Pengasuhan Positif

Jangkitan Pneumokokus Kanak-Kanak

Tinjauan mendapati 96% ibu-ibu Malaysia tidak mengetahui langsung tentang penyakit pneumokokus, manakala 97% pula langsung tidak menyedari bahawa penyakit ini boleh dicegah melalui imunisasi.

Data terkini menunjukkan bahawa setiap tahun penyakit pneumokokus membunuh hampir setengah juta kanak-kanak bawah umur 5 tahun di seluruh dunia. Kebanyakan kematian tersebut terjadi di negara-negara membangun. Di Malaysia, kekerapan kes pneumokokus di kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun adalah di antara 28-39%. Ia merupakan penyebab kematian ke-lima tertinggi di kalangan kanak-kanak di Malaysia, dan menyumbang 4% kepada kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

Penyakit pneumokokus atau PnD (pneumococcal disease) merujuk kepada sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae (juga dikenali sebagai pneumokokus). Ini termasuk

meningitis

meningitis
(radang lapisan membran saraf tunjang dan otak)

bacteraemia

bakteremia
(jangkitan bakteria dalam darah))

pneumonia

pneumonia
(jangkitan paru-paru))

otitis-media

otitis media
(radang pada telinga tengah))

acute-sinusitis

sinusitis akut
(radang sinus))

PnD boleh menyebabkan komplikasi seperti hilang pendengaran, kecacatan mental, kelewatan pertuturan, serebral palsi, terencat akal dan adakalanya kematian.

Siapakah Yang Paling Berisiko?

Bayi baru lahir sehingga berumur 24 bulan adalah paling berisiko, disebabkan tahap antibodi pneumokokus di dalam tubuhnya yang rendah. Kanak-kanak yang mempunyai daya ketahanan tubuh yang rendah (sama ada dilahirkan dengan sistem imun yang lemah atau mempunyai sistem imun yang terjejas akibat penyakit seperti HIV atau kesan sampingan rawatan perubatan), bayi dan kanak-kanak di pusat jagaan kanak-kanak dan, kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik seperti asma dan penyakit jantung kongenital juga adalah berisiko tinggi menghidapi jangkitan PnD.

Kenali Tanda-tanda & Simptom

Simptom-simptom penyakit adakalanya bertindih dan terdapat simptom yang tidak ketara, dan sukar dikesan.

Meningitis:
Demam, sakit kepala teruk, mual, muntah, cirit birit, leher tegang dan fotofobia (mengelak cahaya), meragam, lesu, tiada selera makan, dan fontanel (ubun-ubun) membonjol. Tahap kesedaran yang berkurangan dan sawan juga boleh berlaku.

Bakteremia:
Demam panas dan meragam yang berterusan. Jangkitan saluran pernafasan mungkin berlaku.

Pneumonia:
Pernafasan yang laju atau sukar bernafas dan sakit dada, seram sejuk, batuk, dan demam.

Otitis Media:
Sakit telinga, demam, meragam, dan hilang pendengaran sementara.

Sinusitis Akut:
Selesema berlarutan lebih daripada 10 hingga 14 hari, hingus pekat berwarna kuning kehijauan, titisan belakang hidung, adakalanya menyebabkan sakit tekak, batuk, nafas berbau, mual dan/atau muntah, meragam atau lesu.

Sekiranya anda mengesan mana-mana kombinasi simptom tersebut atau sekiranya anak anda tidak pulih daripada simptom-simptom selepas 3-5 hari, bawa anak anda berjumpa doktor atau pakar kanak-kanak dengan serta-merta.

Mencegah Jangkitan

  • Amalkan kebersihan di rumah dan pastikan pusat asuhan anak anda juga berbuat demikian.
  • Susukan bayi anda dengan susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya 6 bulan pertama, jaga pemakanan bayi, dan elakkan pencemaran udara (asap rokok, api dapur, ekzos kereta).
  • Jangan hantar anak anda ke pusat asuhan/sekolah jika dia tidak sihat.
  • Beri anak anda imunisasi terhadap PnD.

Cara paling berkesan untuk mencegah PnD adalah melalui imunisasi. Terdapat dua jenis vaksin pneumokokus:

Vaksin penumokokus polisakarida, tidak boleh diguna untuk kanak-kanak di bawah umur 2 tahun kerana ia tidak berupaya merangsang tindak balas imun secukupnya.

Vaksin konjugat pneumokokus terbaru boleh digunakan untuk bayi dari umur 6 minggu dan mencetus memori imun dan imuniti kelompok. Ia juga membantu mengurangkan kadar penyakit pneumokokus kebal antibiotik atau antibiotic-resistant invasive pneumococcal disease (IPD) dengan ketara di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil.

Vaksin konjugat pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine – PCV) tidak diwajibkan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, tetapi ia amat disarankan. PCV merupakan vaksin yang sangat berkesan dan selamat untuk diberi kepada kanakkanak.

Imunisasi terhadap IPD merupakan strategi penting yang menyelamatkan nyawa dan mengurangkan morbiditi kerana:

  • ia boleh mencegah kanak-kanak daripada dijangkiti
  • ia mengurangkan transmisi bakteria dalam komuniti maka mengurangkan IPD dalam kumpulan umur lain (imuniti kelompok)
  • ia mengurangkan keperluan penggunaan antibiotik maka mengurangkan kadar kekebalan bakteria.

Apakah ‘Imuniti Kelompok’?

Apabila sebahagian besar komuniti telah diberi imunisasi terhadap sesuatu penyakit berjangkit, kebanyakan ahli lain dalam komuniti akan dilindungi daripada penyaki tersebut walaupun mereka tidak diberi imunisasi.peluang terjadinya wabak adalah sangat rendah.

Bahkan mereka yang pernah dijangkiti hanya menikmati tahap imuniti yang terbatas yang mungkin tidak mencukupi untuk melindungi mereka daripada jangkitan seterusnya. Oleh sebab itu, imunisasi berjadual terhadap PnD amat disarankan. Vaksin boleh di dapati di klinik-klinik dan hospital swasta di seluruh negara, jumpa doktor anda atau pakar kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen