Apakah rangkaian sosial & apakah fungsi sebenarnya?
Walaupun istilah media sosial dan rangkaian sosial sering digunakan secara bertukar ganti, ia sebenarnya dua benda yang berbeza. Media sosial merujuk kepada kandungan media – seperti foto, video, dan tweet – yang dimuat naik atau diterbitkan oleh pengguna. Sebaliknya, rangkaian sosial merujuk kepada proses komunikasi melalui sesuatu platform (laman web, aplikasi, dll) untuk berhubung dengan orang lain. Sebagai contoh, Facebook dan Twitter kedua-duanya merupakan laman media sosial dan rangkaian sosial kerana ia membolehkan pengguna memuat naik kandungan media dan pada masa yang sama berhubung dengan orang lain.
Bagaimanakah anda boleh mengawasi penggunaan rangkaian sosial anak anda dengan berkesan?
Dengan menetapkan peraturan-peraturan mudah agar anak anda belajar menggunakan laman rangkaian sosial dengan bertanggungjawab. Bincang tentang waktu penggunaan internet, hak keistimewaan dalam talian dan yang lebih penting, akibat jika anak anda melanggar peraturan-peraturan tersebut. Pastikan seluruh keluarga hadir bersama semasa perbincangan ini diadakan agar ibu bapa dan anak-anak semua bersetuju dengan penggunaan dan juga akibat daripada sebarang penyalahgunaan rangkaian/media sosial.
Satu lagi cara yang baik untuk mengawasi penggunaan rangkaian sosial anak anda adalah dengan menjadi kawan mereka dalam rangkaian sosial yang sedang mereka menggunakan dengan aktif. Kemungkinan besar anak anda tidak akan bersetuju dengan perkara ini, tetapi anda boleh memberi jaminan bahawa anda tidak akan mengganggu privasi mereka. Selain itu, elak daripada memberi komen atau memarahi mereka secara terbuka atas rangkaian sosial mereka kerana tiada siapapun yang mahu sahkan ibu bapa mereka sebagai kawan jika mereka dimalukan.
Jika anak anda masih kecil, luangkan masa untuk melayari internet bersama mereka. Ibu bapalah yang harus mengajar dan membimbing mereka sebagaimana anda mengajar mereka mengayuh basikal buat pertama kalinya. Akhir sekali, ambil masa untuk memahami dunia internet mereka dan berbual dengan mereka setiap hari. Ini kerana apabila anda mempunyai hubungan yang erat dengan mereka, mereka akan lebih terbuka dengan anda tanpa perlunya pengawasan anda.
Cara mencegah ketagihan terhadap penggunaan rangkaian sosial
Kebanyakan orang menjadi ketagih disebabkan oleh realiti yang tidak seimbang. Sebab itulah anak anda perlu memahami bagaimana mengimbangi kehidupan sosial mereka di dalam talian dan juga alam nyata. Anda juga boleh menghadkan penggunakan mereka untuk mencegah ketagihan. Namun, ia tidak berakhir di situ kerana apabila anda menghalang mereka daripada melakukan sesuatu, anda perlu memperkenalkan aktiviti lain yang lebih menarik untuk mengisi ruang masa tersebut. Anda boleh merancang aktiviti untuk keluarga anda, cadangkan mereka membaca buku, galakkan mereka memiliki hobi baru seperti belajar bermain alat muzik ataupun minta mereka mengatur aktiviti luar rumah bersama kawan-kawan. Dengan cara ini, mereka akan meletakkan fokus mereka kepada aktiviti lain yang lebih menyeronokkan.
Jika mereka sentiasa merasakan keperluan untuk memeriksa Facebook, Twitter atau Instagram mereka, berbicara dengan mereka tentang perasaan tersebut. Mungkin terdapat isu yang tersembunyi. Dengan mengatasi punca masalah tersebut, anda boleh membantu mereka dalam jangka masa yang panjang.
Apa itu Buli Siber dan bagaimanakah ia menjejaskan anak anda?
Buli siber merupakan satu ancaman atau gangguan yang berulang melalui kaedah digital. Bayangkan seorang gadis muda memuatnaik gambar selfienya di Instagram dan seseorang yang mengenalinya meninggalkan komen yang menyatakan tentang paras rupanya seperti “hodoh dan tidak patut dilahirkan di dunia”. Ini akan diikuti oleh komen daripada orang lain dan mereka mula membantai akaunnya dengan komen-komen buruk dan penuh kebencian. Komen-komen sedemikian boleh menjejaskan keadaan mental dan emosi anak anda. Dengan membaca komen tersebut berulang kali, gadis itu akan mempunyai fikiran bahawa dia tidak disukai orang ramai dan menyebabkan dia hilang keyakinan diri.
Kanak-kanak yang mengalami buli siber mungkin akan melalui perubahan tingkah laku yang negatif seperti enggan ke sekolah, emosi yang terganggu apabila mereka mengguna platform media sosial, perasaan takut berinteraksi dengan orang lain dan sebagainya. Jika anda mendapati bahawa terdapat sebarang perubahan pada tingkah laku anak anda, ia mungkin tanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena.
Bagaimana untuk melindungi mereka & apakah nasihat yang ibu bapa boleh berikan kepada anak-anak mereka?
Kebanyakan orang berkata bahawa cara untuk melindungi anak kita daripada menjadi mangsa buli siber adalah dengan mengajar mereka mengenainya. Ini mungkin benar, tetapi lazimnya kami menasihati ibu bapa untuk melihat pada hubungan mereka dengan anak-anak mereka. Mengapa? Ini kerana dengan mengajar anak-anak anda, mereka akan mendapat pengetahuan mengenai isu ini, tetapi dengan adanya hubungan erat dengan mereka, ini akan menunjukkan kepada mereka bahawa pendapat orang yang paling penting ialah orang yang paling menyayangi mereka. Dengan adanya hubungan yang erat, anak anda mempunyai platform di mana mereka boleh berkongsi masalah dengan ibu bapa tanpa ragu-ragu.
Sekiranya anak anda menjadi mangsa buli siber, kemungkinan besar mereka tidak akan memberitahu anda dengan serta merta kerana takut dimarahi dan takut hak keistimewaan melayari internet mereka ditarik balik. Pada ketika inilah anda perlu meyakinkan mereka bahawa anda sentiasa berada di sisi mereka. Pada masa yang sama, berikan mereka ruang secukupnya untuk berbicara dengan anda sekiranya mereka selesa berbuat demikian. Minta anak anda menunjukkan apa yang telah berlaku dan kumpulkan seberapa banyak bukti agar anda boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya bagi mengendalikan situasi ini. Mangsa buli siber sering dihimpit kesukaran, oleh itu berilah sokongan dan bimbingan supaya anak anda boleh melaluinya dengan anda.
Bagaimana pula jika anak anda adalah pembulinya?
Menarik balik hak keistimewaan melayari internet anak anda akan memberi mesej yang jelas kepadanya, tetapi ini hanya cara untuk memperbetulkan tingkah laku mereka dan bukan membimbing mereka. Yang dimaksudkan di sini adalah anda perlu berbicara dengan anak anda secara tegas mengenai apa yang mereka sedang lakukan dan bukan setakat memberitahu mereka bahawa mereka dilarang daripada menggunakan internet. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak mereka bahawa membuli adalah isu yang serius dan tindakan mereka boleh meninggalkan kesan buruk tanpa disedari. Minta mereka imbas kembali tindakan mereka, contohnya bagaimana perasaan mereka jika mereka diperlakukan sedemikian? Jika terdapat konflik, bantu mereka mengatasinya dengan memproses emosi-emosi tersebut dan bersimpati terhadap masalah mereka. Anda akan mendapati bahawa remaja dan kanak-kanak kerap bergelut untuk mengendalikan isu-isu tersebut bersendirian. Justeru, jelaskan kepada anak anda bahawa dia perlu menjadi seorang yang bertanggungjawab semasa dalam atau luar talian.
Matlamat Utama
Kami percaya bahawa hubungan kekeluargaan adalah kunci untuk menangani sebarang isu siber dalam dunia hari ini. Dalam membimbing generasi akan datang untuk menjadi pengguna yang positif dan seimbang, akhirnya, diri kita sendiri dicabar untuk bersikap lebih bertanggungjawab dalam dan luar talian. Anak-anak meniru tingkah laku dan sikap ibu bapa: menjadikannya sebab mengapa ibu bapa harus menjadi model peranan yang konsisten dan positif dalam kehidupan anakanak. Membina hubungan yang kukuh dengan anak-anak kita berdasarkan nilai-nilai murni, prinsip dan kepercayaan akan membina keperibadian mereka, membantu mereka membuat pilihan yang betul tidak kira apa jua yang mereka hadapi di masa hadapan – termasuk rangkaian sosial.
Sekali lagi, sebagai peringatan, terpulang kepada kita untuk menentukan teladan yang kita tinggalkan untuk anak-anak sebagai legasi. Dari segi digital dan dalam realiti.
Mengenai Generasi Gemilang
YAYASAN GENERASI GEMILANG (GG) merupakan sebuah yayasan kebajikan sosial yang beriltizam untuk membina negara maju dengan melahirkan generasi akan datang yang gemilang dan membina keluarga yang kukuh. Atas keyakinan bahawa “Kasih Sayang Dapat Mengubah Kehidupan”, kami memberi inspirasi dan semangat kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin. Golongan ini termasuk kanak-kanak, remaja dan keluarga, baik dari rumah perlindungan kanak-kanak, sekolah maupun komuniti yang terpinggir. Ditadbir oleh sebuah Lembaga Pengarah, Yayasan GG ini berpejabat di Lembah Klang dan menjalankan perkhidmatan di seluruh Malaysia. Sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Generasi Gemilang Kuala Lumpur dan Selangor, GG telah diperbadankan sebagai yayasan pada bulan Disember 2014.
Komen