Pengasuhan Positif

Jangan Menangis Manjaku

Bayi belum lagi boleh bertutur, oleh itu mereka berkomunikasi menggunakan satu-satunya cara yang mereka tahu – dengan mengagah, senyum, ketawa, dan menangis. Menangis ialah cara bayi berkomunikasi dengan anda tentang perasan lapar, sakit, letih, takut dan kecewa. Ia juga merupakan cara bayi anda menutup pandangan, bunyi, dan sebarang sensasi yang terlalu kuat baginya. Kajian telah membuktikan bahawa, sebagai ibu bapa, anda boleh mempengaruhi jangka masa bayi anda menangis dengan memberi tindak balas kepadanya.

Penting untuk menyedari bahawa setiap bayi adalah unik. Bayi anda mungkin seorang individu yang tenang dan berkelakuan baik atau mungkin ada masa-masanya dia meragam tanpa sebab yang jelas. Tidak kira berapa kerap dia menangis, adalah penting untuk anda memberi perhatian kepada tangisannya. Anda akan nampak perbezaan di antara jenis-jenis tangisan yang akan memberitahu anda sama ada bayi anda perlu didakap, diurus, atau lebih baik dibiarkan bersendirian.

Haruskah Anda Biarkan Bayi Bersendirian Apabila dia Menangis?

Jawapan ringkasnya ialah ‘Tidak’. Walaupun benar bahawa bayi yang dibiarkan menangis akhirnya akan berhenti menangis, namun ini akan memberi kesan kepada emosi/psikologi. Kajian juga menunjukkan bahawa bayi berhenti menangis kerana dia hilang harapan untuk mendapat perhatian daripada pengasuhnya bukan kerana kesedihannya telah hilang.

Sebaliknya, bayi yang menangis yang diberi perhatian segera kurang kerap menangis dan meragam. Ini menyebabkan jangka masa bayi menangis lebih pendek berbanding bayi yang sengaja tidak diendahkan.

Memahami Kehendaknya Melalui Tangisan

Adakalanya, punca bayi menangis ketara dengan segera, contohnya, kebanyakan bayi akan menangis jika orang asing atau orang yang tidak dikenali cuba mengambilnya daripada pengasuh utama mereka. Namun, terdapat banyak sebab mengapa bayi menangis. Kuncinya adalah untuk memahami mengapa bayi menangis dengan membiasakan diri anda mendengar tangisannya. Dengan cara ini, anda akan pelajari bagaimana untuk mengenal pasti keperluan khusus bayi dengan hanya mendengar cara dia menangis. Sebagai panduan am:

  • Lapar – sering kali pendek, bernada rendah, dan meninggi dan menurun
  • Marah – lebih cenderung berbunyi lebih gelisah
  • Kesakitan – berlaku secara tiba-tiba diikuti jeritan yang kuat, berpanjangan, dan bernada tinggi diikuti dengan berdiam yang lama dan raungan bernada rata.
  • Jangan ganggu saya! – tangisan jenis ini sama seperti tangisan lapar dan lazimnya ia adalah cara bayi meluahkan kemarahan.

Anda tidak akan mengambil masa yang lama untuk mendapat gambaran tentang maksud tangisan bayi anda. Jika anda melayannya dengan segera, bayi akan berasa lebih gembira dan sudah tentu berhenti menangis. Sebaliknya, keadaan akan menjadi lebih buruk jika anda gagal untuk memberi tindak balas terhadap tangisannya.

Namun, ada kemungkinan terdapat beberapa jenis tangisan yang bertindih. Sebagai contoh, bayi yang baharu lahir mungkin terjaga dan berasa lapar dan mula menangis untuk mendapatkan makanan. Jika anda lambat memberi tindak balas, tangisannya akan berubah menjadi tangisan marah dan kecewa!

Pada beberapa bulan pertama selepas dilahirkan, cara terbaik untuk mengendalikan tangisan bayi anda adalah dengan memberi tindak balas secepat yang boleh terhadap apa jua tangisannya. Jangan bimbang, memberinya perhatian dan penjagaan pada peringkat ini tidak akan memanjakannya. Malah, tindakan segera terhadap tangisannya membantu memastikan dia kurang menangis pada keseluruhannya.

Tip-tip Mengendalikan Tangisan

Adalah penting untuk menyusun keutamaan apabila memberi tindak balas kepada tangisan bayi anda. Kendalikan keperluan yang paling terdesak dahulu – jika bayi anda sejuk, lapar dan lampinnya basah, maka anda harus selimutkannya, tukar lampin dan kemudian susukannya. Jika tangisannya berupa jeritan atau terdapat nada panik dalam tangisannya, kemungkinan besar terdapat sesuatu yang membuatkan dia rasa kurang selesa, contohnya jahitan baju yang mencucuk kulitnya yang sensitif atau terdapat sehelai rambut yang mengganggu matanya

Sekiranya anda telah memeriksa dan memastikan bayi anda cukup selesa, lampinnya kering, dan dia baharu disusukan tetapi dia masih menangis, berikut adalah beberapa teknik yang anda boleh cuba:

  • Membuainya dalam dakapan anda: Anda boleh melakukannya sambil duduk, berdiri, atau berjalan-jalan. Pastikan anda menggunakan pergerakan lembut apabila membuainya, dan cuba ketiga-tiga posisi tersebut tadi untuk mengetahui yang mana satu paling berkesan keatas bayi anda.
  • Mengusapnya perlahan-lahan: Cuba dukungnya dengan selamat dalam dakapan anda sambil mengusap kepala atau menepuk belakangnya perlahan-lahan. Selain itu, anda juga boleh mengusap kepala dan/atau dadanya sambil dia berbaring di atas katil.
  • Bedung: Balutnya dengan selesa (tetapi tidak terlalu ketat) menggunakan kain selimut yang selesa.
  • Menyanyi atau bercakap-cakap: Gunakan suara yang tenang, mesra, dan penuh kasih sayang sambil anda bercakap atau menyanyi kepadanya. Jika anda tidak boleh melakukannya, biar orang lain mengambil alih sementara anda mengambil sedikit masa untuk bertenang.
  • Biarkan dia menyusu: Biarkan bayi menyusu pada payudara anda – ini boleh membantu menenangkannya. Jangan lupa juga untuk menyendawakannya selepas setiap penyusuan.
  • Dukung rapat-rapat: Gunakan alat gendung bayi agar dia boleh didukung rapat dengan anda. Pastikan anda bergerak perlahan-lahan ketika mendukungnya.
  • Keluar berjalan-jalan: Letak bayi ke dalam kereta sorong dan berjalan-jalan di dalam atau di luar rumah, jika cuaca sesuai. Atau, anda boleh membuainya ke depan dan ke belakang. Selain itu, anda boleh membawa dia keluar menaiki kereta (pastikan tempat duduk kereta bayi digunakan) – gegaran lembut kereta sorong/kereta sering kali menenang dan membantu mendodoinya sehingga tertidur.
  • Mainkan muzik/bunyi yang menenangkan: Cuba memainkan bunyi/muzik yang menenang. Pastikan bunyinya tidak terlalu kuat kerana akan mengganggu bayi pula. Anda mungkin ingin menggabungkan muzik/bunyi dengan mainan gantung di atas katil bayi untuk mengalih perhatiannya.
  • Cuba urutan bayi: Mungkin dia memerlukan urutan lembut dan menenangkan untuk berehat. Jika anda tidak pasti bagaimana hendak meneruskannya atau jika anda mengesyaki tangisannya disebabkan kolik, dapatkan nasihat pakar kanak-kanak.

mother-with-baby-pram

Bertenang dan Tarik Nafas

Lebih mudah bagi anda untuk menenangkan bayi yang menangis jika anda boleh kekalkan sikap tenang. Walaupun jeritan bayi anda amat merunsingkan, membiarkan ia membuat anda kecewa dan marah atau panik akan menyebabkan episod tangisan menjadi lebih kuat. Bayi boleh merasai kebimbangan dan kemarahan kita. Ingatlah bahawa tangisan bayi anda tidak mencerminkan pengasuhan yang tidak baik, oleh itu anda tidak harus rasa bersalah.

Jika, pada bila-bila masa, anda berasa seolah-olah anda tidak dapat mengendalikan keadaan, minta bantuan pasangan anda atau ahli keluarga. Ini membolehkan anda bertenang dan mengawal perasaan. Paling penting, jangan sekali-kali menggoncang bayi anda, walaupun dia membuat anda marah atau hilang sabar.

Belajar untuk mengambil pendekatan realistik dan dapatkan bantuan bila perlu. Menjaga kesihatan anda sendiri dengan mendapat cukup rehat juga adalah penting. Akhir sekali, nikmati masa terluang bersama bayi anda sebaik-baiknya kerana ianya akan berlalu dengan pantas.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen