Pengasuhan Positif

Memastikan Bayi Sihat

Kepentingan pemakanan dalam tahun pertama kehidupan bayi akan memberi kesan yang berkekalan sepanjang hayatnya. Ia amatlah penting dan perlu ditekankan. Tumbesaran dan perkembangan paling pesat berlaku dalam tempoh kiritikal ini, terutamanya perkembangan otak dan tumbesaran fizikal.

Susu ibu adalah terbaik

Bagaimana anda boleh memastikan pemberian pemakanan bayi anda adalah sempurna? Yang penting sekali adalah untuk memastikan bayi anda diberi susu ibu secara eksklusif bagi enam bulan pertama dan diteruskan sehingga dia berumur sekurang-kurangnya dua tahun.

Ini sejajar dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga Panduan Diet Bagi Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia. Kedua-duanya menyarankan amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif sejak dari lahir sehingga umur enam bulan. Ibu digalakkan meneruskan penyusuan sehingga bayi berumur dua tahun.

Memandangkan ibu yang menyusukan bayi mempunyai keperluan pemakanan yang sama seperti wanita hamil, wanita yang menyusukan bayi masih perlu mengekalkan diet yang sihat. Lagipun, bayi masih bergantung kepada ibu untuk mendapatkan nutrien yang diperlukan untuk membantunya membesar.

Ingatlah bahawa penghasilan susu ibu boleh dipengaruhi oleh diet anda, oleh itu teruskan pengambilan diet yang berkhasiat dan seimbang kerana nutrien daripada diet ibu adalah kritikal dalam memastikan bayi mendapat susu ibu yang berkualiti tinggi serta mencukupi. Elak daripada mengambil minuman yang mengandungi kafein atau alkohol sebelum menyusu kerana bahan-bahan tersebut boleh masuk ke dalam susu ibu.

Ambil perhatian bahawa sepanjang enam bulan pertama kehidupan bayi anda, dia tidak memerlukan sebarang makanan atau minuman lain. Susu ibu adalah sempurna dari segi pemakanan dan mengandungi kesemua nutrien dan antibodi yang diperlukan. Susu ibu kaya dengan lemak asid perlu, yang membantu menghasilkan komponen penting bagi perkembangan fizikal dan mental. Susu ibu juga mengandungi antibodi untuk membantu melawan jangkitan dan cirit birit. Penyusuan susu ibu juga dapat mengukuhkan kasih sayang di antara ibu dan bayi.

Mulakan makanan pelengkap tepat pada masanya!

Untuk mencegah risiko kekurangan nutrien (contohnya zat besi, kalori dan protein), anda perlu meningkatkan pengambilan beberapa nutrien apabila bayi berumur enam bulan. Ini disebabkan susu ibu sahaja tidak mengandungi nutrien secukupnya untuk memenuhi keperluan bayi yang sedang membesar. Anda perlu mulakan pemberian makanan pelengkap.

complementary-feeding

Pemberian makanan pelengkap hendaklah dimulakan tepat pada masanya (pada umur enam bulan dan bukan lebih awal/lewat) dan diberi dalam jumlah, kekerapan dan konsistensi (kepekatan) yang mencukupi dan betul untuk mencegah terlebih atau kekurangan nutrien.

  • pada umur enam bulan, makanan pelengkap hendaklah memenuhi satu per tiga daripada keperluan kalori harian bayi anda
  • separuh apabila dia berumur sembilan bulan
  • lebih daripada 60% apabila dia lebih besar. Dalam tempoh tersebut, penyusuan susu ibu harus diteruskan.

Pastikan anda memberi dia makanan berkhasiat yang membekalkan cukup kalori dan nutrien seperti protein (daging, ikan, telur, atau legum), zat besi (daging merah, hati, jus prun, atau sayur berdaun hijau), zink (tiram yang telah dimasak, ayam, daging lembu, atau legum), kalsium (susu dan produk tenusu, atau kekacang, salmon, kacang soya, tempe, dan tauhu) vitamin A (produk tenusu, hati, telur, karot, labu, atau betik), vitamin C (oren, betik, tomato, atau jambu batu) dan folat (sayur berdaun hijau, pis, atau oren).

Apabila memulakan makanan pelengkap, pastikan jenis makanan, tekstur dan konsistensinya adalah sesuai bagi tahap perkembangan bayi anda. Beri dia makanan secukupnya untuk memenuhi keperluan kalori dan pastikan anda mengubah tekstur serta cara penyediaan makanan yang bersesuaian dengan bayi anda yang sedang membesar. Sebagai contoh, tekstur dan konsistensi makanan pelengkap harus membolehkan dia makan dengan mudah tanpa tercekik. Kekerapan anda memberi bayi anda makan harus ditingkatkan beransur-ansur apabila dia membesar. Adalah penting untuk anda mengikuti prinsip Keseimbangan (Balance), Kesederhanaan (Moderation), dan Kepelbagaian (Variety) atau BMV – ia membantu memastikan anda memenuhi keperluan pemakanan bayi anda.

Tahukah anda?

Keseimbangan (Balance), Kesederhanaan (Moderation) dan Kepelbagaian (Variety) atau BMV merujuk kepada diet seimbang yang merangkumi makanan daripada kesemua lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia. Ia terdiri daripada saiz sajian yang sederhana mengikut jumlah hidangan yang disarankan bagi setiap kumpulan makanan, dan terdiri daripada pelbagai makanan untuk memenuhi kesemua keperluan pemakanan bayi anda.

Pantau tumbesaran bayi anda

Cara paling mudah dan berkesan untuk menentukan sama ada bayi anda mendapat pemakanan yang mencukupi dan membesar dengan sempurna ialah dengan mengukur ketinggian dan berat badannya secara berkala. Pengawasan yang kerap adalah penting terutamanya dari sejak lahir sehingga berumur 12 bulan memandangkan bayi mengalami pertumbuhan paling pesat dalam tempoh tersebut. Dapatkan nasihat pakar pediatrik bayi anda untuk memastikan dia membesar dengan sempurna dan pantau pertumbuhannya dengan rapi.

Carta pertumbuhan berikut dibahagikan mengikut berat badan untuk umur dan panjang untuk umur. Ambil perhatian bahawa anda perlu merujuk pada carta yang berlainan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Sebagai ibu bapa, anda berhadapan dengan banyak cabaran dalam membesarkan anak yang sihat. Jangan terlalu bimbang sekiranya anda dapati terlalu banyak maklumat untuk diproses, ia adalah sebahagian daripada menjadi ibu bapa. Ingatlah, jika anda kurang pasti, anda sentiasa boleh mendapatkan nasihat pakar pediatrik bayi anda.

berat-untuk-lelaki-perempuan

panjang-untuk-lelaki-perempuan

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen