Perkembangan fizikal seorang kanak-kanak bukan sekadar tentang ketinggian, berat dan/atau susuk badannya. Ia juga termasuk aspek lain pergerakan tubuh anak anda. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak mencapai umur persekolahan (lazimnya pada umur 6 atau 7 tahun), mereka belajar menulis, melukis, dan menggunakan peralatan seni seperti pensil, pen penanda, kapur, berus, dan pelbagai jenis teknologi lain. Ini semua adalah sebahagian daripada kumpulan kemahiran motor halus mereka.
Manakala, kemahiran motor kasar merangkumi kebolehan mengawal dan mengimbang semasa berjalan kaki, memanjat, berlari, melompat, meloncat, berkawat, dan berlari. Kemahiran ini dipelajari melalui aktiviti berstruktur dan bukan berstruktur serta pengalaman lain ketika di tadika, pra sekolah atau di rumah bersama anda.
Kemahiran-kemahiran tersebut adalah penting semasa zaman persekolahan dan ia akan kerap digunakan. Beberapa kemahiran tersebut juga mungkin menjadi asas bagi mereka bersukan atau melakukan aktiviti fizikal lain dengan lebih cergas. Anda juga harus cuba memantau pertumbuhan fizikal anak anda dari semasa ke semasa dengan mengukur Indeks Jisim Tubuh (IJT) bagi umur mereka.
Bantu anak anda bersedia secara fizikal bagi menghadapi cabaran-cabaran di sekolah dengan memberi:
Pemakanan yang sihat
Makanan membekalkan tenaga dan pemakanan yang sempurna untuk anak anda membesar dan merealisasikan potensinya. Maka, sediakan diet seimbang untuknya sekurang-kurangnya 3 hidangan sehari. Sarapan adalah hidangan harian paling penting kerana ia membekalkan tenaga yang diperlukan oleh seorang kanak-kanak untuk kekal fokus, memperbaiki daya ingatan dan mengurangkan ketidakhadiran ke sekolah kerana sakit, selain daripada kebaikan-kebaikan yang lain. Anda boleh menggunakan Piramid Makanan Malaysia untuk Kanak-Kanak sebagai panduan bagaimana untuk menyediakan hidangan seimbang yang sederhana dari segi saiz sajian dan penuh dengan pelbagai khasiat.
Rehat dan tidur secukupnya
Kanak-kanak berusia 6-13 tahun perlu tidur selama 9-11 jam. Namun, pada usia ini, banyak masa mereka diperlukan untuk sekolah, sukan dan aktiviti luar seperti kokurikulum serta aktiviti sosial lain. Tambahan pula, kanak-kanak pada usia persekolahan semakin berminat dengan televisyen, komputer dan internet. Tidur yang mencukupi adalah penting terutama bagi kanak-kanak kerana tidur memberi kesan langsung terhadap perkembangan mental dan fizikal mereka.
Banyak bersenam
Kesedaran mengenai kesihatan dan keselamatan
Banyak latihan kemahiran motor
Jelas, kemahiran fizikal adalah penting sebagai persediaan untuk ke sekolah. Kemahiran fizikal memberi anak-anak anda keyakinan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kerana mereka tahu bahawa mereka boleh melakukannya tanpa rasa kekok atau takut. Selain daripada mengajar atau memberi galakan kepada anak anda untuk lebih aktif, anda juga harus menunjukkan teladan yang baik di rumah. Lagipun, ibu bapa adalah model peranan utama setiap anak.
Walau bagaimanapun, jika anda fikir bahawa tumbesaran fizikal anak anda bermasalah atau mengalami gangguan (contohnya hipertiroidisme, kekerdilan, dan kekurangan hormon tumbesaran) atau anda bimbang tentang perkembangannya, pastikan anda mendapat nasihat doktor/pakar dengan segera.
Komen