Pengasuhan Positif

Khatan Semasa Bayi

Akhirnya bayi lelaki anda selamat dilahirkan! Dia sihat, anda gembira dan sebelum anda meninggalkan hospital, ada satu lagi perkara anda harus putuskan; samada untuk mengkhatankan bayi anda atau tidak.

Bagi sesetengah keluarga, pilihannya mudah kerana keputusan dibuat berdasarkan kepercayaan budaya atau agama. Namun, bagi ibu bapa lain, keputusan itu mungkin tidak begitu mudah. Ibu bapa tidak perlu tergesa-gesa, ambil sedikit masa untuk mengetahui tentang mengkhatankan anak semasa bayi sebelum membuat keputusan.

Apa Itu Berkhatan?

Kanak-kanak lelaki mempunyai sekeping kulit yang menutupi kepala zakar yang dipanggil kulup. Berkhatan merupakan pembuangan kulup melalui pembedahan untuk mendedahkan hujung zakar.

Mengapa Bayi Anda Perlu Dikhatankan?

Terdapat tiga indikasi perubatan di mana berkhatan mungkin perlu dilakukan:

Phimosis: pembukaan kulup adalah sangat sempit, menyebabkan kepala zakar seolah-olah kembang macam belon semasa membuang air kecil.

Hidronefrosis: Terdapat sekatan atau halangan pada saluran kencing di mana air kencing mengalir balik ke dalam buah pinggang menyebabkan buah pinggang bengkak. Hidronefrosis dapat dikenalpasti sebelum kelahiran dan berkhatan dapat mencegah jangkitan tersebut dari terjadi

Kerap mendapat jangkitan kencing: Jangkitan air kencing dalam kalangan bayi terjadi apabila bakteria memasuki saluran kencing – daripada kulit yang mengelilingi kemaluan atau rektum atau melalui aliran darah. Ini boleh menyebabkan jangkitan dan/atau keradangan.

Apakah Kebaikan Berkhatan Semasa Bayi?

  • Mengurangkan masalah seperti iritasi, keradangan, dan jangkitan pada zakar.
  • Kurang kemungkinan mendapat kanser zakar di masa akan datang.
  • Dengan penggunaan bius, anak anda kurang berasa sakit semasa pembedahan dilakukan.
  • Mencegah jangkitan pada masa akan datang.
  • Penjagaan zakar bayi anda selepas berkhatan adalah lebih mudah jika dibanding khatan lebih lewat.

Apakah Risiko Dan Komplikasinya?

Terdapat risiko rendah jangkitan melibatkan pembukaan saluran kencing. Semasa pemulihan, kawasan yang telah dibedah tadi lebih terdedah kepada air kencing dan najis di dalam lampin tetapi lampin yang kerap ditukar dan penjagaan kebersihan diri yang baik selalunya dapat mencegah berlakunya jangkitan.

Bilakah Masa Terbaik Untuk Mengkhatan Bayi Baru Lahir Anda?

Bagi bayi, khatan dilakukan beberapa hari pertama selepas kelahiran (peringkat umur neonatal). Pemulihan mungkin mengambil masa lebih lama jika khatan dilakukan terhadap kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa. Risiko komplikasi juga mungkin meningkat.

Bagaimanakah Prosedur Dilakukan?

Sesetengah ibu bapa memilih untuk tidak mengkhatankan bayi lelaki mereka kerana bimbang tentang kesakitan yang akan bayi alami. Usah bimbang, terdapat dua jenis anestetik utama yang digunakan dan kedua-duanya selamat untuk bayi:

  1. Krim topikal (sejenis krim yang disapu pada zakar) atau,
  2. Sejenis bius.

Berikut adalah beberapa kaedah pembedahan yang digunakan untuk khatan:

bagaimana-khatan-dilakukan

Bagaimana Saya Harus Menjaga Zakar Bayi Saya Yang Dikhatan?

Selepas berkhatan, hujung zakar akan kelihatan mentah dan kekuning-kuningan, ini adalah normal. Basuh zakar bayi anda dengan sabun yang lembut setiap hari. Tukar lampinnya dengan lebih kerap agar air kencing dan najis tidak menyebabkan jangkitan. Sapu krim antibiotik untuk mengelakkan jangkitan bakteria.

Anda juga boleh menutup zakarnya menggunakan kapas (gauz) yang harus ditukar setiap kali anda menukar lampinnya. Salut kapas dengan jeli petroleum agar ia tidak melekat. Selalunya, kulit akan pulih dalam masa 7-10 hari selepas pembedahan.

Hubungi doktor anda serta merta sekiranya terdapat:

  • Perdarahan yang berterusan pada lampinnya
  • Bengkak yang tidak sembuh
  • Demam
  • Tidak buang air kecil dalam tempoh 12 jam selepas berkhatan

Akhir sekali, ibu bapa harus memilih sama ada berkhatan adalah baik untuk bayi lelaki mereka dengan mempertimbangkan semua isu dan memahami risiko serta manfaat yang terlibat.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen