Pengasuhan Positif

Diet Vegetarian dan Kanak-kanak

Piramid Makanan Malaysia menyarankan diet yang pelbagai dan seimbang serta mengandungi makanan daripada semua kumpulan makanan. Walaupun begitu, anda mungkin mengamalkan diet vegetarian atas sebab kesihatan, agama, budaya atau lain-lain.

Diet vegetarian atau diet berasaskan tumbuhan adalah selamat untuk kanak-kanak, namun, anda perlu berhati-hati untuk memastikan bahawa anak anda mendapat kesemua nutrien penting dan kalori yang diperlukan. Jika tidak, diet anak anda mungkin kekurangan beberapa nutrien. Secara umum, diet vegetarian kaya dengan buah dan sayur, mengandungi banyak serat dan kurang lemak yang boleh membuat anak anda berasa kenyang sebelum mendapat kalori yang cukup. Oleh itu, pastikan anak anda memenuhi keperluan kalorinya. Dapatkan nasihat seorang pakar pemakanan sekiranya anda bercadang untuk memberi anak anda diet vegetarian atau diet berasaskan tumbuhan. Perubahan kepada diet vegetarian harus dilakukan secara beransur-ansur; pastikan masih terdapat makanan kebiasaannya. Diet vegetarian boleh membantu membentuk tabiat makan secara sihat sepanjang hayat.

Beberapa kekurangan nutrien boleh berlaku, namun ia mudah diatasi dengan kefahaman yang baik tentang makanan berasaskan tumbuhan yang terdapat di Malaysia:

makanan-bukan-vegetarian-dan-vegetarian

Tahukah anda?

Terdapat empat kategori vegetarian :

  1. lakto-ovo-vegetarian (makan telur, produk tenusu dan makanan sumber tumbuhan)
  2. lakto-vegetarian (makan produk tenusu dan makanan sumber tumbuhan, tetapi tidak mengambil telur)
  3. ovo-vegetarian (makan telur dan makanan sumber tumbuhan tetapi tidak mengambil produk tenusu)
  4. vegan (makan makanan sumber tumbuhan sahaja – tidak mengambil telur atau produk tenusu)

Tip-tip!

Apabila pergi membeli-belah, dapatkan makanan yang diperkayakan (contohnya bijirin yang diperkaya, jus buah). Ia membantu anak anda mendapat mikronutrien seperti vitamin B12 dan D, kalsium, dan zat besi secukupnya.

Keperluan protein mudah dipenuhi jika kanak-kanak makan pelbagai makanan. Ini termasuk sumber vitamin C (tomato, lada benggala, buah sitrus) yang dimakan bersama hidangan untuk meningkatkan penyerapan zat besi. Pendedahan kulit kepada sinar matahari pastinya membantu menghasilkan vitamin D secara semula jadi.

Hadkan anak anda daripada pengambilan makanan berlemak dan manis!

Kunci diet vegetarian/berasaskan tumbuhan yang sihat

vegetarian-diet-and-kids-2

Makan pelbagai jenis makanan!

  • Buah
  • Sayur
  • Sayuran hijau
  • Produk bijirin penuh
  • Kekacang dan biji-bijian
  • Legum

Bahaya: Suplemen boleh membahayakan

Sentiasa ingat: Makanan dahulu, kemudian baharu ambil suplemen jika perlu. Sebarang suplemen yang diambil secara tetap dan dalam jumlah yang tinggi boleh memudaratkan! Jika anda memastikan anak anda mengambil diet mengikut Piramid Makanan Malaysia, maka dia seharusnya mendapat semua nutrien yang diperlukan. Suplemen tidak diperlukan dan jangan sekali-kali menggunanya untuk menggantikan makanan segar. Makanan yang berasaskan tumbuhan adalah mencukupi untuk memastikan anak anda memenuhi keperluan nutrien, kecuali amalan diet vegan (tidak mengambil produk tenusu dan telur). Amalan diet vegan memerlukan perhatian khusus terutamanya bagi keperluan vitamin B12. Ini boleh diatasi dengan mengambil makanan yang diperkaya seperti susu soya, tempe dan bijirin yang sedia dimakan.

Jika anda bimbang diet anak anda tidak membekalkan nutrien secukupnya, dapatkan nasihat profesional. Suplemen nutrien hanya patut diambil atas nasihat pakar pemakanan atau doktor.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen