Pengasuhan Positif

Kerusi Kereta Kanak-kanak: Memastikan Anak Anda Selamat

Kanak-kanak yang dibawa berjalan menaiki kereta persendirian merupakan penyebab pertama dan kedua kematian berkaitan dengan trafik dalam kalangan kanak-kanak berumur 1-4 tahun (43%) dan 5-9 tahun (30.2%). Hasil satu kajian tempatan mendapati bahawa 51.4% kanak-kanak di bawah umur 6 tahun duduk di tempat duduk penumpang hadapan dan hanya 13% sahaja dipakaikan tali pinggang keledar. Ini amat mendukacitakan kerana hakikatnya kerusi kereta kanak-kanak atau child car seat (CCS) terbukti mampu mengurangkan risiko kematian di dalam kereta penumpang sebanyak 71% dalam kalangan bayi (berumur < 1 tahun) dan 54% dalam kalangan kanak-kanak petatih (berumur 1-4 tahun). Antara lain;

  • Penggunaan kerusi booster boleh mengurangkan risiko kecederaan serius sebanyak 45% bagi kanak-kanak berumur 4-8 tahun berbanding penggunaan tali pinggang keledar sahaja.
  • Bagi kanak-kanak dan orang dewasa, penggunaan tali pinggang keledar boleh mengurangkan risiko kematian dan kecederaan sehingga hampir 50%.

kerusi-kereta-kanak-kanak-yang-sesuai

posisi-kerusi-booster-dalam-kereta

Kedua-dua LATCH atau Lower Anchors and Tethers for Children dan ISOFIX merupakan sistem pengikat kerusi kereta kanak-kanak dalam kebanyakan model kereta pada masa kini yang berfungsi untuk menyelaras dan memudahkan pemasangan kerusi kereta kanak-kanak.

Mengikat Kerusi Kereta Kanak-Kanak

  • Dudukkan anak anda dengan belakang dan punggungnya rata di atas kerusi.
  • Pastikan tali pinggang kerusi kereta kanak-kanak ketat dan klip tali pinggang keselamatan sama paras dengan bahu atau ketiak kanak-kanak.
  • Kancingkan anak anda pada kerusi dahulu sebelum meletakkan kot atau selimut di atas tali pinggang keselamatan.
  • Kancingkan tali pinggang dan klip dada.
  • Periksa untuk memastikan tali pinggang cukup ketat dan tidak kendur lebih daripada 1 jari.
  • Pastikan tali pinggang keselamatan tidak tersimpul.
  • Selepas anak anda diikat di kerusi kereta, cuba letakkan tuala kecil yang digulung atau lampin di ruang kosong supaya menjadi lebih ketat.
  • Kebanyakan kerusi kereta kanak-kanak menyatakan jenis sistem pengikat yang digunakan, oleh itu pastikan anda membeli kerusi kereta kanak-kanak yang padan dengan kereta anda. Anda masih boleh menggunakan tali pinggang keledar untuk mengikat kerusi kereta kanak-kanak dan ianya masih selamat.

TIP-TIP PENTING

  • Pastikan kanak-kanak berumur di bawah 13 tahun duduk di tempat duduk belakang. Ia adalah tempat paling selamat bagi mereka sekiranya berlaku kemalangan.
  • Adalah lebih selamat untuk anda membeli kerusi kereta kanak-kanak yang baharu berbanding kerusi terpakai.
  • Jangan letakkan kerusi kereta yang menghadap ke belakang di hadapan beg angin yang aktif (iaitu jangan sekali-kali letakkan di kerusi hadapan tempat penumpang).
  • Jangan gantikan kerusi booster dengan bantal biasa kerana ia mudah tergelungsur, dan boleh mengubah kedudukan anak lantas meningkatkan risikonya tercekik akibat tali pinggang keledar.
  • Sentiasa rujuk kepada arahan pengilang kerusi kereta kanak-kanak (periksa had ketinggian dan berat mampu tanggung) dan baca manual kereta anda mengenai cara memasang kerusi kereta kanak-kanak dengan sempurna.

Bagi keselamatan maksimum anak anda semasa memandu, ingat untuk (1) memilih kerusi kereta kanak-kanak yang mendapat pensijilan yang sesuai untuk umurnya, (2) memastikan kerusi dipasang dengan sempurna serta ketat dan lebih penting lagi (3) pandulah dengan selamat dan bertanggung jawab setiap masa. (4) Jangan lupa guna tali pinggang keledar anda sendiri.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen