Pengasuhan Positif

Mengatasi Kesan Psikologi Ketidaksuburan

Ketidakmampuan untuk hamil boleh menghancurkan harapan dan memberi tekanan kepada pasangan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), infertiliti atau ketidaksuburan ditakrifkan sebagai kegagalan untuk hamil setelah menjalani hubungan kelamin tanpa perlindungan secara kerap selama 12 bulan atau lebih.

Walaupun kemajuan dalam teknologi bantuan reproduktif seperti persenyawaan in vitro (IVF) memberi harapan kepada pasangan yang tidak subur, kesan psikologi daripada ketidaksuburan selalunya kurang diberi perhatian. Sesetengah pesakit menganggap penilaian dan rawatan ketidaksuburan sebagai pengalaman paling dahsyat dalam kehidupan mereka.

Bagaimana infertiliti menjejaskan kehidupan anda?

Harga diri: Pembiakan merupakan keperluan manusia yang sangat penting. Oleh itu, pasangan yang tidak boleh mendapat anak berhadapan dengan tekanan dan penderitaan psikologi (malu, kesal, bersalah, murung, bimbang, rasa tidak berguna). Kesan emosi ketidaksuburan yang paling membimbangkan ialah hilang kawalan terhadap kehidupan. Kebanyakan pasangan menjadikan kesuburan sebagai fokus utama dalam tugasan harian dan acap kali terpaksa menangguhkan kehidupan mereka (contohnya, menangguhkan percutian). Ketidaksuburan kadang kala boleh menghakis keyakinan diri dan ini boleh menjadi lebih teruk jika seseorang itu berjaya dalam aspek lain kehidupan (contohnya, kerja) dan tidak mahir dalam mengatasi kegagalan dan kehilangan.

Perhubungan: Hubungan mungkin terjejas bukan sahaja di antara pasangan, tetapi juga dengan keluarga dan kawan-kawan. Hubungan menjadi regang disebabkan rasa takut bahawa pasangan yang subur mungkin meninggalkan pasangan yang tidak subur. Selain itu, tekanan kesan daripada proses penilaian dan rawatan menyukarkan pasanganuntuk memberi sokongan emosi Keperluan untuk mengadakan hubungan kelamin pada masa-masa tertentu juga merupakan satu lagi faktor yang mengganggu kebahagiaan perkahwinan. Seks menjadi satu tugasan dengan kekurangan keintiman dan tidak berlaku secara spontan. Hubungan bersama kawan dan keluarga juga mungkin terjejas. Anda mungkin berasa tersinggung apabila ditanya tentang rancangan untuk menjadi ibu bapa oleh mereka yang mengambil berat. Dalam keadaan yang ekstrem, pasangan terpaksa menyisihkan diri dan berhenti daripada menghadiri majlis-majlis sosial yang turut dihadiri kanak-kanak.

Kesihatan: Proses penilaian mengambil masa yang lama, bermula dari ujian darah yang mudah hingga ke prosedur invasif. Hasil pemeriksaan mungkin mendedahkan masalah perubatan yang menyumbang kepada punca infertiliti. Ia sering kali mengejutkan pasangan-pasangan kerana secara umumnya mereka sihat. Walaupun intervensi perubatan memberi harapan dan rawatan berkesan, ia boleh menambahkan lagi stres, kebimbangan, dan kesedihan yang sedang dirasai oleh pesakit disebabkan oleh infertiliti. Tambahan pula, sekiranya sesuatu kitaran rawatan itu gagal, hampir semua pasangan dilaporkan akan mengalami kemurungan yang akut.

Kewangan: Kos rawatan bagi merawat ketidaksuburan adalah tinggi. Mungkin ada yang kurang berkemampuan untuk membayar harga rawatan dan ini boleh menyumbang kepada perasaan ketidakupayaan dan akhirnya, putus asa. Jika pun mampu, beban kewangan yang ditanggung tetap adalah beban yang tidak boleh dipandang ringan.

psychological-effects-of-infertility-2

Mengendalikan Ketidaksuburan

Menerima ketidaksuburan: Beban psikologi ketidaksuburan telah disahkan dan mengesan masalah tersebut merupakan langkah pertama dalam merealisasikan impian untuk menjadi ibu bapa. Menerima hakikat bahawa anda tidak subur merupakan kunci untuk mengatasinya agar pasangan boleh maju ke hadapan dan mendapatkan nasihat professional seterusnya mencuba & berusaha untuk mengatasinya.

Jangan menyalahkan diri anda atau pasangan anda: Menyalahkan satu sama lain boleh memusnahkan hubungan dan tidak mendatangkan sebarang faedah. Jangan terperangkap dengan corak pemikiran negatif yang hanya akan membuat keadaan menjadi lebih teruk. Daripada memikirkan ‘apa yang sepatutnya’ atau ‘apa yang mungkin’ berlaku, lebih baik tumpukan kepada apa yang ‘boleh’ dilakukan.

Beri masa untuk bersedih dan benarkan pasangan anda untuk turut bersedih. Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi tekanan emosi dan adalah penting untuk saling bersabar dan bertoleransi. Kesedihan yang tidak diatasi merupakan punca utama keresahan.

Berkomunikasi dengan pasangan anda: Dalam tempoh yang mencabar ini, adalah penting untuk saling menyokong lain dan bekerja sebagai satu pasukan. Lelaki dan wanita berbeza dalam cara mereka bertindak balas kepada tekanan ketidaksuburan. Maklumkan kepada pasangan anda bagaimana anda ingin dibantu dan bersepakat mencari jalan praktikal agar sama-sama memikul bebannya.

Memahami infertiliti: Pelajari tentang masalah kesuburan dan bertanyakan soalan kepada doktor anda tentang ketidaksuburan. Salah satu punca stres ialah masa depan yang tidak menentu. Mengumpul banyak maklumat dan berbicara dengan orang lain yang sedang mengalami masalah infertiliti boleh membantu pasangan membuat pilihan berdasarkan fakta. Kumpulan sokongan juga merupakan tempat yang baik untuk mempelajari dan mendapatkan maklumat tentang rawatan, serta membina persahabatan baharu.

Jaga kesihatan anda dan teruskan minat-minat yang lain: Kajian menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan diet yang sihat digabungkan dengan aktiviti fizikal secara tetap, mempunyai peluang lebih tinggi untuk kehamilan yang berjaya selepas dirawat. Rawatan ketidaksuburan yang sedang dilalui mungkin akan memakan banyak masa anda. Maka penting untuk anda meneruskan hobi-hobi yang menyeronokkan.

Kekal realistik: Pasangan harus sedar bahawa tidak kira betapa banyak mereka berusaha untuk hamil dan betapa maju teknologi bantuan yang digunakan, tiada siapa boleh menjamin kejayaan mendapat bayi. Pasangan-pasangan perlu belajar untuk mengimbangi optimisme dan realisme.

Tetapkan bajet anda: Tidak diragui bahawa rawatan ketidaksuburan akan membebankan kewangan anda, dan sering kali wanita terpaksa melalui beberapa kitaran rawatan sebelum berjaya untuk hamil. Pasangan yang sedang memikirkan untuk mendapat rawatan harus merancang perbelanjaan mereka.

Bangkitkan kerohanian anda. Kebanyakan orang mendapat ketenangan jiwa dalam mendalami keagamaan. Terdapat juga mereka yang lebih suka berdoa atau bertakafur bersendirian. Kepercayaan boleh menjadi alat yang sangat kuat untuk membimbing anda kembali ke pangkal jalan dan menemui semula tujuan hidup.

Impak psikologi infertiliti amat berat. Namun begitu, pulangannya amat bernilai sekiranya pasangan boleh mengatasi halangan dan cabaran.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen