Pengasuhan Positif

Mengatasi Masalah Remaja

Anda baharu lega setelah mengatasi kenakalan usia dua tahun, gementar hari pertama ke sekolah dan masalah tweens (8-12 tahun), kini tiba masanya untuk berhadapan dengan zaman remaja. Walaupun anda mengharap agar dalam fasa ini pengasuhan menjadi semakin mudah, namun kebanyakan ibu bapa mendapati zaman remaja adalah lebih mencabar dan memerlukan pengawasan rapi ibu bapa. Namun begitu, masih ada harapan bagi kita yang berfikiran terbuka untuk mempelajari beberapa tip tentang cara untuk mengatasinya.

Apa Yang Remaja Akan Lalui

Mengikut definisi, remaja ialah orang muda yang berusia antara 13 dan 19 tahun. Istilah remaja juga merujuk kepada permulaan baligh dan berakhir apabila seseorang beralih ke alam dewasa. Dalam tempoh ini, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi oleh para remaja, termasuk menghadapi baligh, perkembangan identiti diri, mengendalikan rakan-rakan, dan mereka yang berlainan jantina, serta berdikari daripada kawalan ibu bapa. Oleh yang demikian, para remaja dan ibu bapa mereka dijangka akan mengalami keadaan yang bergolak. Namun begitu, dengan kemahiran pengasuhan yang baik dan sokongan bagi para remaja, ia lazimnya berakhir dengan peralihan yang sihat dan berjaya ke alam dewasa.

Mengesan Tanda-tanda Bahaya

Bagaimana untuk mengetahui jika anak remaja anda bermasalah? Secara umumnya, apabila para profesional menilai remaja, mereka akan melihat sama ada remaja boleh menjalani hidup dengan baik atau tidak. Adalah biasa bagi anak remaja untuk duduk bersendirian di dalam biliknya. Walau bagaimanapun, jika dia duduk di dalam bilik sehingga tidak hadir ke sekolah atau tidak bersosial dengan kawan-kawan; ini mungkin petanda untuk mendapatkan bantuan profesional. Satu lagi tanda ialah apabila pencapaian sekolahnya mula merosot.

dealing-with-common-teen-issues-2

Masalah Remaja Yang Lazim

1. Terlalu menekankan harapan

Terdapat beberapa isu remaja yang mungkin perlu dikendalikan oleh ibu bapa. Salah satu isu lazim dalam kalangan ibu bapa Malaysia ialah tentang pelajaran remaja. Para remaja sering tertekan untuk mendapat pencapaian akademik yang tinggi. Kita sentiasa inginkan yang terbaik untuk anak remaja kita dan kita berfikir bahawa pencapaian tinggi dalam pelajaran adalah cara terbaik untuk masa depan yang cerah. Namun, bukan mudah untuk anak anda mendapat semua A, markah 90-100% atau nombor satu dalam kelas.

Cara yang lebih realistik dalam menetapkan objektif ialah untuk menyasarkan markah yang lebih baik daripada sebelumnya. Juga, adalah lebih baik jika anak remaja fokus kepada subjeksubjek yang dia suka dan minat. Semua orang belajar dengan lebih baik apabila mereka berasa seronok!

2. Pengaruh Rakan Sebaya

Adalah penting untuk menyedari bahawa semasa zaman remaja, kawan-kawan memainkan peranan yang lebih penting daripada ibu bapa. Ia adalah satu petanda bahawa anak remaja sedang belajar untuk lebih berdikari dan menyesuaikan diri dengan orang di sekelilingnya. Oleh itu, jangan berkecil hati jika anak remaja anda tidak mahu meluangkan masa bersama anda seperti dahulu. Secara beransur-ansur, benarkan dia untuk berhubung dengan kawan-kawan melalui telefon, dalam talian, di dalam dan luar rumah, semuanya dalam batasan-batasan tertentu. Satu cadangan yang baik ialah untuk juga mengenali kawan-kawannya dan menjemput mereka meluangkan masa di rumah anda, agar anda boleh mengawasi mereka.

3. Buli

Sesetengah kawan boleh berubah menjadi nakal. Mereka mungkin berkatakan sesuatu yang memalukan atau memanipulasi anak remaja untuk melakukan sesuatu untuk mereka. Mereka mungkin memalukan seorang remaja di hadapan remaja lain. Remaja perempuan cenderung membuli dengan memulau remaja lain daripada kumpulan mereka. Perkara ini akan tetap berlaku tidak kira betapa anda melindungi anak anda. Apa yang penting ialah bagi anda mengekalkan hubungan komunikasi anda agar anak remaja anda akan mengadu kepada anda, apabila masalah seperti itu berlaku. Seterusnya, apabila anak remaja anda mempunyai harga diri yang baik, dia tidak akan mengambil peduli terhadap perangai tersebut dan mencari kawan yang lebih baik untuk dirinya.

4. Menghabiskan Terlalu Banyak Masa Dalam Talian

Pada zaman digital sekarang, kita tidak dapat lari daripada membincangkan remaja menggunakan internet dan peranti pintar. Ia sudah menjadi sebahagian daripada diri mereka maka tiada gunanya anda menghalang mereka daripada mengguna alat-alat tersebut. Apa yang lebih penting adalah untuk menetapkan batas bagi tingkah laku tersebut dan mengajar mereka cara yang selamat ketika berada atas talian. Garis panduan pediatrik menyarankan agar tidak meluangkan lebih daripada dua jam sehari atas talian. Anak remaja anda juga tidak seharusnya membawa bersama peranti pintar semasa tidur kerana dia mungkin meluangkan terlalu banyak masa menggunakannya dan tidurnya akan terganggu. Dia tidak sepatutnya meletakkan maklumat diri atas talian dan sentiasa berhati-hati dengan orangorang yang ditemuinya atas talian.

Kini anda sedar terdapat banyak tekanan untuk menjadi seorang remaja pada hari ini. Kemahiran mengendalikan stres yang baik adalah penting bagi anak remaja anda. Maka, galakkan anak anda untuk mencari minat dan hobi selain daripada belajar. Sukan, muzik dan kesukarelawanan merupakan aktiviti yang baik untuk mengisi masa lapang.

Kita juga perlu sentiasa membuka hubungan komunikasi dengan anak-anak remaja kita. Soalan seperti ‘Apa perasaan anda?’ dan ‘Anda fikir bagaimana?’ akan merangsang anak remaja anda untuk meluaskan kosa kata emosi, serta kemahiran menyelesaikan masalahnya. Bersedia untuk menjadi kagum dengan remaja anda yang hebat!

Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen