Pengasuhan Positif

Peranan Ibu Bapa Dalam Mencegah Kehamilan Remaja

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2006) mentakrifkan kehamilan remaja sebagai ‘kanak-kanak perempuan remaja atau bawah umur (dalam lingkungan usia 15-19 tahun) yang hamil.’ Walau bagaimanapun, istilah kehamilan remaja kerap digunakan dalam masyarakat kita untuk memberi maksud remaja perempuan yang tidak berkahwin yang hamil. Dalam banyak budaya dan masyarakat termasuk Malaysia, ini membawa satu stigma sosial bersifat negatif.

Remaja yang hamil juga berdepan dengan lebih banyak isu-isu obstetrik, perubatan dan sosial berbanding dengan wanita yang melahirkan bayi pada usia 20 atau 30an.

  • Komplikasi semasa hamil dan ketika bersalin merupakan penyebab utama kematian kanak-kanak perempuan yang berusia 15-19 tahun di negara-negara membangun; keberangkalian mereka meninggal dunia semasa melahirkan anak adalah dua kali ganda berbanding wanita dalam lingkungan usia 20an.
  • 25% daripada mereka mungkin melahirkan bayi bayi kurang berat lahir, yang menjurus kepada kecerdasan otak yang lebih rendah dan kurang pencapaian akademik di sekolah.
  • Berisiko tinggi terhadap jangkitan bawaan seksual.
  • Anemia dan darah tinggi yang dicetuskan oleh kehamilan.

Selain itu, kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang tidak bersedia dari segi mental, emosi dan ekonomi akan berdepan dengan risiko penderaan, pengabaian, dan kegagalan di sekolah. Kanak-kanak tersebut juga lebih berkemungkinan terlibat dengan salah laku jenayah pada masa akan datang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2011 merekodkan 18,652 kelahiran oleh kanak-kanak perempuan bawah usia 10-19 tahun di mana lebih daripada 30% daripada mereka tidak berkahwin. Faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut ialah:

  • Kurang pendidikan dan maklumat mengenai kesihatan reproduktif dan kesihatan seksual
  • Kurang pengetahuan mengenai cara mencegah kehamilan
  • Tingkah laku seksual remaja atau sifat ingin tahu
  • Faktor-faktor sosioekonomi (iaitu kemiskinan, kurang sokongan/bimbingan keluarga)
  • Sesetengah budaya dan tradisi

mom-with-teenage-daughter

Peranan Ibu Bapa

Bagi kebanyakan kanak-kanak, ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh. Namun, ramai ibu bapa kurang berpengetahuan untuk membimbing anak mereka melalui fasa ini. Ibu bapa perlu menyediakan diri mereka dengan kemahiran pengasuhan yang sesuai:

  • Jadilah ibu bapa yang mudah didampingi, pastikan anak anda selesa untuk bercakap dan melahirkan perasaan serta berkongsi pendapat atau bertanyakan soalan kepada anda.
  • Wujudkan peraturan (contohnya peraturan janji temu), perintah berkurung, dan tetapkan baginya jenis tingkah laku yang diharapkan, Berbincang secara terbuka sebagai satu keluarga, berkomunikasi dan saling hormat – menghormati adalah kuncinya
  • Terangkan nilai-nilai, sama ada nilai budaya atau agama, berkenaan kehamilan remaja. Walaupun memberi kebebasan kepada anak anda adalah penting, tetapi anda harus memastikan bahawa mereka tahu untuk tidak melampaui batas.
  • Berusaha ke arah hubungan yang mesra tegas dalam berdisiplin yang kaya dengan komunikasi yang menekankan nilai saling mempercayai dan menghormati.
  • Bantu mereka merancang masa depan. Keberangkalian anak anda mengadakan hubungan seks atau menjadi hamil, dapat dikurangkan secara signifikan sekiranya mereka mempunyai cita-cita profesional yang ingin dicapai.

Meskipun fokus utama ialah untuk mencegah kehamilan remaja, di mana kehamilan berlaku, sokongan ibu bapa amatlah penting. Remaja yang tidak berkahwin tidak harus diasing atau dipinggirkan daripada masyarakat apatah lagi dari keluarganya sendiri. Kesejahteraan ibu dan bayinya yang tidak berdosa sepatutnya menjadi keutamaan.

Anda dan anak remaja anda boleh berhubung dengan kaunselor, ketua-ketua komuniti, pembimbing/kaunselor agama, badan bukan kerajaan, agensi kebajikan, badan kerajaan dan juga ahli keluarga lain dalam keluarga anda yang anda rasa boleh membantu.

Polisi PEKERTI

Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan atau PEKERTI, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan reproduktif dan pendidikan sosial. Dengan adanya kolaborasi teguh dengan pelbagai agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan, dasar tersebut telah menampakkan hasil yang signifikan dan memberangsangkan. Banyak program-program mesra remaja yang disediakan dibawah polisi ini contohnya seperti pusat remaja kafe@TEEN, PEKERTI@PLKN dan PEKERTI@Sekolah.

Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen