Pengasuhan Positif

Belajar & Cegah Kanak-Kanak Daripada Terbantut

Kebantutan kanak-kanak merujuk kepada kegagalan untuk mencapai potensi pertumbuhan normal yang dijangka akibat taraf kesihatan dan/atau pemakanan yang kurang baik. Kebantutan boleh menyebabkan kesan jangka panjang dan pendek yang serius kepada kanak-kanak.

Ukuran ketinggian-mengikut-umur yang rendah adalah peramal bagi kematian dalam lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak. Kekurangan nutrien yang mencukupi dalam 1000 hari pertama (sejak dari konsepsi) juga diketahui memberi kesan jangka panjang seperti prestasi rendah di sekolah, jisim badan tanpa lemak yang rendah, kekurangan fungsi intelektual, kurang peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih rendah.

Bukti terkini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita terbantut mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mati lebih awal berbanding kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita yang berketinggian normal.

penyebab-kesan-jangka-panjang-kebantutan

Terdapat 3 faktor utama yang boleh menyebabkan seorang kanak-kanak terbantut:

1. Kurang Pengambilan Nutrien

Kanak-kanak mungkin tidak mendapat nutrien secukupnya disebabkan amalan pemberian makanan yang kurang baik yang membataskan bekalan tenaga untuk tumbesarannya. Kemiskinan merupakan penyebab utama bagi kebantutan dalam kalangan kanak-kanak dan boleh kekal dalam sesebuah keluarga selama beberapa generasi. Namun, kebantutan kanak-kanak bukan hanya terhad kepada mereka yang miskin kerana statistik menunjukkan semakin ramai keluarga berpendapatan sederhana juga turut terjejas.

Selain itu, kekurangan nutrien juga melemahkan sistem imun kanak-kanak dan boleh menyebabkan jangkitan berulang (contohnya, pneumonia, hepatits, influenza) dan mendedahkan mereka kepada risiko lemah daya kognitif, kebantutan dan kesan-kesan buruk lain (seperti di dalam gambar rajah 1).

Masalah kronik lain yang menjejaskan jantung, paru-paru atau hati secara langsung boleh mempengaruhi keupayaan seorang kanak-kanak untuk makan secara normal. Contohnya, seorang kanak-kanak yang mempunyai penyakit jantung mungkin bernafas dengan lebih laju. Dalam keadaan katabolisme ini, mereka akan menggunakan lebih banyak kalori berbanding pernafasan biasa. Oleh yang demikian, mereka perlu mengambil lebih banyak kalori untuk memenuhi keperluan tubuh dan memastikan pertumbuhan yang optimum.

Kanak-kanak yang cerewet makan juga membataskan pengambilan nutrien-nutrien penting kerana mereka hanya mengambil sesuatu jenis makanan yang membekalkan jenis dan sukatan nutrien yang terhad. Tubuh memerlukan pelbagai jenis nutrien daripada beraneka jenis makanan agar dapat berfungsi dengan sempurna dan membesar dengan optimum.

2. Peningkatan Kehilangan Nutrien/Kegagalan untuk Menyerap Nutrien

Seseorang kanak-kanak juga berisiko menjadi bantut sekiranya tubuh mereka mengalami kehilangan nutrien akibat ketidakhadaman, pertumbuhan bakteria secara berlebihan atau nutrien tidak diserap. Penyakit-penyakit seperti skleroderma dan penyakit Celiac melengahkan pergerakan usus dan menyebabkan peningkatan konsentrasi bakteria manakala penyakit refluks gastro usus kanak-kanak atau paediatric gastro-oesophageal reflux disease (GERD) boleh menyebabkan muntah-muntah yang kerap dan ketidakhadaman dalam kalangan kanak-kanak.

Cirit birit akut atau kronik – disebabkan jangkitan bakteria atau virus atau keradangan usus (contohnya, kolitis ulseratif dan penyakit Crohn) – juga boleh menyebabkan kehilangan nutrien yang ketara, pengurangan berat badan, peningkatan berat badan dan pertumbuhan tidak baik serta kesakitan abdomen.

Walaupun jarang berlaku, sesuatu boleh terjadi dalam kalangan kanak-kanak di mana usus kecil mereka menjadi pendek. Ini menyebabkan penyerapan nutrien daripada makanan yang melalui usus tidak diserap dengan sempurna/mencukupi. Penyakit ini dikenali sebagai sindrom usus pendek (short bowel syndrome) dan merupakan penyakit yang rumit serta mengakibatkan kesan pemakanan, metabolik, serta jangkitan.

3. Tidak Dapat Menggunakan Nutrien

Dalam beberapa keadaan yang jarang berlaku, seorang kanak-kanak mungkin mengalami kekurangan hormon yang membuat tubuh mereka tidak dapat menggunakan nutrien-nutrien yang dimakan dengan berkesan. Sebagai contoh, kanak-kanak yang menghidapi hipotiroidisme kekurangan hormon tiroid yang diperlukan untuk mengekalkan fungsi metabolisma yang normal.

Kanak-kanak dan remaja yang menghidapi hipotiroidisme juga mungkin mengalami:

  • Pertumbuhan kurang baik, menyebabkan ketinggian yang rendah atau pendek
  • Kelewatan perkembangan gigi kekal
  • Kelewatan baligh
  • Perkembangn mental yang kurang baik

Hipotiroidisme yang tidak dirawat dalam kalangan bayi boleh menyebabkan kerencatan fizikal dan mental.

MENCEGAH KANAK-KANAK DARIPADA TERBANTUT

Sebagai ibu bapa, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mencegah anak anda daripada mengalami kebantutan:

  • Jika anak anda mengalami masalah kesihatan, sindrom atau penyakit yang menghalang mereka daripada mendapat nutrien-nutrien yang diperlukan oleh tubuh mereka, adalah penting anda membawa mereka berjumpa doktor dengan segera.
  • Anda harus berazam untuk menyusukan bayi anda dengan susu ibu secara eksklusif bagi sekurang-kurangnya 6 bulan pertama diikuti dengan pemberian makanan pelengkap, dan apabila mereka membesar, beralih ke makanan pepejal. Piramid Makanan Malaysia bagi Kanak-Kanak merupakan panduan yang baik. Ikuti sajian harian yang disarankan bagi setiap kumpulan makanan dan jangan lupa untuk bersenam. Ambillah hidangan yang seimbang, dalam sukatan yang sederhana dengan pelbagai jenis makanan yang berbeza tekstur dan warna.
  • Tambah serat ke dalam diet anak anda setiap hari. Serat membantu memperbaiki kesihatan penghadaman dan menggalakkan imbangan flora usus.
  • Sekiranya bayi anda mengambil susu formula, jangan mencairkan susunya kerana bayi anda tidak akan mendapat nutrien-nutrien penting yang secukupnya untuk pertumbuhan.
  • Elak daripada memberi anak anda antibiotik kecuali atas arahan doktor. Antibiotik membunuh bakteria baik dan bakteria yang menyebabkan penyakit yang terdapat di dalam usus anak anda. Anak anda memerlukan bakteria baik bagi kesihatan usus dan kesihatan keseluruhannya.

Anda harus membawa anak anda berjumpa doktor dengan segera jika anda mensyaki sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan atau perkembangan anak anda. Tindakan susulan dan pengawasan yang sempurna oleh seorang doktor adalah penting dalam memastikan anak anda mendapat pemakanan sempurna yang merupakan komponen penting dalam pencegahan dan pengendalian penyakit kronik seperti kebantutan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen