Pengasuhan Positif

Menangani Kegagalan

Friedrich Nietzsche pernah berkata, “Apa yang tidak membunuh kita, menjadikan kita lebih kuat.”

Ahli falsafah Jerman ini dari peringkat awal lagi tahu bahawa kegagalan boleh menjadi peluang untuk penambahbaikan – malah kecemerlangan!

Sebagai ibu bapa, sudah tentu kita bangga dengan anak-anak kita. Kita menganggap kejayaan mereka sebagai lanjutan daripada kejayaan kita, bukti kepada kejayaan keibubapaan kita. Oleh sebab itu, kegagalan mereka adakalanya menjadi kekecewaan besar kepada ibu bapa. Namun, kegagalan sebenarnya membantu anak-anak membangunkan ciri-ciri utama dan kemahiran hidup yang diperlukan mereka untuk menjalani kehidupan yang gembira dan bermakna.

Justeru, tidak kira sama ada gagal dalam akademik, sukan, pertandingan atau perhubungan, ibu bapa perlu melengkapkan diri untuk mengendalikan situasi tersebut jika ia timbul. Penting untuk anda ingat bahawa tugas anda adalah untuk membimbing, membantu, menyokong dan memberi motivasi kepada anak anda. Ini bukan tentang anda, maka cuba untuk tidak terlalu menghakimi sebaliknya mengalakkan pembetulan dan penambahbaikan.

Strategi untuk membantu anak anda mempelajari daripada kegagalan:

Lihat kembali masalah dan berbincang secara membina – Ini membantu mereka membangunkan pemikiran kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah. Tanyakan soalan seperti apa perasaan mereka tentang kegagalan dan berbincang mengenai apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik.

constructive-discussion

Tunjukkan belas kasihan dan berikan sokongan – Pujuk anak anda, pegang dan peluk mereka, tunjukkan kasih sayang. Kehadiran anda dan perasaan mengetahui bahawa anda sentiasa ada untuk menyelamatkan mereka akan menggalakkan mereka untuk lebih bersifat meneroka. Mencuba perkara baharu adalah penting untuk perkembangan dan perasaan takut untuk gagal tidak seharusnya menjadi alasan untuk seorang anak menyembunyikan diri.

show-compassion

Jadi model peranan yang baik – Cara anda menghadapi sesetengah kekecewaan (seperti gagal untuk naik pangkat) dalam kehidupan kerap kali diikuti oleh anak anda. Pada ketika itu, anda perlu bersopan santun, bersabar, tidak terlalu berasa terganggu dan bertimbang rasa. Daripada “Saya tidak percaya saya tidak dapat naik pangkat!” cuba “Jangan risau, lain kali saya akan lebih berusaha”.

Hadkan pujian – Anda tidak perlu sentiasa mencurahkan anak anda dengan pujian untuk membuat dia berasa bersemangat atau berkeyakinan. Kebolehan anak anda untuk mengatasi kesusahan akan membina harga dirinya. Terlalu banyak pujian adakalanya boleh membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Kanak-kanak yang dipuji keterlaluan akan bergantung kepada orang lain untuk rasa diterima atau dihargai.

Ceritakan kisah anda, kaitkan – Sebagai ibu bapa, kemungkinan besar anda juga pernah menghadapi beberapa masalah dan jalan buntu dalam kehidupan anda sendiri. Anda boleh ceritakan kisah bagaimana anda mengatasi kegagalan tersebut. Anak anda akan menghargai nasihat anda dengan lebih baik apabila mengetahui bahawa anda juga pernah melalui perkara yang sama.

Jangan menjadi ibu bapa yang terlalu melindungi anak – Kegagalan merupakan sebahagian penting dalam proses pembelajaran, maka bantulah anak anda melihatnya secara positif. Walaupun anda ingin melindungi anak anda daripada segala bentuk kegagalan, besar mahu pun kecil, hakikatnya anda tidak harus berbuat demikian. Akui kegagalan mereka, tugas anda adalah untuk menekankan usaha kerana ia merupakan sesuatu yang anak anda boleh kawal di samping mengajar anak anda bahawa bekerja keras adalah prasyarat kepada mencapai kejayaan.

dont-be-overprotective

Jangan nafikan anak anda kebebasan yang mereka perlukan untuk menghadapi jatuh bangun kehidupan harian. Belajar untuk menerima kegagalan anak anda, tetapi pada masa yang sama pastikan mereka mengambil tanggungjawab ke atas kesalahan mereka dan cabar mereka untuk jadi diri mereka yang terbaik apabila berhadapan dengan kesilapan atau kegagalan mereka.

Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen