Pengasuhan Positif

Memupuk Kesejahteraan Keluarga Mencapai Kesihatan Dalaman

Kesejahteraan keluarga bukan setakat kesihatan fizikal; ia juga melibatkan ahli keluarga yang mengambil berat dan memberi sokongan lalu menerima perbezaan serta keunikkan kualiti masing-masing. Kesejahteraan begini merangsangkan perkembangan potensi individu dan membantu membentuk perwatakan seseorang, maka membantu setiap ahli keluarga berkembang dan mengatasi cabaran-cabaran hidup.

Seperti yang dijelaskan oleh Dr Zulkifli, kesejahteraan terdiri daripada 6 dimensi; salah satunya adalah kesejahteraan fizikal, yang telah dihuraikan oleh Dr Tee. Setiap dimensi kesejahteraan saling melengkapi dan berkait rapat. Sebahagian besar 5 dimensi lagi merujuk kepada kesejahteraan dalaman:

Kesejahteraan Emosi

Kesejahteraan Emosi merupakan keupayaan untuk menyedari dan mengatasi perubahan emosi harian dengan cara-cara penyesuaian. Keupayaan untuk mengenali, menerima dan berkongsi perasaan dengan cara yang produktif menyumbang kepada kesejahteraan emosi kita.

Tip-tip kesejahteraan:

  • Buat pilihan dan keputusan dengan memproses perasaan, fikiran, falsafah, dan tingkah laku. Bersifat lebih terbuka dan lebih kerap berkongsi perasaan dan fikiran bersama keluarga.
  • Bagi anak-anak, prinsip dan kepercayaan mereka terbentuk berdasarkan pemerhatian dan daripada mencontohi ibu bapa mereka sejak dari peringkat awal, justeru, tunjukkanlah teladan yang baik.
  • Didiklah anak-anak anda bahawa meminta bantuan bukan satu kelemahan tetapi peluang untuk belajar, berhubung dan memperbaiki diri.
  • Hadapi cabaran, ambil risiko, dan anggaplah konflik sebagai potensi untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat. Ibu bapa harus menggunakan kegagalan atau kekalahan sebagai peluang untuk membimbing anak-anak menhadapi kekecewaan, mempelajari daripadanya dan akhirnya mencari jalan mengatasinya.
  • Tidak salah untuk berperasaan negatif sekali-sekala kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan. Selain daripada menghalangnya, bantulah anak anda mengatasi perasaan negatif ini dan ajarlah mereka kemahiran-kemahiran untuk mengendalikannya.

Kesejahteraan Sosial

Kesejahteraan Sosial merangkumi pergaulan harian. Ia melibatkan penggunaan komunikasi berkesan dan memupuk kemahiran interpersonal, menjalinkan hubungan yang baik, menghormati diri sendiri dan juga orang lain, serta mewujudkan sistem sokongan yang melibatkan ahli keluarga dan kawan-kawan.

Tip-tip kesejahteraan:

  • Membentuk hubungan dengan orang lain berdasarkan asas komitmen yang sama, kepercayaan serta perasaan saling hormat-menghormati, dengan cara mendepankan tingkah laku yang baik seperti keikhlasan, berinisiatif dan keprihatinan.
  • Mengambil bahagian dengan cara yang positif dan luangkan masa berkualiti bersama keluarga dengan melibatkan mereka dalam peluang-peluang kesukarelawanan dalam kebajikan komuniti anda.
  • Membuat kawan-kawan baru dan bergaul. Tempat baik untuk melakukan ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga ialah dengan melibatkan diri dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), kelab, atau badan sukarela/ kebajikan.
  • Memperbaiki atau mengekalkan kesejahteraan sosial juga memberi manfaat kepada kesejahteraan mental, intelek dan pekerjaan kerana apabila anda berjumpa dengan orang-orang baru anda juga mengalami dan mempelajari perkara-perkara baharu.
  • Anda juga mempunyai lebih berpotensi untuk meningkatkan peluang-peluang dalam kehidupan anda (iaitu dalam perniagaan, kerja, pelajaran) dan juga bagi ahli keluarga lain.

Kesejahteraan di tempat kerja

Kesejahteraan di tempat kerja ialah keupayaan untuk mencapai imbangan dinamik antara kerjaya dan masa lapang, memenuhi kehendak tempat kerja dan membina hubungan dengan rakan sekerja. Ianya adalah penyesuaian diri di tempat kerja dan dalam komuniti serta bagaimana anda boleh menyumbang dengan sebaik-baiknya.

Tip-tip kesejahteraan:

  • Apabila setiap ahli keluarga melakukan apa yang diminati atau berpuas hati dengan apa yang sedang dilakukan dalam kehidupan, ia membantu memberi makna dan tujuan dalam kehidupan mereka.
  • Carilah kerja yang anda gemar lakukan dan jangan lupa untuk menyokong kerjaya pasangan anda serta minat anak-anak. Galakkan anak-anak mencuba hobi baru, sukan, dll. agar mereka mendapat seberapa banyak pengalaman yang boleh.
  • Jika anda tertekan dengan pekerjaan anda sekarang, pastikan anda mengambil masa untuk diri sendiri dan bertenang sebentar.
  • Berusahalah dalam membina kemahiran baru untuk berjaya di tempat kerja.
  • Kekalkan imbangan yang sihat di antara kerja dan bersantai – ia mungkin memerlukan sedikit penyesuaian tetapi akan menjadikan anda lebih efektif.
  • Melakukan perkara yang anda minati adalah bagus, namun hubungan baik dengan majikan serta rakan sekerja juga merupakan kunci mewujudkan persekitaran kerja yang selesa, tenang dan kondusif.

Kesejahteraan Intelektual

Kesejahteraan Intelektual digambarkan sebagai penglibatan diri dalam aktiviti-aktiviti kreatif dan merangsangkan akal untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran, serta berkongsi dengan orang lain. Seseorang yang mempunyai intelek yang baik gemarkan aktiviti-aktiviti yang merangsangkan minda dan mereka juga gemar melibatkan diri dalam penjelajahan idea untuk pengalaman baru.

Tip-tip kesejahteraan:

  • Banyak bertanyakan soalan kritis seperti; siapakah yang mendapat manfaat? Apakah buktinya? Lepas itu apa pula?
  • Latihkan diri untuk melihat idea dan isu-isu baru dari sudut yang berbeza, atau sekurang-kurangnya dari sudut yang bertentangan.
  • Letakkan diri anda dalam situasi orang lain dan lihatlah dunia dari perspektif yang berbeza – ini boleh membantu anda mendapat skop yang lebih luas dalam memahami isu-isu dunia.
  • Berbincanglah dengan orang lain: pasangan anda, rakan-rakan, dan juga anak-anak anda tentang idea-idea anda dan dari masa ke semasa, cabar diri anda untuk membuktikan anda juga boleh melakukan kesilapan.
  • Ambil masa untuk mengimbas semula idea-idea yang anda bincangkan bersama orang lain.

Kesejahteraan Kerohanian

Kesejahteraan Kerohanian merupakan perkara peribadi dan melibatkan nilai serta kepercayaan yang memberi matlamat dalam hidup. Kesejahteraan kerohanian boleh dicapai dengan cara bertafakur, berdoa, membuat pengakuan terhadap dosa yang dilakukan, atau amalan kerohanian khusus yang menyokong hubungan anda dengan kuasa yang lebih tinggi atau sistem kepercayaan. Pegangan agama, nilai, kepercayaan, dan perlakuan moral menentukan kerohanian anda.

Tip-tip kesejahteraan:

  • Luangkan lebih banyak masa untuk menjalankan aktiviti keagamaan atau aktiviti kerohanian secara tetap – bersendirian serta bersama keluarga dan kawan-kawan.
  • Imbas semula perasaan dalam hati anda apabila anda sedang mengamalkan aktiviti agama atau kerohanian dan fikirkan bagaimana ia memberi ketenangan kepada anda.
  • Libatkan keluarga dan kawan-kawan anda dalam perbincangan tentang bagaimana amalan agama atau kerohanian membantu anda dan mereka.
  • Luangkan sedikit masa setiap hari bertafakur.
  • Lakukan kerja-kerja sukarela dalam komuniti. Semangat setiakawan, bermurah hati, menghargai kecekapan dan bersyukur boleh diperoleh daripada kerja-kerja sukarela.

Kesejahteraan merupakan satu pilihan sedar, satu kemahiran yang perlu dipelajari, dan satu perjalanan yang membantu anda berkembang dan menjadi seorang yang lebih baik. Seseorang berhak berasa bahagia dalam kehidupan secara keseluruhannya. Apabila kesejahteraan keluarga tercapai, begitu juga keupayaan setiap individu dalam keluarga untuk menjadi produktif: di rumah, kerja, hubungan, dll. Dua faktor paling penting yang perlu ada dan memberi kesejahteraan dalaman ialah menjadi ahli yang menyumbang kepada keluarga dan masyarakat, serta rasa kekitaan dalam sebuah keluarga, kumpulan ataupun masyarakat.

Selain itu, kesejahteraan dalaman apabila digabungkan dengan kesejahteraan fizikal membolehkan persekitaran anda lebih positif dan mampu mendorong anda menjadi ahli masyarakat yang produktif dan memperbaiki kehidupan anda dan kehidupan orang lain.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen