Pengasuhan Positif

Imunisasi Mampu Menyelamatkan Nyawa

Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa 5.9 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mati dalam tahun 2015. Malangnya, separuh daripada kematian tersebut adalah kesan daripada penyebab-penyebab yang boleh dicegah, terutamanya penyakit-penyakit seperti pneumonia, meningitis, dan cirit birit, semuanya boleh dicegah melalui imunisasi.

Di Malaysia juga, terdapat segelintir ibu bapa yang memilih untuk tidak memberi anak-anak mereka imunisasi kerana percayakan beberapa mitos yang tidak berasas.

vaccination-saves-lives-2

MITOS

Vaksin menyebabkan kesan sampingan, penyakit, dan kematian

FAKTA

Kesan sampingan ringan boleh terjadi dalam kalangan sesetengah kanak-kanak (contohnya, sakit lengan atau demam ringan) dan kesan teruk jarang berlaku. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melakukan pengawasan berterusan yang dipanggil Sistem Laporan Kejadian Buruk Vaksin (VAERS), di mana tiada kematian akibat vaksin telah dilaporkan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memantau kejadian buruk yang berkait dengan imunisasi melalui Adverse Events Following Immunisation (AEFI) yang dilaporkan oleh ibu bapa menerusi doktor. Jika terdapat kesan sampingan immunisasi, beritahu doktor anda dan pastikan ia lapor kepada KKM.

vaccination-saves-lives-3

MITOS

Imunisasi membebankan sistem imun

FAKTA

Sistem imun manusia berupaya mengendalikan lebih banyak antigen berbanding yang terkandung dalam vaksin kombinasi. Malah, kanak-kanak terdedah kepada bermacam-macam antigen asing setiap hari; vaksin kombinasi tidak akan membebankan sistem imun mereka. Tubuh mereka boleh mengendalikan dengan mudah jumlah antigen yang diberi melalui vaksin yang berbeza.

vaccination-saves-lives-4

MITOS

Imunisasi tidak perlu lagi diambil kerana penyakit-penyakit hampir pupus

FAKTA

Beberapa penyakit yang boleh dicegah melalui imunisasi jarang berlaku di Malaysia. Ini disebabkan oleh program imunisasi wajib yang berkesan, namun mereka yang mengunjungi negara-negara lain di mana penyakit-penyakit tersebut masih wujud boleh membawanya balik apabila mereka pulang ke negara asal. Imunisasi membantu melindungi segelintir penduduk kita yang alah yang tidak cukup matang untuk menerima vaksin pertamanya atau tidak bertindak balas kepada vaksin. Imunisasi telah membasmi sepenuhnya penyakit cacar dan polio (kecuali di dua negara). Campak juga dapat dibasmikan jika tiada peningkatan dalam penolakan vaksin.

vaccination-saves-lives-6

MITOS

Vaksin MMR (measles, mumps, rubella atau campak-beguk-rubela) menyebabkan autisme dan penyakit usus.

FAKTA

Kaitan di antara vaksin ini dan autisme tidak berasas!

Pada tahun 1998, satu penulisan telah diterbitkan di dalam jurnal The Lancet oleh seorang penyelidik British, Andrew Wakefield yang mengaku bahawa terdapatnya kaitan di antara vaksin MMR dan autisme serta penyakit usus. Walau bagaimanapun, kertas kajian tersebut adalah berdasarkan satu siri kajian kes kecil tanpa kes kawalan. Kajian tersebut mengaitkan tiga penyakit yang lazim berlaku, dan bergantung kepada kepercayaan dan ingatan ibu bapa.

Terbaru, siasatan wartawan Brian Deer mendapati bahawa Wakefield telah memalsukan data riwayat perubatan pesakit bagi menyokong tuntutannya tentang penemuan sindrom baharu. Penerbitan ini telah menyebabkan wabak campak di United Kingdom menular dan mengakibatkan beberapa kematian. Wabak berikutnya direkodkan di Amerika Syarikat. Di Malaysia, terdapat beberapa wabak terpencil di Selangor dan juga di beberapa negeri lain. Kesemuanya berkait dengan keengganan menerima vaksin. Terdapat sekurang-kurangnya dua kematian yang dilaporkan oleh KKM.

vaccination-saves-lives-9

MITOS

Vaksin polio menyebabkan lumpuh.

FAKTA

Pada masa dahulu, vaksin oral polio yang dilemahkan yang digunakan sekali-sekala menyebabkan polio lumpuh berkait dengan vaksin (VAPP), tetapi vaksin suntikan polio yang dimatikan seperti diberi sekarang tidak menyebabkan VAPP.

vaccination-saves-lives-7

MITOS

Bahan tidak halal digunakan untuk menghasilkan vaksin.

FAKTA

Vaksin yang berbeza perlu dikendalikan dengan cara yang berbeza. Sejenis enzim berasal daripada babi digunakan semasa mula-mula vaksin oral polio dan vaksin oral rotavirus dihasilkan. Kuantiti enzim yang sangat sedikit digunakan dan kepekatannya semakin berkurangan dengan penggunaan pencair dan cecair tambahan lain. Gelatin digunakan dalam penghasilan salah satu vaksin cacar air. Walaupun ia bukannya daripada sumber babi, terdapat ibu bapa yang masih ragu. Analisis produk terakhir vaksin menggunakan PCR (polymerase chain reaction) telah mengesahkan ketiadaan DNA babi. Semua vaksin yang digunakan oleh KKM tiada kontroversi halal-haram.

vaccination-saves-lives-8

MITOS

Imunisasi merupakan konspirasi untuk mengurangkan kesuburan orang Islam.

FAKTA

Ini adalah alasan yang digunakan untuk menolak imunisasi polio di Nigeria dan melewatkan pembasmian penyakit ini. Sebelum anda mempercayai alasan yang tidak munasabah, fikirkan mengapa progam imunisasi di Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Israel menggunakan antigen yang sama seperti di seluruh dunia.

Bahaya penyakit itu sendiri adalah lebih tinggi berbanding sebarang risiko imunisasi, nyata atau khayalan. Imunisasi merupakan kaedah yang mudah, praktikal, dan berkesan sebagai pencegahan utama bagi anak anda, oleh itu jangan tertinggal mana-mana suntikan. Jangan lupa suntikan booster (penggalak) jika perlu, kerana ia mesti disempurnakan agar berkesan.

vaccination-saves-lives-1

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen