Pengasuhan Positif

Mengguna Label Makanan untuk Membuat Pilihan Makanan yang Lebih Baik

Pernahkah anda terfikir apakah kegunaan semua tanda dan label pada produk makanan berbungkus? Atau anda adalah salah seorang daripada mereka yang tidak pernah mengambil peduli, kecuali tentang jenama dan harga. Namun, apabila membeli produk makanan, membaca dan memahami label boleh membantu anda membuat keputusan tentang pemakanan dengan lebih baik.

Menurut undang-undang, pengilang dikehendaki melabel barangan mereka dengan maklumat khusus seperti nama produk, senarai ramuan, aditif makanan, tarikh luput, berat/isipadu, dan maklumat pengilang. Pastikan anda memperhatikan maklumat tersebut terutama apabila anda membeli produk baharu kerana ia memberi maklumat yang berguna. Ia dapat membantu anda membuat keputusan sama ada produk tersebut adalah pilihan yang terbaik bagi anda.

label-susu

Selain daripada maklumat asas yang disebutkan, pengilang juga wajib meletakkan Panel Maklumat Pemakanan (PMP) pada label. Mereka juga boleh memasukkan maklumat lain yang berkaitan.

PANEL MAKLUMAT PEMAKANAN

Nutrien yang perlu tertera pada panel tersebut ialah tenaga, protein, karbohidrat dan lemak. Tiga nutrien yang terakhir tersebut adalah makronutrien utama yang diperlukan oleh tubuh kita untuk membekalkan tenaga dan menjalankan fungsi tubuh yang penting.

Label pemakanan juga diperlukan untuk menyatakan saiz hidangan (dalam gram bagi pepejal dan ml bagi cecair) & bilangan sajian setiap pek.

Vitamin dan mineral – yang juga penting untuk diet kita – boleh juga diisytiharkan dalam PMP, dengan syarat kandungannya adalah signifikan. Nutrien lain yang anda boleh dapati dalam PMP termasuklah kolesterol dan natrium. Bagi produk minuman, kandungan gula juga perlu diisytiharkan.

Tujuan utama PMP ialah untuk menerangkan kualiti pemakanan sesuatu makanan. Ini membantu anda, sebagai pengguna, membuat pilihan makanan dengan lebih baik apabila merancang hidangan harian anda. PMP merupakan satu alat yang sangat berguna untuk membantu pengguna membandingkan dua jenama makanan yang berlainan.

IKON TENAGA

Ikon ini memberi anda maklumat pantas tentang sukatan kalori yang terkandung dalam sesuautu produk serta peratus sumbangan kepada keperluan harian. Ia membantu pengguna memilih secara bijak dan merancang pengambilan tenaga harian mereka mengikut keperluan. Ia dikira berdasarkan purata keperluan tenaga harian orang dewasa (2000 kcal).

AKUAN PEMAKANAN

Anda mungkin perhatikan beberapa label makanan yang mempunyai akuan seperti “tinggi dalam…” atau “sumber…” beberapa vitamin atau mineral. Atau akuan lain seperti “bebas …” atau “rendah dalam…” beberapa nutrien seperti gula, atau lemak atau kolesterol. Ia dipanggil akuan kandungan nutrien dan dibenarkan bawah undang-undang makanan.

Akuan pemakanan lain yang dibenarkan ialah akuan fungsi nutrien seperti: “kalsium adalah penting untuk membina tulang dan gigi yang kuat”, atau akuan seperti: “beta glukan membantu mengurangkan kolesterol darah”. Dalam kedua-dua keadaan, adalah menjadi tanggungjawab pengilang untuk memastikan bahawa makanan tersebut memenuhi beberapa syarat atau kriteria sebelum boleh membuat sebarang akuan.

Berhati-hati jika sesuatu produk mengaku bahawa ia boleh mengubati, merawat atau mencegah anda daripada sesuatu penyakit. Undang-undang tidak membenarkan akuan sedemikian kerana tiada makanan yang boleh mengubati, merawat atau mencegah apa-apa penyakit.

Akuan pemakanan memberi anda maklumat lanjut tentang sesuatu nutrien atau makanan. Ia juga boleh membimbing anda dalam membuat pilihan makanan. Namun, anda tidak seharusnya bergantung kepada akuan sahaja dalam membuat pilihan, pertimbangkan juga maklumat lain, terutamanya nutrien yang diisytiharkan dalam PMP.

Hendak Pilih Yang Mana Satu?

Anda berada di kedai runcit dan perlu memilih di antara membeli susu berperisa jenama A atau B. Jangan bimbang, guna maklumat pemakanan dalam PMP untuk membantu anda membuat pilihan.

susu-a-atau-susu-b

Tip-tip untuk membantu anda membandingkan produk sama yang berlainan jenama dan membuat pilihan sewajarnya :

  • Buat perbandingan berdasarkan nutrien bagi setiap 100 ml (atau 100 g) produk.
  • Pertimbangkan paras beberapa nutrien dan bukan hanya satu nutrien sahaja.
  • Pilih produk yang kurang kandungan tenaga, gula, garam (natrium) dan lemak.
  • Sentiasa pilih produk yang tinggi kandungan protein, vitamin, mineral dan serat diet.

Akhir sekali, lain kali ketika pergi membeli-belah jangan lupa untuk bawa anak anda bersama-sama. Ia peluang terbaik untuk mengajar bagaimana untuk membaca label makanan dan menarik minat mereka serta melibatkan mereka dalam memilih makanan yang lebih sihat.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen