membuat perangai walaupun untuk perkara yang tidak penting atau terjadi secara spontan tanpa sebarang punca.

Masalah deria
Input deria yang terlalu sensitif seperti bunyi bising yang lazim (contohnya penyedut habuk) atau hiposensitif – contohnya tiada tindak balas walaupun kepada bunyi bising yang menakutkan seperti bunyi anjing menyalak dengan dekat.

Aktiviti harian
Kombinasi kekurangan kemahiran motor dan/atau ketidakupayaan kognitif (mental) boleh menyebabkan aktiviti harian(seperti memakai baju, makan) menjadi susah.

Masalah tidur
Gangguan ritma sirkadian dan penghasilan melatonin boleh menyebabkan masalah tidur dan juga sensitif kepada cahaya dan suhu.

Masalah psikiatri
Gangguan kurang tumpuan atau Attention deficit hypersensitivity disorder (ADHD), dll yang mungkin berlaku di samping austime.

Punca

Para saintis masih belum jelas tentang punca ketidakupayaan ini. Kemungkinan besar, puncanya adalah pelbagai dan terdiri daripada gabungan beberapa faktor yang berbeza (iaitu masalah semasa hamil, genetik atau persekitaran).

Berikut adalah beberapa tanggapan yang salah mengenai punca ASD, yang tidak mempunyai bukti yang cukup atau TIDAK benar:

  • Vaksin campak, beguk & rubella (MMR)
  • Suasana pengasuhan atau sosial seseorang
  • Diet, seperti pengambilan gluten atau produk tenusu

Prevalen

Tiada kajian tempatan tentang prevalen ASD di Malaysia. Banyak kajian, termasuk di Asia, menunjukkan bahawa anggaran prevalennya ialah sekitar 1 peratus (1 dalam 100).

Apakah MCHAT?

Ia merupakan kaedah saringan bagi autisme dan terdiri daripada 23 soalan yang dijawab oleh ibu bapa bagi kanak-kanak berusia 16 hingga 30 bulan. Ujian ini menentukan sama ada penilaian yang lebih teliti bagi tanda-tanda ASD atau kelewatan perkembangan diperlukan.

Sekiranya anak anda didapati positif bagi ASD ketika disaring, itu tidak bermakna anak anda akan didiagnos dengan kecelaruan tersebut. Walau bagaimananpun, sekiranya doktor mensyaki ASD, penilaian yang sempurna dan ujian susulan akan dilakukan.

Simptom-Simptom

Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa sesetengah kanak-kanak yang menghidap ASD mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom dalam tahun pertama kehidupannya. Namun begitu, dapatkan nasihat doktor sekiranya anak anda menunjukkan sebarang tanda amaran.

Tingkah Laku Amaran

  • Tidak mengagah menjelang usia 12 bulan
  • Tidak menunjukkan gerak isyarat (menunjuk dengan jari, melambai, memegang) menjelang usia 12 bulan
  • Tidak bertutur perkataan satu ungkapan menjelang usia 16 bulan.
  • Tidak bertutur perkataan 2 ungkapan menjelang umur 24 bulan.
  • Kehilangan sebarang kemahiran berbahasa pada mana-mana peringkat umur.

a-journey-through-autism-4

Rawatan

Intervensi tingkah laku awal melibatkan bantuan dari seluruh ahli keluarga dan bekerja rapat dengan kumpulan profesional. Ini mungkin tidak dapat dilakukan oleh semua keluarga kerana ia memerlukan komitmen dari segi praktikal, emosi dan kewangan.

Selain itu, terdapat banyak jenis intervensi, rawatan dan terapi untuk autisme yang boleh dipertimbangkan. Mana-mana jenis intervensi harus fokus untuk memperkembangkan:

  • Kemahiran komunikasi, sosial dan interaksi
  • Kemahiran bermain olok-olok, kemahiran motor dan mobiliti
  • Kemahiran kognitif dan akademik
  • Kerja-kerja harian (contohnya latihan ke tandas, makan)

a-journey-through-autism-3

Memandangkan ibu bapa kepada kanak-kanak yang mengalami ASD memainkan peranan yang sangat penting dalam menyokong dan meningkatkan kemahiran anak mereka, penting juga bagi mereka mendapat pendidikan dan latihan dalam cara berkomunikasi dengan anak mereka secara berkesan (contohnya, memanggil nama mereka, menggunakan bahasa yang mudah dan sertakan kata-kata dengan isyarat badan).

Berhubung dengan pertubuhan bukan kerajaan, ibu bapa, individu atau kumpulan sokongan ASD yang lain boleh membantu ibu bapa mendapat lebih banyak maklumat tentang ASD, nasihat tentang rawatan dan isu-isu yang berkaitan. Kumpulan-kumpulan tersebut juga dapat memberi ibu bapa sokongan emosi yang sangat diperlukan. Rakan saya, Datuk Dr Zulkifli, akan menjelaskan dengan lebih lanjut di mana anda boleh mendapatkan bantuan, oleh itu pastikan anda terus bersama kami. Baca di sini: Mengharungi Autisme: Membantu Keluarga Kanak-kanak Autistik.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen