Pengasuhan Positif

Membongkar Misteri JE

Ensefalitis Jepun (JE) merupakan punca utama jangkitan virus jenis ensefalitis di Asia yang lazimnya menyerang kanak-kanak. Dianggarkan terdapat sekitar 50,000 kes JE di seluruh dunia setiap tahun. Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak di bawah usia 15 tahun. Sekitar 20-30% pesakit akan meninggal dunia, manakala 30-50% yang terselamat pula mungkin akan menderita akibat kecacatan mental yang kekal.

Berikut adalah beberapa soalan yang kerap ditanya oleh ibu bapa tentang jangkitan ini:

1. Di manakah JE berlaku?

JE berlaku di kawasan Asia Tenggara dan Asia Pasifik. Ia kerap berlaku di kawasan pendalaman, terutamanya pada musim hujan. Memandangkan terdapat hujan sepanjang tahun di Asia Tenggara, maka JE boleh menular sepanjang tahun.

Di Malaysia, JE bertanggungjawab bagi 18-62% kes virus ensefalitis yang dilaporkan. Sarawak melaporkan bilangan kes tertinggi. Wabak juga pernah berlaku di Langkawi dan Pulau Pinang.

2. Bolehkah nyamuk menyebarkan virus daripada seorang penghidap kepada anak saya?

Tidak. Manusia dianggap sebagai hos sampingan atau hos terakhir kerana virus JE tidak membiak pada kepekatan yang mencukupi dalam aliran darah untuk menjangkiti nyamuk. Virus JE juga tidak boleh disebarkan melalui sentuhan antara individu. Menyentuh bahkan mencium seseorang yang menghidapi JE tidak akan menyebabkan anak anda dijangkiti.

3. Bolehkah seorang ibu hamil yang menghidap JE menjangkiti bayinya yang belum lahir?

Adalah dipercayai bahawa jangkitan semasa hamil boleh memudaratkan bayi, namun bagaimana ia menjejaskan kesihatan bayi masih tidak jelas. Selain itu, tidak terdapat bukti yang menunjukkan bahawa virus JE boleh disebarkan daripada seorang ibu kepada anak dalam kandungannya.

4. Bolehkah anak saya dijangkiti JE melalui pengambilan daging babi?

Tidak. Apabila babi disembelih, virus JE tidak boleh hidup di dalam daging babi. Tambahan pula, memasak daging babi pada suhu lebih daripada 60˚C akan membunuh virus JE tersebut.

5. Berapa cepatkah seseorang akan sakit selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti?

Kebanyakan kes JE tidak mempunyai simptom, kalaupun ada, hanya simptom ringan. Simptom penyakit selalunya berlaku pada hari ke 5-15 selepas digigit nyamuk dan bermula dengan simptom seperti demam, sakit kepala, keletihan, muntah-muntah, kebingungan dan keresahan.

Penyakit boleh menular dengan lebih teruk dan menyebabkan inflamasi otak (ensefalitis) dan lazimnya disertai dengan serangan sawan. Koma dan kelumpuhan juga boleh berlaku dalam sesetengah kes.

mosquito

6 . Bagaimana ensefalitis Jepun didiagnosis?

Diagnosis adalah berdasarkan kombinasi tanda-tanda klinikal dan simptom serta ujian makmal khusus terhadap darah atau cecair tulang belakang. Ujian tersebut biasanya mengesan antibodi yang dihasilkan oleh sistem imun badan kita apabila dijangkiti virus JE.

7. Apakah rawatan bagi JE?

Tiada rawatan khusus. Jangkitan teruk dirawat dengan terapi sokongan termasuk kemasukan ke hospital, sokongan pernafasan, dan cecair intravena. Risiko dijangkiti JE dapat dikurangkan dengan pengambilan vaksinasi.

8. Patutkah saya mendapatkan vaksinasi untuk anak saya?

Pada masa ini, vaksin JE hanyalah wajib dan diliputi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di Sarawak. Namun begitu, jika anda tinggal di kawasan yang berisiko tinggi (iaitu, berdekatan dengan ladang babi) atau kerap mengunjung ke tempat-tempat yang mempunyai bilangan kes yang tinggi (Langkawi dan Pulau Pinang), anda dinasihati untuk mendapatkan vaksinasi untuk keluarga anda.

9. Di manakah boleh saya mendapatkan vaksinasi JE?

Kebanyakan hospital kerajaan dan swasta menyediakan vaksin ini. Tanya doktor anda sama ada vaksin JE yang terkini boleh didapati di kawasan anda.

syringe

10. Berapakah dos vaksin yang harus anak saya ambil?

Dengan vaksin JE terkini (IMOJEV), mereka yang berusia 9 bulan hingga 17 tahun memerlukan satu dos (0.5 mL) bagi imunisasi kali pertama. Jika perlindungan jangka panjang diperlukan, dos booster harus diberi sebaikbaiknya satu tahun selepas vaksinasi pertama.

Mereka yang berumur 18 tahun ke atas memerlukan satu dos (0.5 mL). Dos booster tidak diperlukan sehingga 5 tahun selepas vaksinasi pertama.

11. Adakah ia bertindak serta merta?

Dalam orang dewasa, perlindungan terhadap Ensefalitis Jepun secara amnya bermula 2 minggu selepas disuntik vaksin. Dalam kanak-kanak, perlindungan bermula 4 minggu selepas suntikan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen