Pengasuhan Positif

Membesarkan Anak Yang Peramah

Cara yang baik untuk menyediakan anak anda menghadapi cabaran dunia adalah dengan mengajarkannya kemahiran sosial atau berkawan. Kemahiran sosial merupakan salah satu kategori kemahiran tingkah laku adaptif asas yang amat penting diperolehi oleh kanak-kanak apabila mereka membesar. Kemahiran tingkah laku adaptif lain termasuklah: kemahiran berkomunikasi, kemahiran kehidupan harian dan kemahiran pergerakan motor.

Walaupun penting supaya mengajar kanak-kanak untuk berkomunikasi (contohnya menerima dan menyampaikan maklumat), menjaga diri sendiri, mempunyai kemahiran domestik dan pengetahuan keselamatan (contohnya, bahaya orang yang tidak dikenali, melintas jalan, alamat rumah, nombor telefon kecemasan, dll), namun kemahiran berkawan dan etika sosial juga adalah sama penting.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni

Kemahiran berkawan lazimnya menjadi lebih stabil pada sekitar umur 10 tahun di mana konsep ‘rakan karib’ menjadi lebih kukuh. Kajian mendapati bahawa semasa kanak-kanak, kawan rapat dapat membantu menangani tekanan yang berpunca daripada peristiwa-peristiwa besar yang dilalui dalam kehidupan. Pergaulan yang rapat membantu membina kemahiran sosial dan keyakinan kanak-kanak menuju kedewasaan. Mempunyai kawan-kawan yang ramai boleh meningkatkan harga diri dan mengurangkan risiko kebimbangan dan kemurungan di kalangan kanak-kanak.

Lihat, Dengar & Pelajari

Lazimnya, kanak-kanak yang sedang membesar mempelajari peraturan asas etika sosial dengan memerhati dan meniru cara orang dewasa bergaul (contohnya, menegur sapa, berbual kosong, mendengar, memberi maklumbalas, mengawal dan meluahkan perasaan, bertanya, bergelak ketawa, dll). Namun, terdapat kanak-kanak yang memerlukan bimbingan kerana mereka mungkin kurang memahami petunjuk tatacara pergaulan sosial. Ini kerana, orang dewasa pun kadang-kadang mempunyai tingkah laku yang kurang sesuai dan boleh membahayakan kanak-kanak jika mereka mengikutinya (contohnya, kebiadaban, membuang sampah merata-rata, menyumpah seranah, bermusuhan dan bersikap agresif).

Adalah penting bagi ibu bapa untuk memerhati dan membimbing anak-anak mereka dalam menjalin dan mengekalkan persahabatan. Ibu bapa juga harus menunjukkan contoh yang baik agar anak mereka menjadi rakyat yang baik dan jujur. Kita tidak boleh beranggapan bahawa kanak-kanak berfikiran seperti orang dewasa dalam memahami petunjuk tatacara pergaulan, dan membuat keputusan sosial atau mengatasi masalah. Kegagalan untuk campur tangan apabila berlakunya masalah boleh menyebabkan anak berisiko dipencilkan dari segi sosial, hilang perhubungan sosial atau lebih teruk lagi, dibuli.

bringing-up-a-socially-sound-child-2

Bermain, Berseronok & Berkawan!

Kemahiran bermain juga adalah penting kerana ia merupakan sebahagian daripada pembentukan persahabatan. Tambahan pula, kanak-kanak muda lebih cenderung untuk berkawan semasa bermain berbanding dengan perbualan kerana bermain adalah “bahasa” utama mereka.

Bermain melibatkan komunikasi yang jelas, mengambil giliran, mematuhi peraturan, bekerjasama, menyelesaikan masalah, saling menghormati, dan banyak lagi kemahiran mikro lain yang membantu mengekalkan persahabatan. Bermain adalah cara terbaik untuk mengajar kemahiran-kemahiran tersebut kerana bermain adalah menyeronokkan dan kemahiran-kemahiran bergaul membantu memanjangkan tempoh permainan. Adalah penting supaya anda tekankan bahawa bermain adalah untuk berseronok dan bukan untuk menang. Mengajar anak-anak bermain untuk berseronok membantu mereka membesar sebagai orang dewasa yang pandai bekerjasama berbanding seorang yang suka bersaing dan cenderung menjadi lebih agresif dalam persahabatan.

Pilih Kawan dengan Bijak

Rakan karib boleh menggalakkan anak anda memperoleh nilai-nilai moral dan sifat-sifat positif. Tambahan pula, sebagai remaja mereka tidak akan cetek pemikiran dan kurang dipengaruhi oleh populariti dalam menjalin persahabatan kerana mereka tahu ada lagi ciri-ciri lain yang lebih penting. Mereka juga harus bermurah hati kepada orang lain kerana mereka akan dihormati. Perilaku ini juga harus digunakan semasa bermain dimana sikap kesukanan dan bermain secara adil merupakan sikap yang baik dimiliki.

Kuncinya ialah Komunikasi

Selain daripada berhati baik dan berakhlak lemah lembut, keupayaan untuk berkomunikasi dengan berbudi bahasa adalah sangat penting dalam perbualan dan ketika sesi permainan. Pada masa yang sama, mereka perlu mempelajari tatacara untuk mengakhiri atau keluar daripada sesuatu pergaulan dengan cara yang wajar. Ibu bapa harus menggalakkan anak mereka untuk berlatih berbual dan bermain bersama orang dewasa dan kanak-kanak lain. Anda juga harus membimbing anak secara aktif dalam tatacara pergaulan harian seperti budi bahasa atau adab.

Penyelesaian Konflik

Dalam sebarang hubungan persahabatan, sudah pasti terdapat pencanggahan serta bantahan. Ia merupakan situasi yang memerlukan kemahiran dan kanak-kanak perlu mempelajari kemahiran-kemahiran tersebut sejurus selepas mereka menjalinkan persahabatan agar mereka boleh mengatasi pertikaian dengan wajar. Memandangkan kanak-kanak juga terdedah kepada gejala buli, adalah baik mereka juga diajar untuk mengenali dan mengatasi pembuli.

Kita biasa mendengar orang berkata bahawa tidak wajar kita terlalu baik hati terhadap orang lain kerana mereka akan mengambil kesempatan terhadap kita. Namun demikian, kajian telah menunjukkan bahawa selagi anda belajar daripada kesilapan dan tidak bergaul dengan orang yang berhati buruk, maka sikap baik hati adalah lebih baik daripada mementingkan diri sendiri. Adalah sihat bagi kanak-kanak mempelajarinya dengan mengalaminya sendiri agar mereka lebih sensitif dan berhati-hati apabila memilih kawan.

Dengan dilengkapi kemahiran menjalin persahabatan dan bermain, anak anda yang sedang membesar akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia. Kemahiran-kemahiran tersebut dapat menambah keyakinan diri mereka dalam perhubungan sosial. Selain itu, jika timbul masalah, mereka tahu akan cara untuk menyelesaikannya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen