Dari masa ke semasa, anak anda akan mengalami cirit birit dan anda harus mengawasinya. Cirit birit boleh berlarutan di antara tiga hingga enam hari dan dia mungkin akan membuang air besar yang cair walaupun selepas pulih setelah beberapa hari. Anda tidak perlu bimbang selagi anak anda kelihatan normal dan mengambil minuman dan makanan secukupnya. Walau bagaimanapun, cirit birit boleh mengancam nyawa bayi anda sekiranya ia diiringi demam atau najis berdarah.
Biarkan anak anda mengambil diet yang normal ketika mengalami cirit birit dan teruskan penyusuan susu ibu jika dia masih menyusu. Berbincanglah dengan pakar pediatrik jika bayi anda kelihatan kembung atau perutnya berangin selepas makan untuk menentukan sama ada dietnya perlu diubah. Teruskan mengawasi keadaan kesihatan anak anda dan jangan lupa untuk memberikannya ubat seperti diarahkan oleh doktor.
Mengesan dehidrasi
Tanda-tanda dehidrasi termasuk kurang membuang air kecil (contohnya, lampin kering selama lapan jam atau lebih atau tidak membuang air kecil selama 12 jam atau lebih), menangis tanpa mengeluarkan air mata, demam panas, mulut kering, kehilangan berat badan, sangat dahaga, lesu, terlalu lemah untuk berjalan, dan matanya cengkung.
Mengenalpasti tahap keterukan cirit birit
Bagaimana untuk mengetahui sama ada anak anda menghidapi cirit birit ringan, sederhana atau teruk? Jika mengalami cirit birit ringan, dia akan membuang air besar yang cair beberapa kali sehari. Jika dia mengalami cirit birit sederhana, dia akan membuang air besar yang cair lebih kerap (kurang daripada 10 kali) sehari. Jika dia mengalami cirit birit teruk, dia akan membuang air besar yang cair lebih daripada 10 kali sehari dan harus dibawa berjumpa pakar pediatrik dengan serta merta.
Lakukan
- Beri anak anda banyak cecair. Air dan/atau sup sayur atau ayam (tanpa lemak) adalah yang terbaik.
- Beri dia makan secara normal atau dalam sukatan yang sedikit tetapi lebih kerap.
- Awasi jika terdapat tanda-tanda dehidrasi.
- Beri dia ubat cirit-birit yang telah diberikan pakar pediatrik anda.
- Jaga kebersihan – sentiasa basuh tangan anda selepas menukar lampin anak dan selepas dia ke tandas. Keadaan anak anda boleh berlarutan dan menjadi teruk jika anda gagal menjaga kebersihan.
Hindarkan
- Jangan membuat cecair rehidrasi oral (ORS) sendiri kecuali diarahkan oleh pakar pediatrik anda.
- Jangan gantikan ORS dengan jus buah atau air bergula seperti minuman berkarbonat apabila merawat cirit birit – kandungan dan kepekatan eletrolitnya kurang daripada yang disarankan.
- Jangan larang anak anda makan jika dia lapar.
- Jangan beri dia makanan berminyak, berlemak atau berempah/pedas.
Komen