Pengasuhan Positif

Adakah Anak Anda Mengalami Intolerans Makanan?

Ungkapan “Anda adalah apa yang anda makan” rupanya tidak benar dalam semua situasi. Sebagai contoh, terdapat banyak jenis makanan yang menyebabkan reaksi yang berbeza, terutamanya jika seseorang itu sensitif atau alah kepada makanan tertentu.

Semakin ramai rakyat Malaysia yang mengetahui tentang alahan setelah mengalaminya. Peningkatan bilangan jenis alahan dan mereka yang menderita akibatnya mungkin disebabkan oleh kesedaran yang lebih meluas atau mungkin ia hanya kerana ‘epidemik alahan’ yang sedang melanda dunia. Tidak kira apa puncanya, hampir 60 % daripada semua alahan cenderung timbul dalam tahun pertama kehidupan dengan anggaran satu bagi setiap tiga orang kanak-kanak menghidapi alahan.

Alahan Makanan vs Intolerans Makanan

Alahan makanan merupakan tindak balas sistem imun terhadap makanan tertentu, seperti makanan bercengkerang (contohnya ketam, udang, udang karang, dll), kacang tanah, putih telur, ikan, atau susu lembu. Tindak balas tersebut termasuk muntah-muntah dan/atau kejang perut, gatal-gatal, sesak nafas secara tiba-tiba, berdehit atau batuk berulang, kesukaran menelan, denyutan jantung lemah, dan/atau rasa pening atau mual. Dalam kes yang teruk, kejutan anfilaksis boleh berlaku, ianya suatu keadaan yang boleh membawa maut di mana tubuh mengalami kejutan dan beberapa simptom boleh berlaku secara serentak.

Sebaliknya, intolerans makanan ialah tindak balas sistem penghadaman, iaitu perkara yang berlaku apabila tubuh anak anda mengalami kesukaran menghadam makanan yang dimakan. Walaupun pada mulanya ia agak mengelirukan kerana kedua-duanya mempunyai simptom yang hampir sama – namun, oleh kerana intolerans makanan berkait rapat dengan sistem penghadaman anak anda, simptom-simptom yang dilihat juga lebih berkait dengannya. Contohnya mual, sakit perut atau ketidakselesaan, cirit-birit, muntah-muntah, atau kembung perut. Dia juga mungkin mengalami simptom lain seperti pedih ulu hati, sakit kepala, atau kerengsaan atau berasa resah.

alahan-makanan-intolerans-makanan

Sekiranya anda mensyaki anak anda menghidap sebarang alahan makanan atau ketidaktoleran makanan, pastikan anda berjumpa dengan seorang pakar kanak-kanak dahulu. Kemungkinan besar ia hanyalah satu fasa sementara, dan mengelakkan makanan yang anda syaki menyebabkan alahan/ intolerans makanan akan menafikan anak anda sebarang kebaikan pemakanan yang dia boleh peroleh daripada makanan tersebut.

Mengawasi Perkembangannya

Oleh kerana tidak terdapat ujian yang boleh mengesan secara konklusif samada anak anda intolerans kepada sesuatu, kaedah yang hanya boleh dipercayai ialah kaedah lama yang masih kekal sebagai cara terbaik iaitu pemerhatian dan kajian saintifik – ini dapat dilakukan dengan menyimpan dairi makanan. Perkara utama yang anda perlu awasi ialah:

  • Apakah makanan yang anda beri kepada anak anda,
  • Bila dan sukatan yang diberi,
  • Simptom-simptom, yang timbul, jika ada.

Contoh Diari Makanan

log-tindak-balas-makanan-bayi

Tahukah anda?

Masalah utama alahan ialah ia boleh timbul dalam beberapa bentuk, contohnya ekzema atopi atau dermatitis, alahan rhinitis, alahan asma merupakan beberapa contoh alahan. Malah, hampir semua bahan boleh menjadi alergen (bahan yang menyebabkan alahan) – beberapa alergen lazim termasuk habuk, debu bunga, kulapuk, bulu haiwan dan juga makanan tertentu.

Diari makanan merupakan cara terbaik untuk mengesan jika terdapat sesuatu makanan yang boleh menyebabkan anak anda sakit. Malah, jika anda mensyaki bahawa anda juga menghidap intolerans makanan, mungkin anda boleh cuba cara yang sama untuk mengesan apakah sebenarnya yang membuat anda sakit atau kembung perut!

Diari makanan ini harus digunakan sehingga makanan yang menyebabkan simptom-simptom tersebut dikenalpasti. Tapi ingat, diari makanan hanya berguna jika diisi dengan tepat, oleh itu, rekod perlu disimpan selama sekurang-kurangnya dua minggu untuk mengenal pasti sebarang corak atau simptom yang sama.

Ingat bahawa, untuk memastikan diet anak anda kekal berkhasiat, anda tidak perlu mengelakkan sebarang makanan atau kumpulan makanan bagi tempoh yang lama. Jika sesuatu makanan atau kumpulan makanan perlu dielakkan, dapatkan nasihat seorang pakar pemakanan untuk menentukan strategi terbaik bagi mengatasi masalah intolerans makanannya.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen