Pengasuhan Positif

Usus Sihat, Anak Sihat

Sistem penghadaman anak anda umpama kilang pemprosesan – fungsi utamanya ialah mengubah makanan menjadi tenaga dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Proses penghadaman bermula di dalam mulut (proses penghadaman bermula dengan air liur) seterusnya makanan akan melalui organ-organ penghadaman (contohnya perut, usus kecil, dan usus besar). Akhir sekali, tubuh anak anda akan membuang saki baki makanan yang tidak digunakan oleh badan dalam bentuk air kencing atau najis.

Fokus utama sistem penghadaman anak anda ialah memproses makanan atau minuman. Bergantung kepada apa yang anak anda makan, proses ini boleh mengambil sehingga beberapa jam. Tubuh anak anda akan menyerap nutrien-nutrien dan tenaga yang diperlukan daripada makanan/minuman.

Lebih daripada yang disangka

Harus diketahui bahawa sistem penghadaman anak anda juga melakukan fungsi-fungsi penting lain, antaranya ialah peranannya sebagai sebahagian daripada sistem imun. Manakan tidak, laluan masuk pertama bagi sebarang patogen (bakteria atau virus yang menyebabkan jangkitan) adalah melalui sistem penghadaman. Dengan memastikan usus anak anda sihat, sistem penghadamannya akan meneutralkan patogen-patogen tersebut, maka mencegah sebarang penyakit.

Bukan itu sahaja! Bukti-bukti baharu menunjukkan bahawa mikrobiota (mikro-organisma termasuk bakteria) bukan sahaja membantu penghadaman, malah ia menentukan bagaimana tubuh menyimpan lemak, mengimbangkan paras glukosa darah dan bertindak balas terhadap hormon yang mengawal selera makan.

Sistem penghadaman mempunyai banyak lagi fungsi lain. Kajian baru-baru ini contohnya, menunjukkan bahawa sistem penghadaman mengandungi banyak pemancar neuro (neurotransmitter) sehinggakan penyelidik-penyelidik menggelarkannya ‘otak kedua’. Selain itu, pemancar neuro yang terdapat di dalam usus anak anda juga berfungsi bersama hormon untuk membantu mengawal selera makannya. Hormon-hormon tersebut ialah ghrelin (meningkatkan selera anda) dan leptin (mengurangkan selera anda).

Ia tidak terhenti di situ. Penemuan awal kajian baru ini juga telah menemui kaitan diantara mikrobiota usus (keseimbangan bakteria di dalam usus) dan obesiti, Diabetes Jenis 2, Sindrom Rengsa Usus (Irritable Bowel Syndrome – IBS), penyakit Crohn, serta modulasi perkembangan otak dan tingkah laku.

Semuanya mengenai Keseimbangan

Kajian menunjukkan bahawa obesiti dan alahan berkait dengan imbangan mikrobiota yang tidak normal di dalam usus. Apabila ketidakseimbangan sedemikian berlaku, ia boleh mengakibatkan tubuh menyimpan lemak yang berlebihan (menyebabkan obesiti), atau menyebabkan penyakit alahan. Tambahan pula, sistem penghadaman yang sihat memerlukan mikrobiota usus yang seimbang untuk mencegah penyakit yang mudah berjangkit, kerengsaan dan alahan daripada menjangkiti diri kita.

Pembantu tersembunyi

Satu aspek kesihatan penghadaman yang tidak dapat dilihat dan sering terabai ialah komposisi bakteria baik yang membentuk mikrobiota usus anak anda. Komposisi mikrobiota usus yang sihat mempengaruhi kesejahteraan anak kerana gangguan mikrobiota usus dikaitkan dengan pelbagai penyakit termasuk penyakit metabolik, sistem imun dan juga masalah psikologi serta tingkah laku.

Selain mengambil diet yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, pengambilan makanan yang tinggi kandungan prebiotik dan probiotik juga akan membantu membentuk komposisi usus yang lebih sihat.

Tahukah anda?

Prebiotik merupakan makanan bagi bakteria baik

Ia boleh didapati di dalam makanan yang tinggi kandungan serat seperti pisang, bawang putih, bawang, bawang merah, lik, asparagus, dan bijirin penuh mil. Makanan tersebut mengandungi serat tumbuhan yang tidak boleh dihadam dan membantu pertumbuhan bakteria ‘baik’.

Probiotik merupakan bakteria ‘baik’

Mikroorganisma tersebut boleh didapati di dalam makanan seperti produk susu di fermentasi, produk kacang soya di fermentasi, dan suplemen.

Hari ini, sesetengah pengeluar makanan/minuman juga menambah probiotik dan prebiotik ke dalam produk-produk mereka.

Perhatian: Sekiranya anak anda mengalami penyakit kronik yang serius, sila dapatkan nasihat pakar pediatrik sebelum anda memberinya sebarang jenis probiotik.

Menjaga Sistem Penghadamannya

Maklumat dan kajian terkini ini memberi gambaran baru tentang sistem penghadaman dan mengingatkan kita bahawa menjaga kesihatan penghadaman agar lebih baik menjadi semakin penting. Sebagai ibu bapa, pastikan sistem penghadaman anak anda terus berfungsi dengan sempurna dengan memberinya minum air secukupnya, mengambil diet yang sihat termasuk makanan yang tinggi kandungan serat setiap hari, serta melakukan sekurang-kurangnya satu jam senaman setiap hari. Ini termasuk aktiviti dalam/luar rumah seperti bermain bola sepak atau badminton.

Anda juga boleh menjadikan aktiviti fizikal sebagai satu cara meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dihujung minggu. Jangan lupa untuk menghadkan masa anak anda melakukan aktiviti sedentari (contohnya, masa yang diluangkan untuk aktiviti bukan fizikal seperti bermain komputer atau menonton televisyen).

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen