Pengasuhan Positif

Montel Tidak Semestinya Lebih Baik: Hentikan Obesiti dalam Kalangan Kanak-kanak

kelaziman-obesiti-dalam-kalangan-kanak-kanak-dunia

kelaziman-obesiti-dalam-kalangan-kanak-kanak-malaysia

Tinjauan Pemakanan Kanak-Kanak Malaysia (SEANUTS Malaysia) menunjukkan bahawa kelaziman berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 12 tahun masing-masing adalah 9.8% dan 11.8%.

Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (Nutrition Society Malaysia, NSM) menunjukkan kelaziman obesiti yang lebih tinggi di Malaysia:

  • Kajian NSM (2010) di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor mendapati bahawa 14.5% (1 dalam 7) kanak-kanak berusia 1-3 tahun dan 16.6% (1 dalam 6) kanak-kanak berusia 4-6 tahun adalah berlebihan berat badan.
  • Projek NSM NutriStudy (2010) di Semenanjung Malaysia mendapati 16% (1 dalam 6) kanak-kanak berusia 4-6 tahun adalah berlebihan berat badan atau obes.
  • Program Healthy Kids NSM (2010) dan kajian SEANUTS (2011) menunjukkan bahawa 30% (1 dalam 3) kanak-kanak sekolah rendah adalah berlebihan berat badan dan obes.
  • Kajian MyBreakfast NSM (2013, tidak diterbitkan) menunjukkan bahawa 28% (1 dalam 4) kanak-kanak sekolah rendah adalah berlebihan berat badan dan obes.

Apakah makna semua ini?

Meskipun hasil kajian-kajian ini tidak boleh dibandingkan secara tepat kerana rujukan yang berbeza telah digunakan dalam menentukan berlebihan berat badan dan obesiti, tidak boleh dinafikan bahawa berlebihan berat badan dan obesiti telah menjadi masalah yang ketara dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia,

Tambahan pula, hasil kajian menunjukkan bahawa peratusan kanak-kanak sekolah rendah yang terlibat amat membimbangkan.

Apakah bahaya obesiti?

  • dikaitkan dengan masalah kesihatan yang ketara (semasa kanak-kanak dan remaja)
  • faktor risiko awal bagi morbiditi dan mortaliti semasa dewasa.
  • lebih banyak masalah perubatan boleh berlaku kepada kanak-kanak /remaja obes yang boleh menjejaskan:
    • kesihatan kardiovaskular (contohnya kolesterol tinggi dandarah tinggi)
    • sistem endokrin (contohnya paras insulin tinggi, kerintangan terhadap insulin dan kitaran haid tidak tetap)
    • stigma sosial (contohnya menjadi pembuli atau dibuli serta dipulaukan oleh rakan sebaya)
    • kesihatan mental (contohnya kemurungan dan perasaan harga diri yang rendah)

Seramai 8 dalam 10 orang kanak-kanak obes mungkin mengalami sekurang-kurangnya salah satu masalah perubatan di atas.

Tahukah anda?

Kanak-kanak yang berlebihan berat badan mempunyai risiko lebih tinggi untuk membesar menjadi orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obes. Mereka juga berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mengidap diabetes, penyakit jantung, dan penyakitpenyakit kronik lain.

child-obesity

Bagaimana mencegahnya

Didik anak anda supaya mengamalkan gaya hidup sihat sejak dari kecil – ini penting memandangkan anak anda lebih sukar melakukan perubahan apabila semakin meningkat dewasa. Perkara utama yang perlu diberi tumpuan ialah memupuk tabiat makan yang sihat dan membiasakan diri melakukan aktiviti fizikal – kedua-duanya merupakan tabiat asas yang perlu dilakukan untuk mencegah obesiti semasa kecil atau remaja. Sebagai ibu bapa, anda adalah contoh kepada anak anda – pimpin melalui teladan dan dia akan mengikuti jejak langkah anda. Anda boleh mencapainya dengan:

  • Menggalakkan anak anda melibatkan diri dalam aktiviti fizikal di rumah dan di sekolah. Tidak kira sama ada dalam bentuk sukan/permainan di dalam atau di luar rumah.
  • Meluangkan masa melakukan aktiviti fizikal sebagai sebuah keluarga pada hujung minggu.
  • Menghadkan masa yang diluangkan melakukan aktiviti tidak aktif seperti menonton televisyen atau bermain permainan komputer.

Dari segi pemakanan pula, anda harus menyediakan diet atau hidangan yang menyihatkan untuk keluarga anda. Pastikan anda memberi keluarga anda pilihan makanan yang lebih sihat di masak pula menggunakan cara yang lebih sihat seperti mengukus, membakar, memanggang, atau goreng kalis. Diet yang sihat harus menggabungkan prinsip seimbang, kesederhanaan, dan kepelbagaian – ini bermakna anak anda (dan seluruh keluarga anda!) harus:

  • mengambil diet seimbang yang terdiri daripada makanan dari kesemua lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia,
  • mengambil hidangan dalam saiz sajian yang sederhana (dihidang mengikut bilangan sajian yang disarankan bagi setiap kumpulan makanan),
  • mengambil pelbagai makanan untuk memenuhi keperluan pemakanannya.

Awas!

Jangan sekali-kali menggunakan makanan sebagai ganjaran (contohnya, “Jika anda mendapat pencapaian baik dalam peperiksaan, kita pergi makan besar bersama.” Atau “Habiskan sayur anda dan anda boleh dapat ais krim.”) memandangkan kesannya adalah lebih besar kerana anak anda akan mengaitkan sesuatu makanan dengan tingkah laku yang diingini, dia juga boleh memerangkap anda dengan menuntut diberi ganjaran bagi setiap perkara kecil yang anda ingin dia lakukan.

Apabila anak anda ke sekolah, mainkan peranan dengan:

  • menyediakan hidangan dan/atau snek berkhasiat untuk dimakan pada waktu rehatnya
  • sentiasa bekalkan air kosong
  • sentiasa pastikan dia makan pada waktu yang tetap setiap hari termasuk sarapan pagi yang sihat

Anda harus memantau pertumbuhan anak anda secara berkala setiap enam bulan dengan memeriksa indeks jisim tubuh atau body mass index (BMI) untuk memastikan pertumbuhannya adalah baik. BMI adalah ukuran yang dikira seperti berikut:

BMI = berat ( kg) / tinggi (meter) x tinggi (meter)

Anda boleh memantau pertumbuhannya dengan membandingkan BMInya menggunakan carta berikut:

bmi-lelaki

bmi-perempuan

Pemantauan pertumbuhan membolehkan anda menentukan sama ada dia membesar dengan normal atau berlebihan berat badan, kurang berat badan, atau obes. Memantau kadar pertumbuhannya membolehkan anda mengambil tindakan sewajarnya iaitu berjumpa dengan pakar pemakanan atau pakar pediatrik jika perlu.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen