Pengasuhan Positif

Terkini dalam Usaha Memerangi Denggi

Setiap tahun, 390 juta jangkitan Denggi direkodkan, di mana 96 juta kes menunjukkan tanda-tanda klinikal. Lebih daripada 70% beban penyakit global adalah di Asia khususnya Rantau Pasifik Barat. Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara-negara Pasifik Barat dari segi bilangan kes Denggi yang dilaporkan.

Denggi disebarkan oleh jangkitan nyamuk betina Aedes aegypti yang dijangkiti dengan salah satu daripada empat serotip virus Denggi.

Musuh Awam #1, Aedes!

info-denggi

Senjata kita

Pelbagai kaedah kawalan telah digunakan sejak bertahun-tahun untuk membantu membendung peningkatan kes Denggi di seluruh negara, seperti digariskan dalam Pelan Strategik Pencegahan dan Kawalan Denggi. Ini termasuk:

  • Larvasida/abate
  • Pengasapan (fogging)
  • Penguatkuasaan undang-undang
  • Kempen-kempen pendidikan dan kesedaran awam

aedes-education

Kes-kes Denggi terus meningkat walaupun setelah semua usaha ini dilakukan. Maka ini telah mendorong penerokaan kaedah/teknologi kawalan baharu dan inovatif, antaranya:

1. Pengubahsuaian genetik nyamuk mandul

Strain nyamuk jantan Aedes aegypti (OX513A) yang dibangunkan oleh Institut Kajian Perubatan (Institute of Medical Research, IMR), dan Oxitec, mempunyai elemen genetik pengehad. Maksudnya, apabila nyamuk betina Aedes aegypti mengawan dengan nyamuk jantan OX513A, semua anaknya akan mati. Ini menghalang kemunculan generasi nyamuk dewasa yang seterusnya. Nyamuk jantan mandul yang dilepaskan juga akan mati. Ujian pelepasan terbuka pertama telah dilakukan di kawasan tidak didiami di Bentong, Pahang pada tahun 2010 tetapi pelaksanaan di seluruh negara masih belum sesuai kerana kos pelaksanaannya secara menyeluruh dikatakan terlalu tinggi.

strain

2. Cat Penghindar Nyamuk

Kansai Coatings Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan cat penghindar nyamuk pada 2014, dikatakan sebagai yang pertama seumpanya di rantau ini. Cat berasaskan air ini menggunakan racun serangga untuk menghalau nyamuk.

Terkini, IMR juga mengumumkan telah membangunkan cat dinding anti-nyamuk. Cat tersebut yang dicampur dengan racun serangga deltamethrin, bukan sahaja mampu menghalau nyamuk tetapi juga membunuh nyamuk yang bersentuhan dengan dinding yang disapu dengan cat tersebut. IMR sedang mencari pengilang yang berminat untuk menghasilkannya.

mosquito-repellent-paint

3. Aplikasi Penghindar Nyamuk

KIL-DENGUE merupakan sebuah aplikasi yang diperkenalkan pada bulan Julai tahun ini oleh syarikat New Wave Communications Sdn Bhd yang membangunkan perisian bersama IMR. Aplikasi tersebut menggunakan gelombang bunyi untuk menghindar nyamuk Aedes dan ujian-ujian menunjukkan aplikasi tersebut mempunyai keberkesanan sebanyak 75%. Anda boleh memuat turun aplikasi tersebut di Google Play atau Apple App Store dengan harga RM10. Teknologi menggunakan gelombang bunyi untuk menghindar nyamuk bukanlah baharu dan penjelasan sains baginya tidak begitu menyeluruh. Namun, ramai pengguna aplikasi seumpanya di seluruh dunia mengatakan bahawa ianya berkesan.

mosquito-repellent-app

4. Perangkap nyamuk

Salah satu ciptaan dalam industri perangkap nyamuk melibatkan penggunaan bahan penarik yang mampu meniru beberapa ciri-ciri manusia seperti bau, cahaya, CO2, haba dan juga bunyi. Dicipta untuk penggunaan di rumah dan skala besar, peranti tersebut menarik, memerangkap dan membunuh nyamuk pada kadar keberkesanan yang berbeza. Pelbagai penangkap nyamuk buatan sendiri telah kami kongsikan pada isu lepas (Jilid 3). Dalam usaha mencari kaedah baru mengawal vektor denggi di kawasan perumahan berisiko tinggi, pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang, Selangor dan Putrajaya telah memulakan projek perintis untuk menguji keberkesanan, kesan dan daya maju teknologi baru ini.

mosquito-trap

5. Vaksin Denggi

Sanofi Pasteur telah menyempurnakan kajian keberkesanan vaksin Denggi fasa III terakhir dengan jayanya. Hasilnya menunjukkan keberkesanan 95% terhadap demam denggi berdarah, pengurangan sebanyak 80.3% risiko kemasukan ke hospital dan pengurangan sebanyak 60.8% kes penyakit Denggi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur 9-16 tahun selepas tiga dos suntikan vaksinasi yang diberi selang 6 bulan. Vaksin tersebut mungkin boleh didapati di Malaysia sekitar akhir tahun hadapan.

vaccine

Walaupun kaedah-kaedah baharu ini mempunyai potensi, kita tidak seharusnya mengetepikan tindakan-tindakan melawan denggi yang boleh dilakukan sendiri. Teruskan peranan anda untuk membantu mengekalkan keselamatan keluarga dan komuniti dengan:

1. Memastikan tidak ada tempat nyamuk membiak di kawasan anda:

  • Buang bekas yang tidak diperlukan yang boleh menakung air
  • Pastikan tangki air dan bekas-bekas ditutup dengan penutup
  • Pastikan lapik pasu bunga dan bekas takungan air dikeringkan sekurang-kurangnya seminggu sekali
  • Pastikan palong air di atas bumbung mengalir dengan baik

2. Ambil langkah-langkah untuk melindungi keluarga anda daripada gigitan:

  • Pasang skrin atau jaring tingkap
  • Sapu krim penghindar nyamuk pada kulit sebelum keluar rumah
  • Pakai pakaian berwarna cerah berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar rumah
  • Guna lingkaran nyamuk, penyembur dan penghindar nyamuk elektrik apabila diperlukan.
  • Elakkan aktiviti luar rumah pada masa nyamuk Aedes paling aktif (iaitu 5.30-8.30 pagi dan 5.30-8.00 malam)

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen