Pengasuhan Positif

Memupuk Minat Anak Anda

Memberi sorakan sokongan untuk si kecil anda apabila dia mengelecek bola dalam perlawanan bola sepak atau melihat bakal bintang Akademi Fantasia anda di atas pentas merupakan saat-saat gembira bagi ibu bapa. Jelaslah, setiap anak mempunyai kebolehan istimewa masing-masing, dan sudah tentu ia menggamit perasaan ibu bapa jika hobi atau minat mereka dikongsi bersama. Memupuk minat anak anda boleh membantunya berkembang dan membesar menjadi seorang yang sihat dan serba boleh. Siapa tahu, anda mungkin sedang melatih seorang bakal atlet antarabangsa atau seorang profesor yang bijak?

Kemahiran Yang Boleh Diasah

Terdapat banyak kemahiran yang kanak-kanak peroleh daripada melakukan pelbagai jenis aktiviti yang berlainan. Menyertai pasukan sukan meningkatkan kecegasan fizikal serta kemahiran motor, sosial dan kepimpinannya. Bermain alat muzik dikaitkan secara positif dengan penambahbaikan daya tumpuan dan kemahiran motor halus. Lakonan teater atau drama pula meningkatkan keyakinan, bahasa dan kemahiran pengucapan awam. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dalam kegiatan kokurikulum mempunyai kemahiran mengurus masa yang lebih baik serta mempunyai harga diri dan keyakinan yang lebih tinggi. Kanak-kanak akan terdedah kepada pelbagai pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan mereka pelajar yang berkebolehan.

Peranan Ibu Bapa

Peluang dan pendedahan kepada pelbagai jenis pengalaman dan aktiviti adalah penting kerana kita tidak mengetahui bakat yang terdapat pada anak kita. Jika dibiarkan, kebanyakan kanak-kanak lebih suka duduk di hadapan televisyen atau bermain Minecraft sepanjang hari. Kanak-kanak sering dipengaruhi oleh minat ibu bapa mereka terhadap sesuatu aktiviti. Penglibatan anak anda dalam hobi anda merupakan salah satu cara semula jadi yang terbaik untuk memperkenalkan sesuatu aktiviti. Penglibatan aktif ibu bapa terbukti menyumbang kepada kejayaan anak dalam kegiatan akademik dan kokurikulum.

Personaliti Anak Anda

Sestengah kanak-kanak mempunyai minat tertentu secara semula jadinya manakala kanak-kanak lain pula perlu mencuba beberapa aktiviti untuk mengetahui minat meraka tetapi sering disalah anggap sebagai tidak bermotivasi. Jangan tawar hati: memberi anak anda peluang untuk mengetahui kebolehannya mungkin akan mengambil masa. Kajian telah membuktikan bahawa kecenderungan seorang kanak-kanak terhadap sesuatu aktiviti merupakan peramal paling kuat bahawa dia akan meneruskan penglibatannya. Anda mungkin menyedari minat semula jadi anak anda semasa lawatan ke muzium (angkasa, dinosaur), atau semasa kegiatan waktu lapang seperti melukis. Membaca buku merupakan satu cara lagi untuk mengetahui minat anak anda, jadi anda perlu ambil perhatian kepada apa yang mereka baca. Mempunyai kemahiran semula jadi memberi kebaikan tambahan; anak anda akan lebih bersemangat melakukan sesuatu yang dia mahir.

nuturing-your-childs-interest-2

Gaya Pengasuhan

Bagaimana kita boleh memberi galakan kepada anak-anak tanpa tekanan?

Sudah menjadi kebiasaan bagi ibu bapa membelanjakan wang untuk mendaftarkan anak dalam pelbagai jenis kelas kokurikulum. Tidak semua kanak-kanak boleh menguruskan jadual yang begitu padat, dan mereka mungkin tidak mempunyai masa yang cukup atau peluang untuk mengembangkan minat mereka. Kebanyakan kanak-kanak boleh menguruskan sekurang-kurangnya dua kegiatan kokurikulum, selain daripada kegiatan persekolahan.

Adakah pendekatan pengasuhan tigerparent yang tegas dan mengutamakan prestasi tinggi boleh berjaya?

Satu tinjauan dalam kalangan atlet berbakat menunjukkan bahawa ibu bapa mereka banyak memberi galakan dan sokongan. Terlalu mengkritik dan mengawal secara keterlaluan tidak menggalakkan motivasi semula jadi dan pembelajaran secara berdikari. Biarkan anak anda mencuba sesuatu tugasan dan belajar daripada kesilapan mereka. Berikan cadangan yang membina dan elakkan dari berkata “itu salah, buat begini”. Ini akan menggalakkan kefahaman dan minat dalam proses pembelajaran dan penyelesaian masalah.

Adakah ganjaran membantu menggalakkan pencapaian dan minat?

Ibu bapa mempunyai kebiasaan untuk memberi ganjaran kepada anak mereka yang berjaya melakukan sesuatu dengan baik. Namun, kajian terkini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang sentiasa diberi ganjaran menjadi lebih materialistik dan lebih mementingkan ganjaran daripada aktiviti yang disertai. Baru-baru ini, kempen membaca di Amerika Syarikat cuba memupuk tabiat membaca dengan memberi baucer makanan sebagai ganjaran. Pendekatan ini menyebabkan kanak-kanak membaca buku-buku cerita pendek dan kurang memahami kandungannya. Cuba fokus kepada penghayatan dan keseronokan anak anda memupuk minat mereka dengan baik aktiviti. Fikirkan kualiti, bukan kuantiti.

Tetapkan Sasaran Realistik

Tetapkan sasaran yang realistik berdasarkan pencapaian anak anda. Kegagalan boleh berlaku, anak anda mungkin tawar hati dan terus putus asa dengan pengalaman baharu dan mereka mungkin enggan mencuba perkara baharu pada masa akan datang. Maka, jangan terlalu menekan anak anda dan pastikan anda sentiasa berada di sisi mereka untuk membantu sekiranya mereka gagal.

Bukan Semua Minat Melibatkan Kos Yang Tinggi

Kegiatan kokurikulum tidak semestinya terlalu mahal. Memupuk minat bermain bola sepak mungkin melibatkan anda menendang bola bersama anak anda di taman, menonton perlawanan Harimau Malaysia, membaca skor liga perdana dalam surat khabar bersama-sama, atau menyertai kelab bola sepak sekolah. Terdapat banyak organisasi bukan kerajaan dan persatuan yang menjalankan aktiviti-aktiviti untuk kanak-kanak dengan yuran yang rendah seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan akademi-akademi bola sepak.

Jadi Realistik

Sebagai ibu bapa, kita harus realistik dalam menetapkan sasaran kita. Kurang daripada 0.01% kanak-kanak akan membesar menjadi Lee Chong Wei atau Siti Nurhaliza. Dengan peluang dan pendedahan, anak-anak kita akan menjumpai bakat yang akhirnya membantu mereka dalam kerjaya mereka. Akhirnya kita berharap anak-anak kita akan membesar menjadi orang dewasa yang gembira, sihat dan produktif; dengan minat yang memberi mereka keseronokan sepanjang hayat.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen