Pengasuhan Positif

Kehamilan Selepas Usia 40 Tahun

Pada masa ini, kehamilan menjangkau usia 40 tahun semakin menjadi kebiasaan berbanding dahulu. Kelewatan ini mungkin kerana wanita semakin fokus terhadap kerjaya mereka atau lambat berjumpa pasangan hidup. Namun, jika anda seorang wanita yang berusia 40 tahun yang menginginkan seorang anak, atau jika anda seorang wanita muda yang bercadang untuk lambat hamil, terdapat banyak risiko/atau keburukan yang anda perlu sedari.

Had semula jadi

Alam semula jadi mempunyai caranya tersendiri untuk mencegah komplikasi yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi – seorang wanita dalam usia 40an mempunyai kesuburan yang rendah. Malah, ramai pakar bersetuju bahawa hampir mustahil untuk anda mengandung dengan telur sendiri apabila usia melangkau 45 tahun.

Ini kerana bekalan telur anda semakin berkurangan (kesuburan berkurangan dengan ketara mengikut umur). Selain itu, telur lama juga cenderung kepada masalah kromosom yang meningkatkan risiko keguguran dan kecacatan kelahiran. Namun, rawatan kesuburan moden telah membolehkan wanita berusia melangkaui 40 tahun untuk berjaya hamil dan mendapat anak dengan mudah.

Selain daripada risiko ketidaksuburan, komplikasi lain yang anda mungkin hadapi termasuk:

  • keguguran,
  • plasenta previa,
  • diabetes gestasi,
  • darah tinggi,
  • kehamilan ektopik,
  • pra-eklampsia dan eklampsia (risiko lebih tinggi jika anda mendapat bayi pertama pada usia melangkaui 40 tahun),
  • masalah semasa kelahiran anak (kelahiran tahap kedua yang berpanjangan dan kesukaran kepada janin) yang meningkatkan kemungkinan kelahiran dengan bantuan forsep, vakum atau irisan Caesarean,
  • kemungkinan lebih tinggi mendapat lebih daripada satu janin (contohnya, kembar dua atau kembar tiga),
  • kelahiran pramatang.

Bayi anda berisiko

Namun, paling membimbangkan ialah hakikatnya bayi anda juga menghadapi risiko yang tinggi. Ini termasuk:

  • kematian ketika lahir,
  • kekurangan berat ketika lahir,
  • kelahiran pramatang,
  • lebih rentan kepada chromosomal aneuploidies, kecacatan genetik, atau kecacatan kongenital.

Meminimumkan risiko anda

Kini setelah anda mengetahui risiko-risikonya, jika anda masih bercadang untuk mendapatkan anak, perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah untuk berjumpa dengan pakar kesuburan. Pakar kesuburan dapat memberitahu dengan lebih teliti tentang perkara yang perlu anda beri perhatian.

eating-healthy

Namun, secara amnya pertama sekali anda perlu menjaga kesihatan anda sendiri, memandangkan kehamilan akan membebankan tubuh anda bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental. Salah satu rungutan lazim wanita hamil ialah keletihan dan ini mungkin lebih sukar ditanggung jika anda berusia 40an.

Oleh itu, bagaimana anda boleh mengurangkan risiko anda? Anda harus bermula lebih awal sebelum merancang untuk hamil. Dua perkara penting yang anda boleh lakukan ialah mengekalkan amalan pemakanan sihat dengan diet yang berkhasiat dan menjalani kehidupan yang aktif secara fizikal.

women-with-dumbbell

Bukan semua berita buruk

Meskipun terdapat banyak masalah, bukan semuanya buruk. Kajian menunjukkan bahawa ibu yang lebih berusia menjadi ibu yang lebih baik – terdapat kadar kesihatan dan perkembangan yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak yang ibu mereka lebih berusia, termasuk perkembangan bahasa yang lebih baik dan kurang masalah sosial dan emosi.

Selain itu, anda juga mungkin akan mendapati bahawa anda lebih bersedia untuk mengatasi tekanan fizikal dan emosi menjadi seorang ibu berbanding ibu yang lebih muda. Apabila anda lebih berusia anda lebih bijak, dan pengalaman serta pengetahuan anda memberi banyak faedah kepada anak anda. Anda juga mungkin lebih stabil dari aspek kewangan dan mempunyai sumber yang lebih baik untuk membesarkan anak anda.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen