Pengasuhan Positif

Cara Mendukung Bayi Baru Lahir Anda

Mengeratkan kasih sayang di antara anda dan bayi anda yang baru lahir merupakan aspek penjagaannya yang paling penting dan juga yang paling memuaskan. Hubungan fizikal yang rapat, terutama melalui sentuhan kulit ke kulit menggalakkan hubungan emosi yang lebih baik dengan bayi anda. Hubungan ini membantu membentuk ikatan yang kuat dengan bayi dan ini membantu perkembangan emosinya.

Namun begitu, mendukung seorang bayi baru lahir agak menakutkan, terutamanya jika anda tiada pengalaman. Anda perlu mempelajari beberapa perkara asas tentang bagaimana untuk mendukung bayi supaya anda lebih yakin mengendalinya nanti.

Fakta asas yang perlu diberi perhatian

Sebelum anda menyentuh bayi baru lahir anda, pastikan semua barang yang bersentuhan dengannya adalah bersih. Ini termasuk baju anda dan lebih-lebih lagi tangan anda (contohnya, basuh tangan menggunakan sabun atau gunakan cecair pembasmi kuman sebelum memegangnya). Pastikan semua orang yang mengendalikan bayi juga bersih, ini kerana bayi mudah jatuh sakit akibat sistem imunnya yang masih lemah.

Sentiasa pastikan anda menyokong kepala dan leher bayi baru lahir setiap kali mengangkat atau memegang/mendukungnya, berhati-hati agar tidak menggoncangnya. Menggoncang, tidak kira sama ada dilakukan kerana kecewa atau dengan cara bermain-main, boleh menyebabkan pendarahan dalam otak dan membawa maut. Langkah berjaga-jaga yang sama juga perlu diambil apabila bermain secara kasar seperti menggoncangnya di atas lutut anda atau mencampak bayi ke udara dan menyambutnya.

bagaimana-mengangkat-bayi-baru-lahir
fakta-asas-mendukung-bayi

Menggendong bayi baru lahir (baby wearing)

Terdapat dua cara popular yang membolehkan anda menggendong bayi apabila keluar berjalan. Satu, menggunakan
baby carrier dan satu lagi menggunakan lelilit atau wrap, iaitu pada dasarnya ialah sehelai kain panjang.

Menggunakan baby carrier

using-baby-carrier

  1. Kancingkan semua tali yang terdapat pada baby carrier anda. Betulkan gancu dan tali tetapi pastikan terdapat sedikit ruang untuk bayi baru lahir anda.
  2. Guna kedua-dua belah tangan untuk memasukkan bayi dengan cermat ke dalam baby carrier. Jika perlu, minta orang lain bantu memasukkan bayi. Adalah disarankan agar bayi menghadap anda.
  3. Betulkan semua tali buat kali terakhir. Pastikan baby carrier menyokong bahagian belakang bayi dan leher dengan sempurna. Kepalanya perlu terletak dengan selesa pada dada anda dan menghadap ke kiri atau kanan.

Perhatian!

Pastikan baby carrier anda sesuai untuk bayi baru lahir.

Menggunakan lelilit (wrap)

using-a-wrap

  1. Ikat lelilit bayi sekeliling tubuh anda seperti yang ditunjukkan dalam manual.
  2. Masukkan bayi baru lahir ke dalam lelilit dengan cermat, berhati-hati agar dia boleh baring mengerekot dengan selesa dalam posisi fetus. Jika perlu, minta orang lain membantu meletakkan bayi ke dalam lelilit.
  3. Sekarang, ubah kedudukan lelilit dengan cermat agar menyelubungi dan menyokong tubuh bayi anda. Sentiasa pegang bayi dengan selamat apabila anda membetulkan lelilit buat kali terakhir.

Perhatian!

Jangan letak bayi menghadap ke luar atau dalam posisi melintang atau buaian kerana posisi tersebut adalah tidak selamat.

Tip-tip asas keselamatan

Sentiasa posisikan bayi baru lahir anda dengan dagunya ke atas untuk memastikan salur udaranya sentiasa terbuka. Jangan menggendong bayi dengan dagunya ke bawah, ke arah dadanya kerana pernafasannya boleh terganggu. Jika anda menggunakan lelilit, cuba menggendong bayi pada paras dada anda dan muka bayi dapat dilihat – lelilit hendaklah dipakai mengelilingi tubuh bayi dengan cara yang dapat memberinya sokongan yang diperlukan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen