Pengasuhan Positif

Kanak-kanak dan Sindrom Usus Rengsa

Sindrom usus atau Irritable bowel syndrome – IBS itu sendiri bukan satu penyakit – ia merupakan satu kumpulan simptom yang lazimnya terjadi secara serentak. Harus diambil perhatian bahawa walaupun IBS menyebabkan anak anda kerap menunjukkan simptom, namun keadaan fizikal saluran gastroususnya tidak rosak.

Tahukah anda?

Punca IBS masih belum diketahui namun ia sering dikaitkan dengan sebab-sebab fizikal dan psikologikal (atau mental).

Beberapa simptom yang berkait dengan IBS termasuk:

simptom-berkait-ibs

Sekiranya anak anda mengalami salah satu atau gabungan beberapa simptom tersebut sekurang-kurangnya sekali seminggu selama dua bulan, maka kemungkinan besar dia menghidapi IBS. Berjumpalah dengan pakar kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat lebih jelas tentang bagaimana anda boleh mendapat kepastian dan apakah tindakan yang boleh diambil.

Sebab-sebab yang Berkemungkinan

Para penyelidik masih berusaha untuk memahami punca IBS. Antara yang telah dikenal pasti termasuk:

    • Hubungan otak-usus

Hubungan antara otak dan saraf sistem penghadaman mungkin menyebabkan simptom-simptom IBS, contohnya, cirit-birit atau sakit abdomen.

    • Masalah saluran gastrousus

Kanak-kanak yang menhidapi IBS mungkin mempunyai masalah dengan fungsi kolon yang normal. Jika otot mengecut terlalu perlahan, ia boleh menyebabkan sembelit dan jika otot mengecut terlalu cepat ia menyebabkan cirit birit. Sakit abdomen berlaku sekiranya terdapat sebarang pengecutan kuat secara tiba-tiba. Stres telah dikaitkan dengan peningkatan pengecutan yang menyebabkan cirit-birit.

    • Hipersensitiviti

Kanak-kanak yang menghidapi IBS cenderung menjadi lebih sensitif terhadap sakit abdomen berbanding kanak-kanak yang tidak menghidapi IBS.

    • Masalah kesihatan mental

IBS terbukti berkait dengan status kesihatan mental seorang kanak-kanak, dan kanak-kanak yang mempunyai masalah psikologi seperti kebimbangan dan kemurungan lebih cenderung mengalami IBS.

    • Jantina dan genetik

Kaitan antara IBS dan faktor genetik masih belum disahkan oleh kajian. Namun menurut statistik, IBS lebih lazim dalam kalangan keluarga yang mempunyai sejarah masalah gastrousus. Kanak-kanak lelaki dan perempuan mempunyai kebarangkalian sama untuk mengidap IBS, tetapi peratus pesakit wanita dewasa adalah lebih tinggi. Namun begitu, ia mungkin berpunca daripada faktor persekitaran atau kesan daripada lebih kesedaran mengenai simptom gastrousus.

Pencegahan dan rawatan bagi IBS

Oleh sebab stres sering menjadi faktor utama IBS, maka adalah baik sekiranya anda mengajar anak anda cara untuk mengendalikan stres. Satu cara mudah ialah dengan berbicara tentang apa-apa masalah yang dihadapinya. Dapatkan anak anda untuk mengimbas semula perkara-perkara seperti:

  • Adakah dia terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri di sekolah?
  • Adakah dia mendapat tidur yang cukup?
  • Adakah dia mempunyai masa yang mencukupi untuk aktiviti fizikal seperti berbasikal atau bermain futsal?
  • Adakah dia mengambil sarapan? Adakah dia makan terlalu cepat atau hanya menelan makanannya?
  • Adakah dia dibuli atau menghadapi masalah dengan pelajar-pelajar lain?

Rawatan lazimnya melibatkan perubahan kepada tabiat makan anak anda, iaitu menyesuaikan diet atau pengambilan nutriennya. Ini termasuk mengambil sajian yang lebih kecil kerana pengambilan sajian besar boleh menyebabkan kekejangan dan cirit-birit. Pengambilan diet yang rendah lemak dan tinggi karbohidrat, iaitu nasi, roti/bijirin penuh, buah dan sayur juga membantu.

Anda mungkin ingin menghad atau mengelakkan beberapa jenis makanan yang tinggi lemak, mengandungi kafein, atau sebarang makanan yang mengandungi banyak pemanis tiruan. Terdapat juga makanan yang menyumbang kepada gas berlebihan dalam perut, seperti kekacang dan kobis, cuba untuk elakkan makanan tersebut dan/atau menggantikannya dengan makanan lain.

Probiotik juga boleh dijadikan sebahagian daripada diet anak anda. Jika anda syaki anak anda mengidap masalah kesihatan mental, temui pakar psikiatri kanak-kanak untuk mendapatkan bantuan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen