Pengasuhan Positif

Gangguan Reaktif Pertalian Kasih Sayang Dalam Kalangan Kanak-kanak

Gangguan reaktif pertalian kasih sayang atau Reactive attachment disorder (RAD) jarang berlaku namun ia adalah masalah yang serius. Kanak-kanak yang mengalami RAD atau masalah psikiatri lain sukar berhubung dengan orang lain dan mengawal emosi mereka. Kesannya ialah kurang kepercayaan dan harga diri, berasa takut untuk rapat dengan orang lain, marah, dan mahu sentiasa menguasai keadaan. Selalunya, kanak-kanak yang mengalami RAD berasa tidak selamat dan keseorangan.

RAD terjadi apabila keperluan asas kanak-kanak seperti ketenangan, kasih sayang dan asuhan tidak dipenuhi dan hubungan yang penuh kasih sayang dan stabil, dengan orang lain tidak terbina. Faktor-faktor risiko RAD termasuk:

  • penderaan atau pengabaian.
  • sentiasa berpindah dari sebuah rumah keluarga angkat ke rumah lain.
  • tinggal di rumah anak yatim.
  • dipisahkan daripada penjaga utama mereka setelah kasih sayang terbina.

Kanak-kanak yang diabaikan tidak semestinya mengalami RAD kerana kebanyakan dari mereka mempunyai daya tahan semula jadi untuk mengatasinya. Sebab mengapa sesetengah bayi dan kanak-kanak mengalami RAD tidak dapat dipastikan, dan kajian masih dijalankan untuk mengetahui lebih tentang penyakit misteri ini.

Kenali Perubahan-perubahan Tingkah Laku Anak Anda

Lebih awal anda mengesan simptom-simptom dan mengambil langkah untuk membantu mereka, lebih baik. Jika dibiar tanpa rawatan, RAD boleh menjurus kepada masalah emosi dan tingkah laku semakin dia membesar.

Bayi

  • Mengelak bertentangan mata.
  • Tidak senyum.
  • Tidak menghulur tangan untuk minta diangkat.
  • Menolak usaha anda untuk, mententeram, memujuk dan berhubung dengannya.
  • Tidak sedar atau tidak kisah apabila anda tinggalkan mereka bersendirian.
  • Tangisan yang tidak boleh ditenangkan.
  • Tidak mengagah atau membuat bunyi.
  • Tidak mengikut anda dengan pergerakan matanya.
  • Tidak berminat untuk bermain permainan interaktif atau apa-apa permainan pun.

Kanak-kanak

  • Perasaan positif, sentuhan dan kasih sayang dianggap sebagai ancaman.
  • Sering tidak mengikut kata, ingkar, dan bersikap provokatif.
  • Kemarahan ditunjukkan dengan jelas melalui perangai atau tingkah laku yang manipulatif, dan pasif-agresif.
  • Sukar menunjukkan kasih sayang sebenar dan menunjukkan kasih sayang yang tidak kena tempatnya dengan orang yang tidak dikenali manakala tidak menunjukkan kasih sayang terhadap ibu bapa mereka.
  • Tidak mempamerkan rasa bersalah, kesal, atau insaf setelah berperangai tidak baik.

Simptom awal RAD sama seperti simptom-simptom masalah lain seperti ADHD dan autisme. Justeru itu, jika anda mengesan sebarang tanda amaran, berjumpalah dengan pakar kanak-kanak atau pakar psikiatri untuk membuat diagnosis yang betul.

Pilihan Rawatan

Kebanyakan rawatan fokus kepada memastikan kanak-kanak tersebut mempunyai persekitaran hidup yang selamat, membina interaksi positif dengan penjaga, dan memperbaiki hubungan dengan rakan sebaya.

Terapi keluarga. Terapi sering kali membabitkan aktiviti-aktiviti seronok, bermanfaat yang dapat menguatkan ikatan kekeluargaan, serta membantu keluarga memahami simptom-simptom penyakit tersebut.

Kaunseling individu. Membantu anak anda secara langsung dengan memantau dan memerhati keadaan emosi dan tingkah lakunya.

Terapi bermain. Membantu anak anda belajar kemahiran yang sesuai untuk berinteraksi dengan rakan sebayanya dan mengendalikan situasi sosial yang pelbagai.

Kelas-kelas kemahiran pengasuhan. Pendidikan untuk ibu bapa/penjaga bertumpu kepada memperbaiki kemahiran pengasuhan dan bagaimana untuk mengatasi situasi yang berbeza dengan berkesan.

RAD tidak boeh dirawat menggunakan ubat-ubatan tetapi adakalanya doktor mungkin memberi ubat untuk mengendalikan beberapa masalah seperti masalah tidur, hiperaktif, kemurungan atau kebimbangan. Sebarang penggunaan ubat-ubatan lazimnya digabungkan dengan teknik pemulihan tingkah laku.

Mengendali Kanak-Kanak RAD

Mengasuh seorang kanak-kanak yang menghidapi RAD sangat mencabar dari segi emosi dan meletihkan dari segi fizikal. Penjaga sering berasa stres, terutama dalam ketiadaan jaminan hubungan kasih sayang dengan kanak-kanak tersebut. Proses merawat RAD mengambil masa, ia memerlukan usaha yang banyak dan kesabaran daripada ibu bapa/penjaga.

  • Mempunyai harapan yang realistik. Mengatasi RAD memerlukan masa, oleh itu maju ke hadapan selangkah demi selangkah. c Kesabaran adalah penting. Bersabar dan fokus kepada penambahbaikan yang sedikit demi sedikit.
  • Bersikap positif. Berjenaka merupakan kaedah yang mudah dan berkesan, untuk membantu anda menjadi lebih rapat dan membina kepercayaan dengan anak anda. Apabila anda bersikap positif, anak anda juga akan bersikap positif.
  • Jaga diri anda. Rehat, jaga pemakanan, dan bercuti boleh membantu anda relaks dan bertenaga semula agar anda boleh memberi perhatian kepada anak anda.
  • Dapatkan sokongan, anda tidak bersendirian. Dapatkan sokongan daripada kawan-kawan, keluarga atau sertai kumpulan sokongan untuk ibu bapa.

Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen